Apa Itu Higg Boson?

Julai 06, 2012

3 komen

Minggu ini dunia agak gempar dengan penemuan Higg Boson. Walaubagaimanapun, di Malaysia, berita ini tenggelam di sebalik drama televisyen Dejavu di KK, video skandal Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, pendedahan blog Uncle Seeker dan nukilan ayat-ayat cinta di facebook. Tidak ramai yang mempedulikan berita ini kerana ia bukanlah perkara yang mudah difahami dan kebanyakan orang awam tidak mengetahui apakah kesan penemuan ini pada kehidupan manusia.

Apa itu Higg Boson? Kenapa seluruh dunia tiba-tiba bercakap tentang perkara ini? Untuk memahami perkara ini, kita perlu menyoal diri sendiri "Kita (manusia) dan semua benda yang terdapat di dalam semesta ini diperbuat daripada apa?"

Pada zaman dahulu, manusia menganggap semua benda dijadikan daripada 4 unsur utama: angin, tanah, api dan air. Kemudian, apabila teknologi semakin maju, kita memahami bahawa semua benda diperbuat daripada atom atau zarah. Saiz atom ini tersangatlah kecil, iaitu lingkungan 10 x 10-12 meter.

Kemudian, ahli sains ingin mengetahui apakah yang terdapat di dalam atom. Jadi mereka telah memacukan dua atom pada kelajuan tinggi dan memaksa atom-atom ini bertembung antara satu sama lain. Hasil daripada pertembungan itu, mereka telah menemui 3 partikel yang dinamakan proton, neutron dan elektron. Sudah tentu saiz proton, neutron dan elektron lebih kecil daripada atom. 

Untuk melihat apa yang terdapat di dalam partikel pula, mereka buat perkara yang sama: memacukan partikel tersebut pada kelajuan tinggi dan memaksa partikel ini bertembung antara satu sama lain. Walabagaimanapun, memacukan partikel pada kelajuan tinggi memerlukan tenaga yang sangat besar. Oleh itu, Kesatuan Eropah membelanjakan USD10 billion untuk membina fasiliti di Eropah yang dinamakan Large Hadron Collider (LHC) dan ianya siap pada 2008. Fasiliti ini adalah pemecut partikel yang mampu memecutkan partikel sehingga menghampiri kelajuan cahaya dan memaksa partikel bertembung antara satu sama lain.

Menerusi fasiliti Large Hadron Collide, ahli fizik mendapati proton dan neutron terdiri daripada beberapa subpartikel yang dinamakan 'quark'. Walaubagaimanapun, mereka tidak menemui apa-apa di dalam 'quark'. Kosong. Tetapi menariknya, mereka mengesan kewujudan medan tenaga atau kuasa di dalam 'quark' itu.

Sebelum itu, saintis berteori terdapat 4 jenis kuasa yang mempengaruhi semua benda dalam alam semesta ini, iaitu kuasa graviti, kuasa elektromagnet, kuasa pereputan radioaktif dan satu kuasa asing. Kuasa asing inilah yang dikesan terdapat dalam 'quark' tersebut dan kuasa ini dinamakan Higg Boson. Kuasa Higg Boson yang membuatkan 'quark' mempunyai jisim. Daripada pengaruh kuasa ini, 'quark' kemudian membentuk menjadi partikel, partikel membentuk menjadi atom, atom membentuk menjadi molekul atau DNA, molekul atau DNA yang membentuk menjadi benda-benda yang terdapat di dalam semesta termasuklah manusia. Ada pihak menganggap kuasa Higg Boson ini adalah partikel tuhan (god particle)

Secara ringkasnya, kuasa Higg Boson inilah yang membuatkan semua benda mempunyai berat, bentuk dan sifat. Batu bersifat berat dan keras, ular bersifat panjang, garam bersifat masin, semua ini terjadi daripada kuasa Higg Boson. Tanpa kuasa Higg Boson, kita semua dan benda di alam semesta ini akan terlerai menjadi subpartikel yang bergerak pada kelajuan cahaya.

