Memaparkan catatan dengan label Fasiliti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fasiliti. Papar semua catatan

Kilat Di Dalam Rumah

Jun 01, 2012

0 komen

Ok. Kali ini masih lagi cerita tentang kilat. Arikel lalu telah diterangkan bagaimana panahan kilat terjadi dan juga bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Artikel kali ini adalah mengenai kejadian kilat di dalam rumah. Ya, kilat di dalam rumah. Walaupun ia jarang berlaku, tetapi kemungkinan untuk berlaku tetap ada. Bagaimana penahan kilat boleh terjadi dalam rumah pula?

Kilat bukan sahaja boleh berlaku di ruang langit, tetapi ia juga boleh terjadi di dalam rumah ataupun dalam peralatan elektrik. Agak jarang kilat memanah secara terus ke rumah kediaman kerana paras rumah biasanya lebih rendah daripada pokok, tiang elektrik, tangki air besar yang tinggi dan bangunan tinggi. Kilat biasanya akan ternyahcas (memancar) ke stuktur bangunan tinggi.

Tangki VIE (Vacuum Insulated Evaporator)

Mac 17, 2012

1 komen

Sekiranya anda berpeluang berjalan di sekitar halaman hospital besar ataupun kilang semikonduktor, anda mungkin boleh ternampak sebuah tangki besar dan tinggi berwarna putih seperti ditunjukkan pada gambar foto di sebelah ini (Klik pada gambar untuk besarkan). Apakah sebenarnya tangki ini?

Tangki ini dinamakan tangki VIE (Vacuum Insulated Evaporator). Di hospital, tangki ini digunakan untuk menyimpan cecair oksigen manakala di kilang semikonduktor pula, tangki ini digunakan untuk menyimpan cecair nitrogen ataupun argon. Oksigen digunakan untuk merawat pesakit manakala nitrogen atau argon digunakan dalam penghasilan komponen elektronik.

Suis Bomba (Fireman Switch)

Mac 15, 2012

0 komen

Pasti ramai yang selalu ternampak alat ini di pintu masuk pejabat ataupun di tangga kecemasan. Apakah sebenarnya alat ini ?

Alat ini ialah dipanggil suis bomba (fireman switch). Alat ini membolehkah pihak bomba memutuskan bekalan elektrik ke sesuatu tempat sebelum melakukan kerja memadam kebakaran. 

Alat ini bersambung dengan sistem agihan bekalan elektrik dalam bangunan, secara spesifiknya, alat ini disambungkan pada MCCB. Rujuk sini untuk mengetahui bagaimana alat ini disambungkan ke sistem agihan bekalan elektrik.

Pada sebelah tepi (biasanya sebelah kiri), terdapat tuil yang boleh ditarik ke bawah menggunakan tangan. Apabila tuil itu diturunkan, bekalan elektrik ke tempat tertentu akan terputus.

Menghalang Pintu Gate Dari Bergerak Ditolak Angin

Januari 14, 2012

1 komen



Idea untuk menghalang pintu gate rumah teres anda dari bergerak ditiup angin. Penyangkuk dipasang pada tembok yang telah digerudi.

Klik pada gambar untuk besarkan.







Memasang Pili Mesin Basuh Pada Paip Sinki Dapur

1 komen

Idea untuk memasang pili mesin basuh pada paip sinki jenis gooseneck (jenis wall mounted). Klik pada gambar untuk besarkan.

Perkakasan yang diperlukan adalah (dibeli di kedai hardware) :
      •   GI nipple ½"
      •   GI Tee ½"
      •   Pili untuk mesin basuh
      •   Tape putih

Dengan menggunakan spanar boleh laras (adjustable spannar) dan tape putih, pasang perkakasan di atas mengikut gambar di atas ini.

* GI - Galvanised Iron (Besi Bergalvani)
   ½" - setengah inci

Info #2: Sistem Melawan Kebakaran Karbon Dioksida

Januari 06, 2012

0 komen

Kita selalu terlihat tong silinder merah (seperti gambar di sebelah kiri ini) di luar bangunan pencawang TNB, belakang restoran, tingkat bawah shopping kompleks dan sebagainya. Apakah sebenarnya tong merah ini?

