Terkena Renjatan Apabila Menyentuh Peralatan Eletrik

Oktober 29, 2011


Soalan
Saya dapati kini dalam rumah saya, apabila saya menyentuh badan besi peralatan elektrik seperti mesin basuh, mesin jahit, oven atau casing komputer, saya sering sahaja terkena renjatan elektrik. Apabila saya sentuhkan test pen pada badan peralatan elektrik tersebut, lampu  pada test pen akan menyala.

Mengapakah berlaku masalah demikian? Adakah ia berbahaya? Bagaimana untuk membaiki masalah ini?

Jawapan
Keadaan ini adalah berbahaya, sekiranya anda terkena renjatan elektrik dan arus yang melalui badan anda melebihi 0.03A, ini boleh menyebabkan kematian. Anda perlu membaiki masalah ini secepat mungkin. 

Masalah di atas menunjukkan telah berlaku litar pintas di antara wayar hidup (live) dan bumi. Litar pintas ini berlaku samada pada sistem pendawaian elektrik rumah anda ataupun di dalam peralatan elektrik.

Sepatutnya apabila berlaku litar pintas antara wayar hidup dan bumi, ELCB yang terdapat pada papan agihan elektrik akan menendang (trip) untuk memutuskan bekalan elektrik. Tetapi sekiranya ELCB tidak trip, anda akan mengalami masalah sering terkena renjatan elektrik apabila menyentuh peralatan elektrik. 

ELCB yang tidak trip apabila masalah ini berlaku menunjukkan ELCB anda telah rosak. Anda perlu mendapatkan khidmat juruelektrik untuk menukar ELCB kepada yang baru. Setelah ELCB ditukar, kerja mencari tempat berlaku litar pintas dan kerja pembaikan perlu dijalankan. 

Ada orang yang menyelesaikan masalah ini dengan menanggalkan sambungan wayar bumi di dalam soket plug atau kepala plug peralatan elektrik tersebut. Cara ini memang boleh menyelesaikan masalah renjatan elektrik pada peralatan elektrik tersebut, tetapi sekiranya berlaku litar pintas dalam peralatan elektrik tersebut, anda akan terkena renjatan elektrik juga. Malah ada peralatan elektrik atau elektronik seperti yang memerlukan wayar bumi untuk menyingkirkan gangguan elektromagnetik dan hingar. Menanggalkan wayar bumi pada peralatan ini akan membuatkan ia mudah rosak atau mengganggu fungsi peralatan elektrik tersebut.

Oleh itu, cara yang terbaik adalah gantikan ELCB dengan yang baru, kenalpasti tempat berlaku litar pintas dan baikinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...