Saintis yang mencadangkan kewujudan kuasa Higg boson ini ialah Peter Higg. Sudah tentu nama kuasa Higg Boson ini diambil daripada namanya dan kini beliau berusia 83 tahun. Idea kuasa Higg boson ini telah dikemukan pada 1964, dan pada 2012 teori ini telah dapat dibuktikan. 

Jadi, apakah faedah ahli sains menemui kuasa Higg boson ini? Ini adalah permulaan yang baik untuk ahli sains memahami kejadian alam semester selepas peristiwa Big Bang. Ada pendapat liar menyatakan apabila ahli sains telah memahami sifat kuasa Higg Boson ini, manusia dikatakan mampu 'bertindak' seolah-olah seperti Tuhan , iaitu mampu mencipta pelbagai benda asas seperti gas, air, besi, emas, dan sebagainya hanya dengan memanipulasi subpartikel 'quark' dan kuasa Higg Boson. Wallahualam.

Menggunakan Peralatan Elektrik 120V di Malaysia

Jun 02, 2012

0 komen

Sekiranya anda mempunyai peralatan elektrik 120V, mungkin dibeli dari luar negara, anda tidak akan dapat menggunakan peralatan tersebut di Malaysia. Ini kerana selain bentuk plug yang tidak sepadan, voltan di Malaysia adalah 240V, sekiranya dipasang pada peralatan tersebut, peralatan tersebut pasti akan rosak.

Oleh itu anda perlu mendapatkan alat penukar voltan (voltage converter) 240V ke 120V. Sebelum anda membeli alat ini, anda perlu tahu kadar kuasa Watt yang digunakan oleh peralatan elektrik 120V tersebut. Nilai kadar kuasa tersebut boleh diperolehi pada label yang terdapat pada badan peralatan elektrik itu. 

Biasanya alat voltage converter yang dijual mempunyai keupayaan kuasa 50W, 65W, 100W, 150W, 200W, 300W, 500W, 750W, 1000W, 2000W dan 3000W. Semakin besar kuasanya, semakin besar saiz alat voltage converter ini. Sekiranya peralatan tersebut berkuasa 65W, anda perlu mendapatkan voltage converter 240V ke 120V berkuasa 100W. Sekiranya peralatan elektrik anda berkuasa 300W, anda perlu dapatkan alat voltage converter berkuasa 500W. Sekiranya peralatan elektrik anda berkuasa 760W, anda perlu dapatkan alat voltage converter berkuasa 1000W dan begitulah seterusnya. 

Alat voltage converter ini biasanya boleh didapati di kedai-kedai elektrik atau elektronik yang besar. Kepada sesiapa yang ada menjual alat voltage converter ini secara online di pasaran Malaysia, boleh iklankan pada ruang komen di bawah ini. Contoh alat voltage converter ditunjukkan pada gambar di bawah ini.


Kilat Di Dalam Rumah

Jun 01, 2012

0 komen

Ok. Kali ini masih lagi cerita tentang kilat. Arikel lalu telah diterangkan bagaimana panahan kilat terjadi dan juga bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Artikel kali ini adalah mengenai kejadian kilat di dalam rumah. Ya, kilat di dalam rumah. Walaupun ia jarang berlaku, tetapi kemungkinan untuk berlaku tetap ada. Bagaimana penahan kilat boleh terjadi dalam rumah pula?

Kilat bukan sahaja boleh berlaku di ruang langit, tetapi ia juga boleh terjadi di dalam rumah ataupun dalam peralatan elektrik. Agak jarang kilat memanah secara terus ke rumah kediaman kerana paras rumah biasanya lebih rendah daripada pokok, tiang elektrik, tangki air besar yang tinggi dan bangunan tinggi. Kilat biasanya akan ternyahcas (memancar) ke stuktur bangunan tinggi.