Tong silinder ini adalah sebahagian daripada sistem melawan kebakaran (fire fighting system). Tong ini mengandungi gas karbon dioksida bertekanan tinggi. Gas karbon dioksida ini akan dilepaskan apabila sensor sistem mengesan api pada sesuatu tempat.

Sistem melawan kebakaran jenis ini biasanya dipasang pada bilik kejuruteraan (seperti bilik transformer, bilik generator elektrik), dapur kafeteria/restoran dan stor bahan kimia, iaitu tempat di mana air tidak sesuai digunakan untuk memadam api apabila kebakaran berlaku. 

Menggunakan air untuk memadam kebakaran di bilik elektrik boleh menyebabkan litar pintas yang boleh menyebabkan kerosakan menjadi lebih teruk. Menggunakan air untuk memadam kebakaran di dapur pula akan menyebabkan api lebih marak sekiranya kebakaran berpunca daripada minyak masak atau lemak haiwan. Menggunakan air untuk memadam kebakaran di stor bahan kimia boleh menyebabkan penghasilan gas mudah terbakar apabila air bercampur dengan bahan kimia tertentu. Oleh itu, karbon dioksida digunakan untuk memadam kebakaran pada tempat-tempat seperti ini. 

Sebelum ini, pada tahun 1970an hingga 1980an, gas halon digunakan untuk memadam kebakaran. Walaubagaimanapun, penggunaannya telah mula dikurangkan dan dihentikan apabila perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai Protokol Montreal ditandatangani pada tahun 1987. Ini kerana pembebasan gas halon ke persekitaran boleh menyebabkan hakisan lapisan ozon pada atmosfera bumi.

Angin Dalam Paip Air

Disember 31, 2011

1 komen

Soalan
Atas siling rumah saya terdapat satu tangki air yang membekalkan air kepada dua bilik air. Tetapi masalahnya, sekiranya air dalam tangki tersebut habis, kemudian apabila tangki telah diisi penuh, semua paip air dan shower pada kedua-dua bilik air tidak mengeluarkan air.

Apabila masalah ini berlaku, saya terpaksa membuka kepala stopcock, keluarkan angin yang terdapat dalam salur paip kemudian barulah paip pada kedua-dua bilik air mengeluarkan air.

Adakah cara untuk mengatasi masalah ini? Saya sudah penat untuk membuka kepala stopcock tersebut setiap kali masalah ini berlaku.

Jawapan
Masalah seperti ini adalah disebabkan oleh fenomena 'airlock'. Ia biasa berlaku dalam saluran paip yang disambung selepas tangki air bersaiz kecil. Oleh kerana angin lebih ringan daripada air, angin akan cuba naik ke atas, tetapi dihalang oleh air yang terdapat dalam salur paip tersebut. Tetapi tekanan air daripada tangki tidak cukup untuk menolak angin itu keluar daripada salur paip, maka fenomena 'airlock' pun berlaku.

Kebiasaannya, pada salur paip selepas tangki, tukang paip akan membuat satu paip menegak ke atas. Paip menegak itu dipasang lebih tinggi dari tangki, dipasang sebaik sahaja selepas keluar tangki dan hujung salur paip tersebut dibiarkan terbuka. Tujuan paip ini adalah untuk membuang angin yang terdapat dalam salur paip tersebut dan seterusnya mencegah berlakunya 'airlock'.

Saya jangkakakan paip selepas tangki rumah anda tidak mempunyai paip tegak tersebut. Cubalah pasang paip tegak tersebut sekiranya anda mahir DIY, ataupun minta bantuan tukang paip. Rujuk gambarajah di bawah.

Kesan Air Keras

September 17, 2011

0 komen

Anda pasti pernah melihat fonemena ini di rumah: kerak kuning dalam paip air, kesan putih pada peralatan alumininum atau kepala paip, kesan kuning pada sinki seramik dan lapisan kuning atau putih pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Ada yang beranggapan ini adalah kesan pengaratan logam. Tetapi sebenarnya ini adalah kesan air keras (hard water).

