Angin Dalam Paip Air

Disember 31, 2011

1 komen

Soalan
Atas siling rumah saya terdapat satu tangki air yang membekalkan air kepada dua bilik air. Tetapi masalahnya, sekiranya air dalam tangki tersebut habis, kemudian apabila tangki telah diisi penuh, semua paip air dan shower pada kedua-dua bilik air tidak mengeluarkan air.

Apabila masalah ini berlaku, saya terpaksa membuka kepala stopcock, keluarkan angin yang terdapat dalam salur paip kemudian barulah paip pada kedua-dua bilik air mengeluarkan air.

Adakah cara untuk mengatasi masalah ini? Saya sudah penat untuk membuka kepala stopcock tersebut setiap kali masalah ini berlaku.

Jawapan
Masalah seperti ini adalah disebabkan oleh fenomena 'airlock'. Ia biasa berlaku dalam saluran paip yang disambung selepas tangki air bersaiz kecil. Oleh kerana angin lebih ringan daripada air, angin akan cuba naik ke atas, tetapi dihalang oleh air yang terdapat dalam salur paip tersebut. Tetapi tekanan air daripada tangki tidak cukup untuk menolak angin itu keluar daripada salur paip, maka fenomena 'airlock' pun berlaku.

Kebiasaannya, pada salur paip selepas tangki, tukang paip akan membuat satu paip menegak ke atas. Paip menegak itu dipasang lebih tinggi dari tangki, dipasang sebaik sahaja selepas keluar tangki dan hujung salur paip tersebut dibiarkan terbuka. Tujuan paip ini adalah untuk membuang angin yang terdapat dalam salur paip tersebut dan seterusnya mencegah berlakunya 'airlock'.

Saya jangkakakan paip selepas tangki rumah anda tidak mempunyai paip tegak tersebut. Cubalah pasang paip tegak tersebut sekiranya anda mahir DIY, ataupun minta bantuan tukang paip. Rujuk gambarajah di bawah.

Info #1: Lampu Jalan

Disember 05, 2011

0 komen

Mengapakah lampu jalan selalunya mengeluarkan cahaya kuning?

Jawapan: Jenis lampu jalan yang sering digunakan adalah lampu sodium bertekanan rendah (low pressure sodium). Lampu ini sangat jimat tenaga berbanding lampu jenis lain (seperti lampu kalimantang, lampu pijar, metal halide, dll). Malah ia juga mempunyai jangkahayat yang panjang iaitu sehingga 20,000 jam. Penggunaan lampu jenis lain akan meningkatkan beban kewangan pada kerajaan membayar bil elektrik untuk lampu jalan.

Walaupun sangat jimat elektrik dan jangkahayat yang panjang, tetapi kelemahannya, lampu ini hanya boleh mengeluarkan cahaya kuning sahaja. Tetapi ia bukanlah masalah besar memandangkan tujuan lampu jalan hanyalah untuk menerangi jalan sahaja.

Terkena Renjatan Apabila Menyentuh Peralatan Eletrik

Oktober 29, 2011

0 komen

Soalan
Saya dapati kini dalam rumah saya, apabila saya menyentuh badan besi peralatan elektrik seperti mesin basuh, mesin jahit, oven atau casing komputer, saya sering sahaja terkena renjatan elektrik. Apabila saya sentuhkan test pen pada badan peralatan elektrik tersebut, lampu  pada test pen akan menyala.

Mengapakah berlaku masalah demikian? Adakah ia berbahaya? Bagaimana untuk membaiki masalah ini?

Jawapan
Keadaan ini adalah berbahaya, sekiranya anda terkena renjatan elektrik dan arus yang melalui badan anda melebihi 0.03A, ini boleh menyebabkan kematian. Anda perlu membaiki masalah ini secepat mungkin. 

Masalah di atas menunjukkan telah berlaku litar pintas di antara wayar hidup (live) dan bumi. Litar pintas ini berlaku samada pada sistem pendawaian elektrik rumah anda ataupun di dalam peralatan elektrik.

Sepatutnya apabila berlaku litar pintas antara wayar hidup dan bumi, ELCB yang terdapat pada papan agihan elektrik akan menendang (trip) untuk memutuskan bekalan elektrik. Tetapi sekiranya ELCB tidak trip, anda akan mengalami masalah sering terkena renjatan elektrik apabila menyentuh peralatan elektrik. 