Kilat: RCCB Trip dan Peralatan Elektrik Rosak

Mei 15, 2012

0 komen

Kilat adalah fenomena alam semulajadi yang biasa berlaku di negara kita. Malah Malaysia tergolong antara 3 negara yang mempunyai aktiviti kilat tertinggi di dunia. Boleh dikatakan sentiasa sahaja berlaku kemalangan jiwa akibat panahan kilat di Malaysia. Pembaca yang berminat tentang kemalangan yang disebabkan kilat boleh merujuk di blog ini: http://kilatmalaysia.blogspot.com

Artikel lalu telah menerangkan tentang kejadian kilat dan alat perangkat kilat. Artikel kali ini pula akan menerangkan bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Pasti ramai yang menyedari apabila kilat memancar di kawasan rumah anda, RCCB di papan agihan elektrik di rumah anda pasti akan terpelantik (trip). Mengapakah RCCB boleh trip?

RCCB trip apabila kilat memancar, itu menunjukkan RCCB anda berfungsi. Apabila kilat memancar, ia akan memancarkan gelombang elektromagnet. Gelombang elektromagnet ini sama seperti gelombang radio, sinar x-ray atau gelombang microwave, ia tidak dapat dilihat tetapi boleh memberi kesan tertentu pada persekitaran. Gelombang elektromagnet yang dijana oleh kilat akan menyebabkan voltan bekalan elektrik naik mendadak (overvoltage) dalam masa yang singkat. Contohnya bekalan elektrik ke rumah anda adalah 240V, tetapi apabila kilat memancar, voltan elektrik di rumah anda akan naik mendadak secara tiba-tiba sehingga melebihi 1000V dalam sela masa beberapa mili saat (1 mili saat = 0.001 saat). Walaupun kejadian ini berlaku dalam masa yang sangat singkat, tetapi ia sudah cukup untuk merosakkan peralatan elektrik rumah anda.

Nasib baik sistem bekalan elektrik rumah kita dilengkapi dengan RCCB. Ia bukan sahaja melindungi anda dari renjatan elektrik, malah melindungi peralatan elektrik dari overvoltage. Apabila berlaku overvoltage disebabkan kilat, arus elektrik dalam rumah anda menjadi tidak stabil. Ketidakstabilan ini akan dikesan oleh RCCB dan seterusnya trip untuk memutuskan bekalan elektrik (Cara kerja RCCB boleh dibaca di artikel ini). Apabila bekalan elektrik diputuskan, kejadian overvoltage tidak 'sempat' berlaku dan peralatan elektrik di rumah anda akan selamat.

Walaubagaimanapun, ada sesetengah kes, ada juga peralatan elektrik yang rosak walaupun RCCB telah trip apabila kilat memancar. Kejadian ini boleh berlaku kerana RCCB lambat bertindak untuk memutuskan bekalan elektrik apabila berlaku overvoltage. Sekiranya perkara ini berlaku, ini menunjukkan RCCB tidak berfungsi dengan baik. Tidak perlulah tuding jari menyalahkan TNB bila perkara ini berlaku pada anda. Cepat-cepatlah cari wireman untuk gantikan RCCB anda dengan yang baru dan berkualiti. Panduan untuk anda apabila membeli RCCB: semakin mahal harga RCCB, makin berkualiti dan boleh dipercayai RCCB tersebut.

Soalan Lazim Mengenai Kerosakan Pada Kipas Angin

Mei 03, 2012

5 komen

Saya selalu mendapat email bertanyakan tentang masalah yang dihadapi pada kipas angin mereka. Soalan-soalan yang ditanya adalah berdasarkan artikel bertajuk 'Kipas Semakin Perlahan'. Berikut adalah himpunan soalan lazim yang sering ditanya berserta dengan jawapan.

Di mana saya boleh mendapatkan kapasitor kipas?
Kapasitor kipas boleh didapati di kedai elektrik yang ada membuat kerja pembaikan peralatan elektrik atau kedai yang menjual komponen elektronik.

Kipas siling rumah saya tiba-tiba sahaja berpusing terbalik, angin hembus ke atas. Kenapa boleh jadi macam itu?
Adakah kipas anda kipas siling biasa? Jika ya, itu menunjukkan kapasitor kipas mengalami kerosakan. Gantikan kapasitor itu dengan yang baru.
Sekiranya kipas kawalan jauh, mungkin anda telah mengaktifkan fungsi 'reverse rotation' pada kipas tersebut. Fungsi ini akan menyebabkan kipas berpusing terbalik dan fungsi ini berguna di negara yang mempunyai iklim sejuk. Sekiranya kipas anda tidak mempunyai fungsi seperti ini tetapi kipas berpusing terbalik, ini menunjukkan kapasitor kipas telah rosak.