Air keras yang dimaksudkan bukanlah minuman beralkohol, tetapi ia merujuk kepada kandungan mineral yang terlarut dalam air. Mineral yang biasa terdapat di dalam air adalah seperti kalsium, magnesium, strontium, ferum dan manganis. Walaubagaimanapun, di kebanyakan tempat di dunia, mineral magnesium dan mineral kalsium adalah unsur yang paling banyak ditemui di dalam air. Mineral magnesium dan kalsium ini berasal dari tanah dan batuan. Oleh kerana air yang sering kita guna dalam kehidupan seharian diperolehi dari air sungai dan air bawah tanah, maka tidak hairanlah air mempunyai kandungan mineral ini.  

Mineral kalsium dan magnesium wujud dalam air dalam bentuk sebatian kalsium bikarbonat dan magnesium bikarbonat [4]. Kalsium bikarbonat dan magnesium bikarbonat akan mengurangkan keupayaan sabun atau detergen membentuk buih dan seterusnya mengurangkan kecekapan untuk membersih. Apabila dipanaskan, kalsium bikarbonat dan magnesium bikarbonat akan terurai dan membentuk kalsium karbonat dan magnesium karbonat. Kalsium karbonat dan magnesium karbonat adalah mineral yang tidak larut dalam air dan ia akan membentuk kerak (scale) kuning atau putih pada permukaan dalam paip air, tangki air, elemen pemanas dan sebagainya.

Kekerasan air dibahagi kepada dua bahagian iaitu kekerasan sementara dan kekerasan kekal.  Air yang mempunyai kekerasan sementara adalah air yang mempunyai mineral bukan sulfat atau klorida. Air ini boleh ditulenkan melalui proses penyulingan. Manakala air yang mempunyai kekerasan kekal adalah air yang mempunyai mineral sulfat atau klorida seperti kalsium sulfat, magnesium klorida dan sebagainya. Air ini tidak boleh ditulenkan melalui proses penyulingan kerana mineral sulfat dan klorida akan semakin melarut apabila suhu air meningkat.

Tahap kekerasan air disukat berdasarkan berat unsur kalsium dan magnesium. Walaubagaimanapun,  ia biasanya disetarakan dengan berat kalsium karbonat. Secara relatifnya, 1 mg kalsium karbonat adalah bersamaan dengan 2.5 mg kalsium dan 4.1 mg magnesium [6]. Tahap kekerasan air disukat dalam unit mg/L (berat kalsium karbonat dalam 1 liter air). Unit lain untuk sukatan tahap kekerasan air adalah seperti ppm (parts per million), darjah Perancis, darjah Jerman dan darjah Inggeris. Jadual 1 di bawah menunjukkan kategori tahap kekerasan air [2, 3]

KATEGORI
BACAAN (mg/L)
Sangat lembut
kurang 17
Lembut
17 - 60
Keras
60 - 120
Agak keras
120 - 180
Sangat keras
lebih 180
Jadual 1: Kategori air keras

Jabatan Alam Sekitar Malaysia mengukur tahap kekerasan menggunakan unit mg/L. Jabatan ini menetapkan tahap kekerasan untuk air yang dibekalkan di rumah tidak melebihi 500 mg/L. [1]

Bacaan kekerasan air boleh diukur dengan menggunakan tiga cara iaitu menggunakan kertas uji, kaedah pentitratan EDTA (ethylenediaminetetraacetic acid) dan penggunaan ion-selective electrode. Penggunaan kertas uji adalah cara paling mudah dan boleh dilakukan oleh pengguna di rumah. Hanya celupkan kertas uji ke dalam air, kemudian bandingkan warna yang terhasil pada hujung kertas uji dengan carta yang dibekal bersama kertas uji tersebut untuk mendapatkan bacaan kekerasan air. Kaedah pentitratan EDTA pula biasa digunakan di makmal. Asid ethylenediaminetetraacetic akan dititikkan ke dalam air keras sehingga air berubah menjadi warna tertentu. Kemudian bacaan kekerasan air diukur berdasarkan kepekatan dan kuantiti asid ethylenediaminetetraacetic yang dititikkan ke dalam air keras tersebut. Penggunaan ion-selective electrode pula digunakan untuk mendapatkan bacaan yang lebih jitu. 

