Kipas Siling Kawalan Jauh Semakin Perlahan

September 21, 2013

0 komen

Saya sering sahaja menerima email mengadu tentang masalah kipas siling kawalan jauh mereka yang bermasalah. Antara masalah yang sering diadukan adalah kipas tidak berpusing laju atau tidak berpusing langsung walaupun terdapat bunyi 'tit tit' apabila alat kawalan jauh ditekan. Masalah ini berlaku BIASANYA berpunca dari kerosakan kapasitor yang terdapat pada papan litar (PCB) dalam kipas tersebut.

Pada artikel lalu, saya ada menunjukkan lokasi kedudukan kapasitor bagi kipas siling biasa yang terletak pada bahagian atas kipas. Kipas siling biasa hanya memerlukan satu kapasitor sahaja untuk berfungsi. Tetapi untuk kipas siling kawalan jauh memerlukan beberapa buah kapasitor dan ia dipasang pada PCB di dalam kipas tersebut. 

Apabila anda menanggalkan kipas kawalan jauh yang bermasalah itu, anda akan menemui (PCB) seperti gambar di bawah ini. Pada PCB ini, terdapat dua jenis kapasitor, iaitu kapasitor 'start' dan kapasitor 'run', yang mana saiznya lebih besar daripada komponen elektronik yang lain yang ada pada PCB tersebut. Kapasitor 'start' BIASANYA berwarna hitam, manakala kapasitor 'run' pula BIASANYA berwarna kuning atau coklat. Sekiranya kapasitor tersebut berwarna lain, terpaksalah anda menggunakan kebijaksanan sendiri atau mendapatkan bantuan mereka yang mahir elektronik untuk mengecam kapasitor 'start' dan kapasitor 'run'.

Berdasarkan pengalaman saya, kapasitor 'start' yang sering menjadi punca kepada masalah kipas perlahan dan tidak berpusing. Sekiranya anda dapati kapasitor 'run' menggelembung, ganti juga kapasitor tesebut. Tanggalkan kapasitor dari PCB dan gantikan dengan yang baru. Pastikan kadar voltan kapasitor baru tersebut adalah lebih dari 400VAC dan mempunyai nilai Farad yang lebih kurang sama dengan yang asal. Selamat mencuba ;-)




Pemasangan RCCB Tambahan Untuk Pemancur Air Panas

September 20, 2013

0 komen

Semalam (19 September 2013), Suruhanjaya Tenaga (ST) telah menguatkuasakan Akta Bekalan Elektrik 1994, Peraturan 36, No. 2 yang mewajibkan pemasangan RCCB dengan kepekaan 10 miliAmpere (10mA) pada setiap alat pemancur air panas [1, 2] . Tindakan ini dilakukan berikutan meningkatnya kes kematian akibat renjatan elektrik berpunca dari litar pintas yang berlaku pada alat pemancur air panas sejak kebelakangan ini. Pengguna di rumah yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda sehingga RM5000 [2].

RCCB (Residual Current Circuit Breaker) adalah peranti penting yang sering dipasang pada sistem pembekalan elektrik di dalam sesebuah premis bertujuan untuk mengelakkan renjatan elektrik yang boleh membawa kepada kematian. Sekiranya terdapat arus elektrik yang melalui badan manusia, RCCB akan mengesan keadaan ini dan secara automatik memutuskan bekalan elektrik. Pembaca yang berminat mengetahui info teknikal mengenai RCCB, bolehlah merujuk pada pautan ini.

Meskipun, RCCB telah dipasang pada papan agihan bekalan elektrik, tetapi ada kemungkinan RCCB tersebut gagal/lambat berfungsi apabila berlaku renjatan elektrik. Tambahan pula, RCCB di papan agihan biasanya tidak dapat mengesan arus renjatan elektrik yang kecil, malah lambakan peralatan elektronik kebelakangan yang kurang berkualiti (tiada mendapat persijilan dari agensi antarabangsa yang berkaitan) telah menyebabkan RCCB semakin kurang sentitif untuk mengesan renjatan elektrik [3]. Oleh itu, pemasangan RCCB tambahan berkepekaan tinggi diperlukan untuk mengesan kejadian renjatan elektrik yang disebabkan oleh litar pintas dari pemancur air panas.

RCCB tambahan ini hendaklah dipasang pada kabel bekalan kuasa pemancur air panas. RCCB berkepekaan 10mA hendaklah digunakan pada pemasangan ini. RCCB 10mA sepatutnya dipasang pada peralatan elektrik yang melibatkan air, tempat basah atau lembab dan tempat hiburan awam seperti pemancur air panas, pam air, lampu dalam air dan alat permainan di tempat hiburan awam [2]. RCCB 10mA juga direka untuk pemasangan pada alat biomedikal di hospital dan juga peralatan elektrik yang melibatkan  pengunaaan oleh orang tua dan kanak-kanak/bayi [4] .

Kebanyakkan pemancur air panas yang dijual kini telah dilengkapi RCCB terbina dalam, jadi dengan pemasangan RCCB tambahan ini, bermakna terdapat 2 peringkat keselamatan untuk alat pemancur air panas. Sekiranya RCCB terbina dalam alat pemancur air panas gagal/lambat berfungsi memutuskan bekalan elektrik apabila renjatan elektrik berlaku, maka RCCB tambahan akan bertindak.