Saya ada masalah dengan sebuah kipas siling yang menggunakan remote control. Pada kelajuan 1 atau 2, kipas berpusing sangat perlahan, tetapi pada kelajun 3, kipas berpusing dengan laju. Adakah kapasitor dalam kipas ini perlu diganti ?
Masalah sebegini menunjukkan terdapat kerosakan pada papan elektronik dalam kipas tersebut, bukannya pada kapasitor kipas. Dapatkan orang yang mahir membaiki papan elektronik untuk membaiki kipas anda.

Kawasan perumahan saya baru-baru ini mengalami over-voltage menyebabkan 2 biji kipas siling rumah saya tidak berfungsi. Adakah ia boleh dibaiki ?
Adakah kipas anda ini kipas siling biasa atau kipas siling remote control ? Sekiranya kipas siling biasa, cuba ganti regulator (alat pengawal kelajuan kipas) kepada yang baru.
Sekiranya anda menggunakan kipas siling remote control, papan elektronik dalam kipas tersebut telah rosak.  Dapatkan orang yang mahir membaiki papan elektronik untuk membaiki kipas anda.

Kipas meja saya berpusing perlahan walaupun  telah diset pada kelajuan maksimum. Kapasitor kipas telah diganti baru tetapi kipas tetap perlahan. Kenapa boleh jadi seperti itu ?
Dalam kipas terdapat 2 jenis gelung, gelung 'start' dan gelung 'run'. Kerosakan seperti ini menunjukkan gelung 'start' telah putus. Kipas anda perlu dihantar ke kedai 'motor rewinding'. Tetapi kos rewinding untuk kipas adalah tidak berbaloi kerana kosnya sama seperti membeli kipas baru. Lebih baik beli kipas baru.

Di manakah saya boleh mendapatkan khidmat membaiki kipas siling ?
Agak sukar kita mencari kedai yang membaiki kipas siling terutamanya kipas siling kawalan jauh. Ini kerana seseorang juruteknik perlu datang ke rumah anda, perlu panjat dan tanggalkan pemasangan kipas tersebut. Sekiranya perlu, kipas tersebut perlu ditanggalkan dan dibawa balik ke bengkel pembaikan. Kos untuk perkhidmatan sebegini adalah tidak berbaloi kerana kos pembaikan adalah hampir sama dengan pembelian kipas baru. Kadang-kadang kipas tidak dapat dibaiki (teruatamanya kipas siling kawalan jauh) kerana alat ganti pada papan elektronik tiada di pasaran.
Apa yang anda boleh buat, tanggalkan sendiri kipas siling anda yang rosak dan hantar ke kedai pembaikan alat elektrik atau elektronik. 
Sekiranya anda tahu kedai-kedai yang ada membuat pembaikan kipas di sekitar tempat tinggal anda, boleh beritahu di ruangan komen.

Fungsi Wayar Bumi Pada Lampu Kalimantang

1 komen

Soalan
Lampu kalimantang hanya memerlukan 2 wayar sahaja untuk menyala iaitu wayar hidup (live) dan wayar neutral. Tetapi saya selalu tertanya-tanya apakah fungsi wayar bumi (earth) yang berwarna hijau pada pendawaian lampu kalimantang. Saya selalu lihat wireman pasang wayar bumi pada mana-mana skru dalam lampu kalimantang ataupun hanya selitkan sahaja pada badan lampu. 



Jawapan
Pemasangan wayar bumi dalam lampu kalimantang adalah untuk keselamatan. 

Dalam pemasangan lampu kalimantang, ada kemungkinan wayar akan terputus atau penebat wayar tertanggal dan menyentuh badan lampu kalimantang. Badan lampu kalimantang biasanya diperbuat daripada besi. Jadi, apabila suis dihidupkan, badan lampu kalimantang akan menjadi 'live'. Apabila seseorang pegang badan lampu kalimantang pada ketika ini, dia akan terkena renjatan elektrik. 