Gambar 1: Kertas uji kekerasan air

Gambar 2: Meter kekerasan air yang menggunakan ion-selective electrode

Tahap kekerasan berkait rapat dengan sifat konduktiviti dan tahap pH air. Konduktiviti adalah keupayaan sesuatu bahan mengaliran arus elektrik dan biasanya diukur dalam unit µS/cm (mikroSiemen per sentimeter), manakala tahap pH adalah ukuran keasidan atau kealkalian air. 0 µS/cm bermaksud langsung tidak boleh mengalirkan arus elektrik. Bacaan sifat asid adalah pH 0-7, sifat alkali adalah pH 7-14, dan pH 7 adalah bacaan neutral. Untuk konteks ini, semakin tinggi tahap kekerasan air, semakin tinggi nilai konduktiviti dan lebih beralkali. 

Air lembut
Air lembut atau air tulen pula dirujuk kepada air yang kurang atau bebas dari mineral terlarut. Contoh air yang dikategorikan sebagai air lembut atau air tulen adalah air suling, air hujan dan air reverse osomosis. Pada suhu bilik, air tulen mempunyai bacaan konduktiviti kurang dari 0.05 µS/cm (hampir tidak mengalirkan arus elektrik) dan pH 7 (neutral). Air tulen biasakan digunakan untuk analisis kimia di makmal, dialisis, pembuatan bateri asid berplumbum dan penjanaan stim. 

Oleh kerana air tulen tidak mempunyai sebarang mineral terlarut, ia akan sentiasa ‘lapar’ dan cuba menyerap sebarang unsur di laluannya. Oleh itu, air tulen tidak sesuai digunakan dalam sistem pembekalan air yang menggunakan paip logam kerana ia boleh menghakis permukaan paip dan menyebabkan bocor. Untuk kegunaan dalam radiator kereta, air tulen hendaklah campurkan dengan coolant untuk untuk menghilangkan sifat menghakisnya. Air tulen tidak sesuai untuk diminum kerana ia akan menyerap mineral dan vitamin yang terdapat dalam badan manusia dan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit. Air tulen mampu menyerap logam berbahaya seperti plumbum dan kadmium dan menyebabkan ia berbahaya untuk diminum.

Kesan air keras
Menurut WHO (World Health Organisation), setakat ini tiada bukti kukuh mengenai kesan buruk air keras kepada manusia. Malah air keras dikatakan diet yang baik untuk keperluan kalsium dan magnesium untuk manusia. Malah ada penyelidik menyatakan bahawa air keras boleh mencegah penyakit jantung dan kanser.

Walaubagaimanapun, air keras menimbulkan pelbagai masalah pada peralatan tertentu dan sistem perpaipan. Air keras akan menyebabkan pembentukan kerak pada permukaan dalam paip logam dan lama-kelamaan ini akan mengecilkan saluran paip dan seterusnya mengurangkan aliran air ataupun menyebabkan sumbat. Selain itu, pengguna di rumah akan mendapati pembentukan kerak pada pemancur air (shower), kepala paip, penapis, permukaan dalam tangki air, singki, tab mandi dan jubin. Ia juga meninggalkan kesan putih pada peralatan aluminium dan kaca. Semakin tinggi tahap kekerasan air, semakin cepat kesan ini berlaku. 

Kerak juga boleh terbentuk pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Ia akan menyebabkan air lambat mendidih dan ini akan meningkatkan kos bil elektrik. Pakaian dan perkakasan dapur tidak dapat dibersihkan dengan sempurna kerana air keras mengurangkan kecekapan sabun untuk menanggalkan kotoran. Ini menyebabkan penggunaan sabun perlu ditingkatkan. Rasa sedap minuman atau makanan akan berkurangan sekiranya tahap kekerasan air terlalu tinggi. Membasuh rambut menggunakan air yang terlalu keras akan menyebabkan rambut menjadi kusut dan kusam. Air keras juga membuatkan pakaian menjadi kasar apabila kering dan ini akan memendekkan jangkahayat pakaian.

