Kilat: RCCB Trip dan Peralatan Elektrik Rosak

Mei 15, 2012


Kilat adalah fenomena alam semulajadi yang biasa berlaku di negara kita. Malah Malaysia tergolong antara 3 negara yang mempunyai aktiviti kilat tertinggi di dunia. Boleh dikatakan sentiasa sahaja berlaku kemalangan jiwa akibat panahan kilat di Malaysia. Pembaca yang berminat tentang kemalangan yang disebabkan kilat boleh merujuk di blog ini: http://kilatmalaysia.blogspot.com

Artikel lalu telah menerangkan tentang kejadian kilat dan alat perangkat kilat. Artikel kali ini pula akan menerangkan bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Pasti ramai yang menyedari apabila kilat memancar di kawasan rumah anda, RCCB di papan agihan elektrik di rumah anda pasti akan terpelantik (trip). Mengapakah RCCB boleh trip?

RCCB trip apabila kilat memancar, itu menunjukkan RCCB anda berfungsi. Apabila kilat memancar, ia akan memancarkan gelombang elektromagnet. Gelombang elektromagnet ini sama seperti gelombang radio, sinar x-ray atau gelombang microwave, ia tidak dapat dilihat tetapi boleh memberi kesan tertentu pada persekitaran. Gelombang elektromagnet yang dijana oleh kilat akan menyebabkan voltan bekalan elektrik naik mendadak (overvoltage) dalam masa yang singkat. Contohnya bekalan elektrik ke rumah anda adalah 240V, tetapi apabila kilat memancar, voltan elektrik di rumah anda akan naik mendadak secara tiba-tiba sehingga melebihi 1000V dalam sela masa beberapa mili saat (1 mili saat = 0.001 saat). Walaupun kejadian ini berlaku dalam masa yang sangat singkat, tetapi ia sudah cukup untuk merosakkan peralatan elektrik rumah anda.

Nasib baik sistem bekalan elektrik rumah kita dilengkapi dengan RCCB. Ia bukan sahaja melindungi anda dari renjatan elektrik, malah melindungi peralatan elektrik dari overvoltage. Apabila berlaku overvoltage disebabkan kilat, arus elektrik dalam rumah anda menjadi tidak stabil. Ketidakstabilan ini akan dikesan oleh RCCB dan seterusnya trip untuk memutuskan bekalan elektrik (Cara kerja RCCB boleh dibaca di artikel ini). Apabila bekalan elektrik diputuskan, kejadian overvoltage tidak 'sempat' berlaku dan peralatan elektrik di rumah anda akan selamat.

Walaubagaimanapun, ada sesetengah kes, ada juga peralatan elektrik yang rosak walaupun RCCB telah trip apabila kilat memancar. Kejadian ini boleh berlaku kerana RCCB lambat bertindak untuk memutuskan bekalan elektrik apabila berlaku overvoltage. Sekiranya perkara ini berlaku, ini menunjukkan RCCB tidak berfungsi dengan baik. Tidak perlulah tuding jari menyalahkan TNB bila perkara ini berlaku pada anda. Cepat-cepatlah cari wireman untuk gantikan RCCB anda dengan yang baru dan berkualiti. Panduan untuk anda apabila membeli RCCB: semakin mahal harga RCCB, makin berkualiti dan boleh dipercayai RCCB tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...