Selain dari kemungkinan wayar terputus atau kerosakan penebat wayar, choke atau ballast dalam lampu kalimantang juga boleh menyebabkan badan lampu kalimantang menjadi 'live'. Ini boleh berlaku apabila penebat lilitan wayar dalam choke pecah, badan choke tersebut akan menjadi 'live'.Oleh kerana choke dipasang pada badan lampu kalimantang, ia juga akan menjadi 'live' dan orang yang memegang lampu kalimantang semasa suis dihidupkan akan terkene renjatan elektrik. 

Sekiranya wayar bumi dipasang, apabila badan lampu kalimantang menjadi 'live' kerana kerosakan penebat wayar atau kerosakan choke, arus elektrik akan mengalir melalui wayar bumi dan ini akan menyebabkan RCCB trip. Apabila RCCB trip, ini menunjukkan lampu kalimantang itu tidak selamat dan tindakan pembaikan perlu dilakukan. 

Tangki VIE (Vacuum Insulated Evaporator)

Mac 17, 2012

1 komen

Sekiranya anda berpeluang berjalan di sekitar halaman hospital besar ataupun kilang semikonduktor, anda mungkin boleh ternampak sebuah tangki besar dan tinggi berwarna putih seperti ditunjukkan pada gambar foto di sebelah ini (Klik pada gambar untuk besarkan). Apakah sebenarnya tangki ini?

Tangki ini dinamakan tangki VIE (Vacuum Insulated Evaporator). Di hospital, tangki ini digunakan untuk menyimpan cecair oksigen manakala di kilang semikonduktor pula, tangki ini digunakan untuk menyimpan cecair nitrogen ataupun argon. Oksigen digunakan untuk merawat pesakit manakala nitrogen atau argon digunakan dalam penghasilan komponen elektronik.

Suis Bomba (Fireman Switch)

Mac 15, 2012

0 komen

Pasti ramai yang selalu ternampak alat ini di pintu masuk pejabat ataupun di tangga kecemasan. Apakah sebenarnya alat ini ?

Alat ini ialah dipanggil suis bomba (fireman switch). Alat ini membolehkah pihak bomba memutuskan bekalan elektrik ke sesuatu tempat sebelum melakukan kerja memadam kebakaran. 

Alat ini bersambung dengan sistem agihan bekalan elektrik dalam bangunan, secara spesifiknya, alat ini disambungkan pada MCCB. Rujuk sini untuk mengetahui bagaimana alat ini disambungkan ke sistem agihan bekalan elektrik.

Pada sebelah tepi (biasanya sebelah kiri), terdapat tuil yang boleh ditarik ke bawah menggunakan tangan. Apabila tuil itu diturunkan, bekalan elektrik ke tempat tertentu akan terputus.

Panduan Merekabentuk Pendawaian Elektrik Di Rumah

Februari 02, 2012

34 komen

Artikel ini menerangkan tentang panduan merekabentuk sistem pendawaian elektrik di rumah yang biasa diamalkan oleh juruelektrik di Malaysia. Sebenarnya tiada pengiraan khusus untuk menentukan saiz wayar, MCB, RCCB dan bilangan mata kuasa memandangkan kita tidak mengetahui berapa banyak beban yang akan digunakan oleh pengguna di rumah. Walaubagaimanapun, sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai IEEE (Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik) telah menyediakan garis panduan untuk rekabentuk pendawaian elektrik ini.

Pendawaian elektrik rumah bermula daripada papan agihan atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut Distribution Board (DB). Papan agihan terdiri daripada suis utama, RCCB dan MCB. Baca sini untuk mengetahui secara umum tentang papan agihan.  Pendawaian elektrik akan diagihkan ke dalam rumah melalui MCB.