ELCB yang tidak trip apabila masalah ini berlaku menunjukkan ELCB anda telah rosak. Anda perlu mendapatkan khidmat juruelektrik untuk menukar ELCB kepada yang baru. Setelah ELCB ditukar, kerja mencari tempat berlaku litar pintas dan kerja pembaikan perlu dijalankan. 

Ada orang yang menyelesaikan masalah ini dengan menanggalkan sambungan wayar bumi di dalam soket plug atau kepala plug peralatan elektrik tersebut. Cara ini memang boleh menyelesaikan masalah renjatan elektrik pada peralatan elektrik tersebut, tetapi sekiranya berlaku litar pintas dalam peralatan elektrik tersebut, anda akan terkena renjatan elektrik juga. Malah ada peralatan elektrik atau elektronik seperti yang memerlukan wayar bumi untuk menyingkirkan gangguan elektromagnetik dan hingar. Menanggalkan wayar bumi pada peralatan ini akan membuatkan ia mudah rosak atau mengganggu fungsi peralatan elektrik tersebut.

Oleh itu, cara yang terbaik adalah gantikan ELCB dengan yang baru, kenalpasti tempat berlaku litar pintas dan baikinya.

Alat Memasak Telur

Oktober 14, 2011

0 komen

Alat di sebelah ini bukan sahaja boleh digunakan untuk memasak telur, tetapi boleh bertindak sebagai pengukus mini. Anda boleh mengukus atau memanaskan roti, sup, sayur dan sebagainya.

Anda hanya perlu menuangkan air ke dalam alat ini dan ia akan memanaskan air sehingga stim terbentuk. Alat ini dilengkapi dengan pelaras suhu supaya pengguna boleh mengawal suhu pemanasan pada tahap yang sesuai. Dengan itu, anda boleh memasak telur separuh masak ataupun masak penuh.

Alat ini menggunakan kuasa sebanyak 365 Watt dan berharga tidak melebihi RM150. Pembaca yang berminat untuk membeli alat secara secara online, boleh klik pada pautan ini.

Analogi Mudah Memahami Perbezaan Voltan Dan Arus

Oktober 04, 2011

1 komen

Secara asasnya, voltan berkadar langsung dengan arus. Apabila nilai voltan meningkat, maka nilai arus pun turut meningkat pada satu-satu nilai rintangan. Ini adalah Hukum Ohm, V=IR.


Saya cuba analogikan voltan dan arus dengan pergerakan air dalam paip.
  • Voltan: tekanan air dalam paip
  • Arus: aliran air dalam paip
  • Rintangan: tahap pembukaan pili air (jika pili air dibuka besar,semakin mudah air keluar dari pili, jika  pili paip dibuka kecil, air agak sukar keluar dari pili)

Contoh:
Apabila kita buka pili air pada tahap maksimum, sekiranya tekanan air tinggi, maka air akan keluar dengan laju, sekiranya tekanan air rendah, maka air yg keluar dari pili adalah perlahan walaupun pili air sudah dibuka maksimum.

Sekiranya tekanan air dalam paip tinggi, tetapi pili air dibuka sedikit sahaja, maka aliran air yang keluar pun perlahan. Jika tekanan air rendah, pili air dibuka sedikit sahaja, lagilah perlahan air yang keluar.

Sama kesnya seperti voltan dan arus, sekiranya voltan tinggi dibekalkan pada rintangan rendah, maka arus akan menjadi tinggi. Jika voltan tinggi dibekalkan pada rintangan tinggi, maka arus akan menjadi rendah.

Kesan Air Keras

September 17, 2011

0 komen

Anda pasti pernah melihat fonemena ini di rumah: kerak kuning dalam paip air, kesan putih pada peralatan alumininum atau kepala paip, kesan kuning pada sinki seramik dan lapisan kuning atau putih pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Ada yang beranggapan ini adalah kesan pengaratan logam. Tetapi sebenarnya ini adalah kesan air keras (hard water).

Air keras yang dimaksudkan bukanlah minuman beralkohol, tetapi ia merujuk kepada kandungan mineral yang terlarut dalam air. Mineral yang biasa terdapat di dalam air adalah seperti kalsium, magnesium, strontium, ferum dan manganis. Walaubagaimanapun, di kebanyakan tempat di dunia, mineral magnesium dan mineral kalsium adalah unsur yang paling banyak ditemui di dalam air. Mineral magnesium dan kalsium ini berasal dari tanah dan batuan. Oleh kerana air yang sering kita guna dalam kehidupan seharian diperolehi dari air sungai dan air bawah tanah, maka tidak hairanlah air mempunyai kandungan mineral ini.  