Gambar 3: Kesan air keras

Terdapat beberapa cara yang digunakan untuk melembutkan air yang biasa digunakan oleh pihak industri. Antaranya menggunakan sistem tapisan reverse osmosis (RO). Sistem tapisan ini menggunakan penapis membran yang membenarkan molekul air sahaja melaluinya. Air yang keluar daripada sistem ini adalah hampir tulen tetapi kos penyelenggaraan menggunakan sistem tapisan ini sangat mahal. Proses penyulingan menggunakan alat penyuling air (water distiller) boleh digunakan untuk melembutkan air tetapi ia tidak boleh digunakan pada air yang mempunyai kandungan mineral sulfat dan klorida yang tinggi. Malah, alat penyuling air memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi untuk mendidihkan air. Penggunaan teknologi ion-exhanger banyak digunakan di industri memandangkan kosnya adalah berpatutan. Teknologi ini terdiri silinder yang diisi dengan resin dan air keras akan melalui silinder ini. Resin akan memerangkap unsur kalsium dan magnesium dan menggantikannya dengan unsur lain. Contohnya, sekiranya resin sodium digunakan, resin akan memerangkap mineral kalsium dan mangnesium dan membebaskan unsur sodium ke air keluar. 


Gambar 4: Cara kerja teknologi ion-exhanger untuk melembutkan air

Air lembut juga boleh diperolehi dengan meneutralkankan air pada pH 7. Dengan menambahkan asid pada air keras sehingga bacaan pH 7 diperolehi, air lembut akan terhasil. Penggunaan bahan kimia seperti sal soda (sodium bikarbonat) juga boleh digunakan. Ia akan bertindakbalas dengan mineral kalsium dan magnesium untuk membentuk mineral tidak larut. Mineral tidak larut ini kemudian ditapis atau dimendakkan di dalam tangki.

Memandangkan air keras tidak membahayakan kesihatan manusia, adalah tiada keperluan untuk memasang mesin pelembut air di rumah. Untuk mengurangkan kesan air keras terhadap penggguna, sinki, kepala paip, cermin, jubin dan peralatan aluminium hendalah selalu dibersihkan apabila mula terdapat tanda kekotoran. Tangki takungan air hendaklah dibersihkan sekurang-kurangnya setahun sekali.  Elemen pemanas dan permukaan dalam cerek hendaklah sentiasa dibersihkan supaya air dapat dimasak dengan cepat.  Penggunaan paip logam hendaklah dikurangkan, sebaliknya diganti dengan paip PVC atau paip poli. Gunakan pelembut kain (fabric softener) untuk membasuh baju supaya baju menjadi lembut apabila kering. Penggunaan air hujan untuk membasuh pakaian juga boleh membantu mengurangkan penggunaan sabun..

*Artikel ini telah tersiar dalam Majalah Dewan Kosmik edisi Ogos 2011. Muaturun artikel ini dalam fail PDF di sini

Rujukan
[1] http://www.doe.gov.my/portal/water-marine-ground-water/ground-water-quality-status/
[2] http://www.hardwater.org/hard_water_testing.html
[3] http://elkhorn.unl.edu/epublic/live/g1491/build/g1491.pdf
[4] http://www.lenntech.com/ro/temporary-hardness.htm
[5] http://www.globalw.com/support/hardness.html
[6] http://www.lenntech.com/ro/water-hardness.htm

Warna Cahaya Lampu Kalimantang

September 06, 2011

2 komen

Dalam pasaran domestik (untuk kegunaan rumah), terdapat tiga jenis lampu kalimantang (tidak kira jenis pendek, panjang, berbentuk bulat atau kompak) yang biasa dijual iaitu:

       •   Warm White
       •   Cool White (atau Neutral White)
          Daylight (atau Cool Daylight)


Warm While, Cool White dan Cool Daylight adalah merujuk kepada jenis warna yang dikeluarkan oleh lampu kalimantang tersebut. 

Warna Warm White adalah warna putih dengan sedikit kuning atau kemerah-merahan, warna Cool White  pula adalah warna putih biasa manakala warna Daylight adalah warna putih kebiru-biruan. Oleh itu, sebelum anda membeli lampu kalimantang, pastikan dulu jenis cahaya yang dikeluarkan oleh lampu tersebut. 