Teknologi Pencahayaan

Januari 16, 2012

0 komen

Cahaya adalah sejenis tenaga dalam bentuk radiasi elektromagnet yang boleh dilihat oleh mata manusia. Ia mempunyai panjang gelombang dalam julat 380 nanometer hingga 780 nanomenter (nm) dengan julat frekuensi  405 TeraHertz sehingga  790 TeraHertz (THz). Dalam spektrum frekuensi gelombang elektromagnet, cahaya boleh nampak terletak di antara gelombang ultraungu dan gelombang infra merah.

Gambar 1: Spektrum elektromagnet

Cahaya bergerak secara lurus dan sangat laju. Dalam vakum, cahaya bergerak selaju 300,000 kilometers per saat. Pergerakan cahaya akan terpesong dan kelajuannya berkurangan apabila melalui media berlainan seperti air atau gas. Terdapat dua jenis punca cahaya iaitu sumber cahaya semula jadi dan sumber cahaya buatan. Matahari dan api adalah contoh sumber cahaya semula jadi manakala pelbagai lampu elektrik yang dicipta oleh manusia adalah sumber cahaya buatan.

Teknologi Fuzzy Logic

Januari 14, 2012

1 komen

Apabila anda pergi ke kedai menjual peralatan elektrik untuk meninjau mesin basuh dan pemasak nasi (rice cooker), anda pasti akan terjumpa perkataan 'Fuzzy Logic' pada mesin basuh dan rice cooker yang agak mahal. Apakah itu 'Fuzzy Logic' ? Apakah yang kelebihan peralatan yang menggunakan teknologi fuzzy logic berbanding dengan peralatan elektrik yang biasa?

Teknologi fuzzy logic diasaskan oleh saintis Russia bernama Loffi Zadeh pada 1965. Teknologi ini dicipta dengan meniru cara manusia membuat keputusan. Contohnya keputusan yang anda buat semasa mengipas diri anda dengan menggunakan kipas kertas.

Apabila badan anda berasa sangat panas, anda akan mengipas dengan laju. Sekiranya badan anda berasa agak panas, anda akan mengipas dengan agak laju. Sekiranya anda berasa sejuk, anda akan mengipas dengan perlahan. Sekiranya anda berasa sangat sejuk, anda akan mengipas dengan sangat perlahan atau berhenti. Keputusan yang anda buat untuk kelajuan kipas berdasarkan suhu yang dirasai oleh badan anda adalah yang dikatakan fuzzy logic

Apabila teknologi fuzzy logic diaplikasikan pada kipas angin sebagai contoh, kipas angin akan berfungsi seperti berikut: 
  • Jika suhu persekitaran SANGAT PANAS, kipas berpusing SANGAT LAJU
  • Jika suhu persekitaran PANAS, kipas berpusing LAJU
  • Jika suhu persekitaran AGAK PANAS, kipas berpusing AGAK LAJU
  • Jika suhu persekitaran SEJUK, kipas berpusing PERLAHAN
  • Jika suhu persekitaran SANGAT SEJUK, kipas berpusing SANGAT PERLAHAN atau BERHENTI
Peraturan di atas ini akan diterjemahkan dalam persamaan matematik dan kemudiaan diprogramkan dalam microprocessor yang mengawal kipas angin tersebut. Untuk menukarkan peraturan di atas kepada persamaan matematik, anda perlu mengetahui bab matematik teori kebarangkalian dan operasi logic gate (operasi gate OR, XOR, AND dan sebagainya).

Mesin basuh yang menggunakan teknologi fuzzy logic akan membuat keputusan sendiri masa yang diperlukan untuk membasuh dan mengeringkan baju. Anda tidak perlu menetapkan masa membasuh dan mengeringkan baju seperti mesin basuh kenvensional. Baju yang dibasuh akan lebih bersih dan lebih kering apabila dikeluarkan dari mesin basuh.

Rice cooker fuzzy logic pula akan membuat keputusan sendiri tahap kepanasan yang diperlukan untuk memasak nasi. Walaupun nasi akan lambat masak berbanding rice cooker konvensional, tetapi nasi akan nampak lebih cantik dan kurang penghasilan kerak pada bahagian dalam periuk. Malah anda boleh memasak atau mengukus sup, sayuran dan pelbagai jenis masakan apabila menggunakan rice cooker fuzzy logic ini. 