Kos pemasangan RCCB tambahan ini adalah sekitar RM300-500 bagi setiap alat pemancur air panas. Kepada yang mahir bertukang dan membuat pendawaian, anda boleh memasang sendiri dengan harga yang lebih murah. Contoh cadangan pendawaian RCCB tambahan pada pemancur air panas ditunjukkan pada gambarajah di bawah artikel ini. RCCB kepekaan 10mA sukar didapati di pasaran dan juga mahal; di laman web RS-Malaysia, RCCB jenis ini dijual pada harga RM250. Akan tetapi, dengan berkuatkuasakan peraturan ini, dijangka RCCB ini akan banyak dijual dan murah dalam jangkamasa terdekat ini.

Walaupun saya meragui keupayaan pihak ST pergi rumah ke rumah untuk memeriksa pemasangan RCCB tambahan ini, tetapi sekiranya terdapat kes kematian renjatan elektrik dari alat pemancur air panas akibat ketiadaan RCCB tambahan, ST mempunyai alasan yang kukuh untuk menghukum pihak yang terlibat. Kepada mereka yang mempunyai pemancur air panas di rumah, diharap dapat diusahakan pemasangan RCCB tambahan ini walaupun harganya mahal demi keselamatan keluarga. Diharap juga pihak ST dapat memberikan masa yang mencukupi kepada rakyat Malaysia untuk membuat pemasangan ini sebelum mengenakan denda kepada pengguna yang gagal mematuhi peraturan ini.


Rujukan:

[2] Undang-undang Malaysia, "Akta Bekalan Elektrik - Peraturan-Peraturan Elektrik," 1994.

[3] Schneider Electric, "Electrical Installation Continuity of Supply: Protection against nuisance tripping and voltage surge," 2007.

[4] Electro-Technical Council of Ireland Limited, "Guide to the Selection & Use of Residual Current Devices," 2005.

Teras Ferrite Pada Kabel

Februari 17, 2013

1 komen

Saya pasti ramai antara kita yang menyedari teras hitam yang terdapat pada kebanyakkan kabel audio visual ataupun pada kabel kuasa untuk gajet. Apakah sebenarnya teras hitam ini? Apakah peranannya pada sesebuah kabel?

Sebenarnya teras hitam ini adalah teras Ferritte. Teras Ferritte diperbuat daripada logam manganese-zinc ataupun logam nickel-zinc. Peranannya pada kabel adalah sebagai penapis isyarat hingar (noise). 

Secara ringkasnya, hingar adalah isyarat yang tidak dikehendaki yang membuatkan arus elektrik berada dalam keadaan turun naik secara rawak (tidak stabil). Arus elektrik yang dipengaruhi hingar boleh mengganggu fungsi sesebuah peralatan seperti bacaan sensor yang kurang tepat, bateri tidak dicas dengan sempurna, menjana haba tambahan pada komponen elektronik dan sebagainya. Hingar biasanya dihasilkan oleh gelombang elektromagnet seperti gelombang radio, gelombang telefon mudah alih, pancaran kilat, peralatan elektronik berfrekuensi tinggi dan sebagainya. Pada zaman ini, gelombang elektromagnet terdapat di mana-mana sahaja pada setiap masa, jadi gangguan hingar dalam kabel elektrik adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Oleh itu, teras Ferritte digunakan untuk menapis dan mengurangkan isyarat hingar.

Gambar di bawah menunjukkan contoh arus elektrik yang telah dipengaruhi oleh hingar, kemudian kesan hingar telah dikurangkan setelah ditapis oleh teras Ferritte.


Bagaimanakah teras Ferritte boleh mengurangkan kesan hingar pada isyarat elektrik? Agak sukar saya terangkan kerana konsepnya sama seperti litar elektronik yang terdapat komponen perintang, kapasitor dan gegelung yang memerlukan penjelasan yang panjang lebar. Malah penerangannya juga harus melibatkan persamaan matematik yang agak kompleks. 

Walaubagaimanapun secara analoginya, teras Ferritte boleh diibaratkan seperti tangki air, arus elektrik seperti bekalan air dari syarikat utiliti air dan gangguan hingar adalah seperti gangguan bekalan air. Sekiranya pili air dipasang sebelum tangki,  apabila berlaku gangguan bekalan air, maka air yang keluar dari pili juga akan terganggu. Tetapi sekiranya pili paip dipasang selepas tangki air, jika berlaku gangguan bekalan air dari syarikat utiliti air, air yang keluar dari pili air masih lagi berterusan selagi tangki air masih menyimpan air.

Menguji Fius Menggunakan Test Pen

7 komen

Anda ingin memeriksa sebuah fius untuk mengetahui samada ia berkeadaan baik atau tidak, tetapi pada masa yang sama anda tidak memiliki multimeter. Jangan putus asa, anda boleh memeriksa fius tersebut dengan menggunakan test pen.

Masukkan hujung test pen pada terminal live di soket plug. Hidupkan suis pada soket plug, kemudian sentuhkan hujung fius pada bontot test pen dan hujung fius yang lagi satu anda pegang dengan tangan anda sendiri (tanpa memakai sarung tangan). Sekiranya lampu pada test pen itu menyala, itu menunjukkan fius dalam berkeadaan baik. Jika lampu test pen tidak menyala, maka wayar dalam fius tersebut telah terputus.

Idea ini sangat berguna apabila kita mahu memeriksa fius yang badannya diperbuat daripada seramik, yang mana fius jenis ini kita tidak dapat keadaan dalam fius tersebut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...