Lampu kalimantang Warm White digunakan untuk mewujudkan persekitaran santai, sesuai digunakan di dapur, bilik tidur, bilik air atau ruang rehat. Lampu Cool White pula sesuai untuk lampu meja, perpustakaan, pejabat, ruang untuk membaca buku atau surat khabar, manakala lampu Daylight adalah untuk mewujudkan persekitaran jelas dan aktif seperti di bengkel atau ruang bekerja. Penggunaan lampu Daylight di bengkel akan meningkatkan penumpuan seseorang semasa menggunakan mesin dan peralatan pertukangan.

Terdapat satu lagi parameter penting berkaitan dengan lampu kalimantang ini iaitu Color Rendering Index (CRI - Indeks Penyebaran Warna). Indeks penyebaran warna adalah keupayaan cahaya lampu menyerlahkan warna sebenar sesuatu objek. Ia diukur dalam skala 0 hingga 100, di mana indeks 100 adalah pengecaman warna pada cahaya matahari. Sebagai contoh, sebuah objek berwarna merah dan biru, apabila disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang rendah, warna sebenar objek tersebut sukar dicam. Sebaliknya jika disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi, maka objek tersebut dengan jelas berwarna merah dan biru. 

Sekiranya anda mahu menjadikan makanan yang dihidangkan di meja makan nampak menarik dan sedap, gunakan lampu Warm White yang mempunyai indeks penyebaran yang tinggi (melebihi 80). Sebab itulah lampu jenis ini sering digunakan pada tempat hidangan makanan di restoran ataupun kedai makan. Jika anda mahu menyerlahkan warna dan kecantikan hiasan langsir dan hiasan anda di ruang tamu, gunakan lampu kalimantang Cool White yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi.

Lampu kalimantang yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi sangat sesuai dipasang di meja solek untuk kerja-kerja menyolek atau andaman dan juga untuk sesi penggambaran di dalam rumah. Gambar di bawah ini menunjukkan contoh kesan warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna terhadap penyerlahan warna sesuatu objek.


Jenis warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna boleh diketahui pada kotak pembungkusan tiub kalimantang. Perkataan Warm White, Cool White dan Daylight biasanya ada tertulis jelas pada kotak pembungkusan tersebut. Untuk mengetahui indeks penyebaran warna pula, anda perlu merujuk pada nombor model lampu tersebut. 


Gambarajah di atas adalah contoh kotak pembungkusan lampu kalimantang. Secara jelas anda akan nampak perkataan 'Cool Daylight'. Perkataan 36W menunjukkan ini adalah lampu kalimantang panjang. Perkataan 'TL-D 36W/865' adalah nombor model lampu kalimantang tersebut. Nombor model lampu juga ada tertera pada tiub kalimantang itu sendiri. Nombor 865 adalah kod warna untuk lampu tersebut. '865'  bermaksud lampu ini mengeluarkan cahaya 'Cool Daylight' dengan indeks penyebaran warna lebih kurang 85. Rujuk jadual di bawah tentang kod warna tersebut.

Kod warna
Warna
Indeks Penyebaran Warna
29
Warm White
50 - 70
727
29-727
33
Cool White
50 - 70
740
33-740
54
Daylight
50 - 70
765
54-765
827
Warm White
85
830
840
Cool White
85
841
860
Daylight
85
865
927
Warm White
95
941
Cool White
95
940
950
Daylight
95
965

Elakkan Penggunaan Air Paip Untuk Radiator Kenderaan Anda

Januari 27, 2011

0 komen

Radiator adalah komponen terpenting dalam sistem penyejukkan enjin sesebuah kenderaan. Sistem ini memastikan enjin kenderaan tidak berada dalam kepanasan melampau yang boleh merosakkan komponen dalam enjin tersebut. Dengan menggunakan air, haba panas dari enjin akan diserap oleh air dan dipam ke radiator untuk sejukkan semula. Air yang telah disejukkan tersebut dihantar semula ke badan enjin dan proses ini akan sentiasa berterusan sehingga enjin dimatikan.

Untuk penjagaan sistem penyejukan enjin, radiator  perlu di'flush' sekurang2nya setahun sekali. Kemudian radiator diisi semula dengan dengan campuran air dan coolant. Walaubagaimanapun, ramai orang termasuk mekanik menggunakan air paip yang dicampurkan dengan coolant untuk diisi ke dalam radiator.