Terdapat juga peralatan elektrik yang menggunakan teknologi fuzzy logic selain mesin basuh dan rice cooker, contohnya seperti peti sejuk dan vacuum cleaner tetapi ia agak sukar didapati di pasaran Malaysia. Walaupun agak mahal, peralatan elektrik yang menggunakan teknologi fuzzy logic ini berfungsi dengan sangat cekap dan menjimatkan tenaga elektrik. 

Menghalang Pintu Gate Dari Bergerak Ditolak Angin

1 komen



Idea untuk menghalang pintu gate rumah teres anda dari bergerak ditiup angin. Penyangkuk dipasang pada tembok yang telah digerudi.

Klik pada gambar untuk besarkan.







Memasang Pili Mesin Basuh Pada Paip Sinki Dapur

1 komen

Idea untuk memasang pili mesin basuh pada paip sinki jenis gooseneck (jenis wall mounted). Klik pada gambar untuk besarkan.

Perkakasan yang diperlukan adalah (dibeli di kedai hardware) :
      •   GI nipple ½"
      •   GI Tee ½"
      •   Pili untuk mesin basuh
      •   Tape putih

Dengan menggunakan spanar boleh laras (adjustable spannar) dan tape putih, pasang perkakasan di atas mengikut gambar di atas ini.

* GI - Galvanised Iron (Besi Bergalvani)
   ½" - setengah inci

Bagaimana Sistem Penyejukan Berfungsi?

Januari 07, 2012

3 komen

Sistem penyejukan kini memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Penghawa dingin dan peti sejuk adalah contoh aplikasi sistem penyejukan.

Sistem penyejukan berfungsi berdasarkan sifat fizik gas/udara. Mengikut Hukum Gay-Lussac, sekiranya tekanan gas meningkat, suhu gas tersebut juga turut meningkat. Begitu juga sebaliknya, sekiranya tekanan gas rendah, suhu udara turut menjadi rendah.

Sebagai contoh, gas/udara yang terperangkap dalam picagari dengan muncung picagari tertutup. Sekiranya omboh picagari ditekan ke dalam, maka tekanan gas akan menjadi tinggi dan seterusnya suhu gas juga akan meningkat. Jika omboh picagari tersebut ditarik ke luar, maka gas berada dalam bertekanan vakum dan seterusnya menurunkan suhu gas tersebut.

Walaubagaimanapun, untuk digunakan dalam sistem penyejukan, suhu gas patut berada pada suhu negatif apabila gas berada pada tekanan rendah atau tekanan vakum. Oleh itu, gas yang dipanggil refrigerant dicipta untuk digunakan dalam sistem penyejukan. Suhu refrigerant ini sangat sentitif kepada tekanan. Sekiranya refrigerant berada dalam tekenan rendah atau tekanan vakum, suhu refrigerant akan menurun sehingga ke nilai negatif.

Gas refrigerant (kadang-kala disebut gas freon) adalah gas kimia yang mempunyai gabungan atom karbon, klorin dan flouorin. Jenis gas refrigerant yang terdapat di pasaran kini adalah seperti R12, R22, R143, R401 dan R501.  Gas R12 dan R22 telah mula dihentikan penggunaannya kerana ia menyumbang kepada penipisan ozon bumi.

Secara asasnya sistem pengejukan terdiri daripada 4 komponen asas iaitu pemampat, gelung penyejat,  gelung pemeluwap dan injap pengembangan. Keempat-empat komponen ini disambung antara satu sama lain menggunakan paip logam yang diisi dengan refrigerant. Rujuk gambar di bawah ini.


Fungsi-fungsi komponen sistem penyejukan adalah:
Pemampat
Menyedut refrigerant dari gelung penyejat dan kemudian memampatkannya ke gelung pemeluwap. Pemampat biasanya digerakkan oleh motor elektrik yang memerlukan kuasa elektrik yang tinggi untuk menggerakkan pemampat ini. Pemampat biasanya dikawal oleh thermostat yang mengukur suhu udara bilik. Sekiranya suhu bilik telah cukup sejuk, thermostat akan mematikan pemampat.

Gelung penyejat
Bentuknya seperti radioator kereta, terdiri daripada gelungan paip tembaga atau aluminium yang dilitupi dengan sirip aluminium yang dipasang rapat. Gelung penyejat berfungsi untuk menyerap haba udara yang ditiup masuk oleh kipas. Udara yang keluar dari gelung penyejat adalah udara sejuk.

Gelung pemeluwap
Bentuknya seperti radioator kereta, terdiri daripada gelungan paip tembaga atau aluminium yang dilitupi dengan sirip aluminium yang dipasang rapat. Gelung pemeluwap berfungsi untuk mengurangkan suhu refrigerant yang sedang berada pada tekanan tinggi selepas keluar dari pemampat.

Injap pengembangan
Berfungsi untuk menukarkan tekanan refrigerant dari tekanan tinggi ke tekanan rendah dengan mengehadkan laluan refrigerant ke gelung penyejat. Ideanya sama seperti paip air rumah, sekiranya pili paip dibuka sedikit sahaja, hanya sedikit sahaja air yang keluar walaupun tekanan air dalam salur paip adalah tinggi.

Cara kerja sistem penyejukan pula adalah seperti berikut:
  1. Sebaik sahaja pemampat dihidupkan, ia akan menarik menyedut refrigerant dari gelung penyejat dan memampatkannya ke gelung pemeluwap. 
  2. Suhu gelung penyejat akan menjadi sejuk manakala gelung pemeluwap pula akan menjadi panas
  3. Kipas pada gelung penyejat menarik udara luar ke gelung dan udara sejuk terhasil.
  4. Kipas pada gelung pemeluwap menarik udara luar ke mengurangkan suhu refrigerant dalam gelung.
  5. Refrigerant bertekanan tinggi yang keluar dari gelung pemeluwap akan bertukar menjadi refrigerant bertekanan rendah.
  6. Apabila suhu bilik telah cukup sejuk, thermostat akan mematikan pemampat.
  7. Apabila suhu bilik naik melebihi tahap sejuk yang dikehendaki, thermostat akan menghidupkan pemampat semula.

Info #2: Sistem Melawan Kebakaran Karbon Dioksida

Januari 06, 2012

0 komen

Kita selalu terlihat tong silinder merah (seperti gambar di sebelah kiri ini) di luar bangunan pencawang TNB, belakang restoran, tingkat bawah shopping kompleks dan sebagainya. Apakah sebenarnya tong merah ini?

Tong silinder ini adalah sebahagian daripada sistem melawan kebakaran (fire fighting system). Tong ini mengandungi gas karbon dioksida bertekanan tinggi. Gas karbon dioksida ini akan dilepaskan apabila sensor sistem mengesan api pada sesuatu tempat.

Sistem melawan kebakaran jenis ini biasanya dipasang pada bilik kejuruteraan (seperti bilik transformer, bilik generator elektrik), dapur kafeteria/restoran dan stor bahan kimia, iaitu tempat di mana air tidak sesuai digunakan untuk memadam api apabila kebakaran berlaku. 

Menggunakan air untuk memadam kebakaran di bilik elektrik boleh menyebabkan litar pintas yang boleh menyebabkan kerosakan menjadi lebih teruk. Menggunakan air untuk memadam kebakaran di dapur pula akan menyebabkan api lebih marak sekiranya kebakaran berpunca daripada minyak masak atau lemak haiwan. Menggunakan air untuk memadam kebakaran di stor bahan kimia boleh menyebabkan penghasilan gas mudah terbakar apabila air bercampur dengan bahan kimia tertentu. Oleh itu, karbon dioksida digunakan untuk memadam kebakaran pada tempat-tempat seperti ini. 

Sebelum ini, pada tahun 1970an hingga 1980an, gas halon digunakan untuk memadam kebakaran. Walaubagaimanapun, penggunaannya telah mula dikurangkan dan dihentikan apabila perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai Protokol Montreal ditandatangani pada tahun 1987. Ini kerana pembebasan gas halon ke persekitaran boleh menyebabkan hakisan lapisan ozon pada atmosfera bumi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...