Penggunaan air paip akan memberi kesan buruk kepada sistem penyejukan kenderaan. Air paip mempunyai kandungan ion magnesium dan kalsium yang akan membentuk enapan kuning apabila air menjadi panas. Enapan kuning ini akan melekat pada permukaan badan enjin kenderaan dan ini akan mengurangkan kadar serapan haba dari enjin. Lebih teruk lagi enapan ini akan menjadi semakin tebal dan ini boleh mengganggu peredaran sistem penyejukkan enjin.

Adalah dinasihatkan agar anda menggunakan air reverse osmosis (RO) yang dicampurkan dengan coolant (cecair yang berwarna merah atau hijau). Fungsi coolant adalah untuk menaikkan takat didih air supaya air masih dapat menyerap haba dari kenderaan walaupun suhu enjin mencecah 100oC. Anda boleh mendapatkan air RO pada mesin menjual air minuman ataupun dijual dalam botol air mineral di pasaraya.

Mangisi air RO ke dalam radiator tanpa mencampurkan dengan coolant juga akan mendatangkan mudarat. Air RO tanpa coolant adalah mengakis dan ia boleh membocorkan radiator atau badan enjin dalam jangkasamasa panjang.

Untuk lebih mudah, anda juga boleh mendapatkan coolant yang telah siap dicampurkan dengan air RO di kedai2 yang menjual alat ganti kereta. Walaupun agak mahal, tetapi kerja anda akan menjadi lebih mudah.

Kesan Air Keras (Hard Water)

Disember 16, 2010

0 komen


Anda pasti pernah terlihat keadaan seperti gambarajah di atas: enapan kuning dalam paip air, kesan putih pada peralatan alumininum atau kepala paip, kesan kuning pada sinki seramik dan lapisan kuning/putih pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Semua ini adalah kesan air keras (hard water)

Air keras yang dimaksudkan bukanlah minuman beralkohol, tetapi ia merujuk kepada kandungan ion magnesium dan ion kalsium yang tinggi dalam air. Tahap 'kekerasan' air biasanya disukat dalam unit mg/L (miligram per liter - berat unsur kalsium dan magnesium dalam 1 liter air). Jadual di bawah menunjukkan kategori tahap kekerasan air

KATEGORI
BACAAN (mg/L)
Sangat ‘lembut’
< 17
‘Lembut’
17 - 60
‘Keras’
60 - 120
Agak ‘keras’
120 - 180
Sangat ‘keras’
> 180

Tahap 'kekerasan' air di Malaysia biasanya adalah dalam lingkungan 5 hingga 80 mg/L, bergantung kepada kandungan unsur magnesium dan kalsium dalam tanah di sesuatu tempat. Bacaan 'kekerasan' ini biasanya agak tinggi pada waktu hujan. Tahap 'kekerasan' air yang tinggi tidak memberikan kesan kepada kesihatan manusia, tetapi memberi kesan kepada peralatan tertentu dan sistem perpaipan air. Berikut adalah kesan yang dihadapi akibat tahap 'kekerasan' air yang tinggi:
  • Membentuk enapan kuning dalam paip besi bergalvani (paip GI) dan akan mengecilkan saluran paip tersebut dalam jangkamasa panjang. Enapan ini juga boleh menyebakan lapisan galvani pada paip besi tertanggal, menyebabkan besi berkarat dan seterusnya berlaku kebocoran. 
  • Membentuk enapan kuning pada shower, kepala paip, bidet hos dan menyebabkan sumbat
  • Membentuk lapisan kuning dan hitam pada permukaan dalam tangki air dan jika lama-kelamaan akan menjadi keras dan sukar dibersihkan
  • Membentuk lapisan kuning atau putih pada eleman pemanas dalam cerek elektrik. Ini akan menyebabkan air lambat panas dan meningkatkan penggunaan elektrik
  • Meninggalkan kesan putih pada peralatan aluminium dan kaca
  • Mengurangkan kecekapan sabun untuk membersih (buih kurang)
  • Mengurangkan rasa minuman dan makanan

Terdapat beberapa cara untuk menurunkan tahap 'kekerasan' air iaitu
  • Menggunakan sistem tapisan reverse osmosis (RO)
  • Menggunakan alat penyuling air (water distiller) - air dipanaskan, wap air yang tersejat, dikumpul dan disejukkan untuk memperolehi air suling
  • Menggunakan resin softener - resin ion natrium, kalium atau hidrogen digunakan untuk menyerap ion magnesium dan ion kalsium
  • Meneutralkan air (pH 7) menggunakan kaedah kimia
  • Menggabungkan ion magnesium, kalium dan ion lain menjadi satu sebation menggunakan kaedah kimia. Sebatian tersebut kemudian akan mendak ke bawah takungan air

Kaedah di atas memerlukan kos yang tinggi dan biasa digunakan dalam industri. Bagi pengguna di rumah, adalah tidak berbaloi untuk mendapatkan bekalan air pada tahap 'kekerasan' yang rendah memandangkan ia tidak menjejaskan kesihatan. Walaubagaimanapun, langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan akibat 'kekerasan' air adalah:
  • Kerap membersihkan sinki, paip air, cermin, jubin dan peralatan aluminum apabila sudah mula terdapat tanda kekotoran
  • Kerap membersihkan tangki air
  • Mengurangkan penggunaan paip GI dalam sistem perpaipan rumah, gunakan paip air jenis PVC, polypipe, paip tembaga atau paip stainless steel
  • Kerap bersihkan element pemanas di dalam cerek elektrik
  • Menggunakan pelembut kain (fabric softener) apabila membasuh baju
  • Membasuh baju menggunakan air hujan, baju akan dapat dibersihkan dengan penggunaan sabun yang minima.
*Klik sini untuk artikel lengkap mengenai kesan air keras.


Jenis-jenis Api Kebakaran Dan Pemadam Api

Oktober 29, 2010

0 komen

Api kebakaran boleh diklasifikasikan kepada 4 jenis iaitu;

1. Kelas A
Api berpunca daripada bahan pepejal (kecuali logam) sepeti kayu, kertas, kain, plastik dan sebagainya.

2. Kelas B
Berpunca dari bahan cecair  yang mudah terbakar seperti minyak petrol, gas dapur, diesel, varnis, cat dan sebagainya.

3. Kelas C
Berpunc dari gas atau wap yang mudah terbakar seperti hidrogen, methane, propane, oxy-acetylene, gas LPG dapur dan sebagainya.

4. Kelas D
Berpunca dari bahan logam seperti magnesium, aluminium, natrium, kalium dan sebagainya.

5. Kelas E
Berpunca dari bahan masakan seperti minyak masak atau lemak.

Kebakaran dari peralatan elektrik pula tidak dikelaskan.

Nota: Pengelasan jenis api kebakaran di atas hanya sah di Malaysia sahaja. Di negara-negara lain, pengelasan jenis api adalah berbeza.

Berikut adalah jenis pemadam api yang biasa digunakan:

1) Pemadam Api Serbuk Kering ABC



Berat: 12kg atau 3kg
Warna: Biru
Jenis api yang boleh dipadamkan: A,B dan C
Catatan : Boleh digunakan sekali sahaja, serbuknya boleh merosakkan logam, enjin dan badan kenderaan, berbahaya kepada makanan.






2) Pemadam Api Karbon Dioksida



Berat: 3kg
Warna: Hitam
Jenis api yang boleh dipadamkan: Api dari peralatan elektrik
Catatan: Tidak sesuai untuk persekitaran terbuka







3) Pemadam Api Serbuk Kering ABC




Berat: 12kg dan 3kg
Warna: Merah
Jenis api yang boleh dipadamkan: A, B, C dan api dari peralatan elektrik
Catatan: Boleh digunakan sekali sahaja.





Setiap alat pemadam api untuk kegunaan bukan domestik (seperti di kilang dan pejabat) wajib didaftarkan kepada pihak bomba melalui kontraktor yang telah berdaftar dengan pihak bomba. Pihak bomba akan mengeluarkan sijil untuk setiap alat pemadam api dan juga pelekat untuk ditampal pada badan pemadam api tersebut. Sijil ini perlu diperbaharui setiap tahun, manakala alat pemadam api yang berusia lebih 10 tahun perlu dilupuskan kerana bahan kimianya tidak lagi efektif untuk memadamkan api. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...