Mineral kalsium dan magnesium wujud dalam air dalam bentuk sebatian kalsium bikarbonat dan magnesium bikarbonat [4]. Kalsium bikarbonat dan magnesium bikarbonat akan mengurangkan keupayaan sabun atau detergen membentuk buih dan seterusnya mengurangkan kecekapan untuk membersih. Apabila dipanaskan, kalsium bikarbonat dan magnesium bikarbonat akan terurai dan membentuk kalsium karbonat dan magnesium karbonat. Kalsium karbonat dan magnesium karbonat adalah mineral yang tidak larut dalam air dan ia akan membentuk kerak (scale) kuning atau putih pada permukaan dalam paip air, tangki air, elemen pemanas dan sebagainya.

Kekerasan air dibahagi kepada dua bahagian iaitu kekerasan sementara dan kekerasan kekal.  Air yang mempunyai kekerasan sementara adalah air yang mempunyai mineral bukan sulfat atau klorida. Air ini boleh ditulenkan melalui proses penyulingan. Manakala air yang mempunyai kekerasan kekal adalah air yang mempunyai mineral sulfat atau klorida seperti kalsium sulfat, magnesium klorida dan sebagainya. Air ini tidak boleh ditulenkan melalui proses penyulingan kerana mineral sulfat dan klorida akan semakin melarut apabila suhu air meningkat.

Tahap kekerasan air disukat berdasarkan berat unsur kalsium dan magnesium. Walaubagaimanapun,  ia biasanya disetarakan dengan berat kalsium karbonat. Secara relatifnya, 1 mg kalsium karbonat adalah bersamaan dengan 2.5 mg kalsium dan 4.1 mg magnesium [6]. Tahap kekerasan air disukat dalam unit mg/L (berat kalsium karbonat dalam 1 liter air). Unit lain untuk sukatan tahap kekerasan air adalah seperti ppm (parts per million), darjah Perancis, darjah Jerman dan darjah Inggeris. Jadual 1 di bawah menunjukkan kategori tahap kekerasan air [2, 3]

KATEGORI
BACAAN (mg/L)
Sangat lembut
kurang 17
Lembut
17 - 60
Keras
60 - 120
Agak keras
120 - 180
Sangat keras
lebih 180
Jadual 1: Kategori air keras

Jabatan Alam Sekitar Malaysia mengukur tahap kekerasan menggunakan unit mg/L. Jabatan ini menetapkan tahap kekerasan untuk air yang dibekalkan di rumah tidak melebihi 500 mg/L. [1]

Bacaan kekerasan air boleh diukur dengan menggunakan tiga cara iaitu menggunakan kertas uji, kaedah pentitratan EDTA (ethylenediaminetetraacetic acid) dan penggunaan ion-selective electrode. Penggunaan kertas uji adalah cara paling mudah dan boleh dilakukan oleh pengguna di rumah. Hanya celupkan kertas uji ke dalam air, kemudian bandingkan warna yang terhasil pada hujung kertas uji dengan carta yang dibekal bersama kertas uji tersebut untuk mendapatkan bacaan kekerasan air. Kaedah pentitratan EDTA pula biasa digunakan di makmal. Asid ethylenediaminetetraacetic akan dititikkan ke dalam air keras sehingga air berubah menjadi warna tertentu. Kemudian bacaan kekerasan air diukur berdasarkan kepekatan dan kuantiti asid ethylenediaminetetraacetic yang dititikkan ke dalam air keras tersebut. Penggunaan ion-selective electrode pula digunakan untuk mendapatkan bacaan yang lebih jitu. 

Gambar 1: Kertas uji kekerasan air

Gambar 2: Meter kekerasan air yang menggunakan ion-selective electrode

Tahap kekerasan berkait rapat dengan sifat konduktiviti dan tahap pH air. Konduktiviti adalah keupayaan sesuatu bahan mengaliran arus elektrik dan biasanya diukur dalam unit µS/cm (mikroSiemen per sentimeter), manakala tahap pH adalah ukuran keasidan atau kealkalian air. 0 µS/cm bermaksud langsung tidak boleh mengalirkan arus elektrik. Bacaan sifat asid adalah pH 0-7, sifat alkali adalah pH 7-14, dan pH 7 adalah bacaan neutral. Untuk konteks ini, semakin tinggi tahap kekerasan air, semakin tinggi nilai konduktiviti dan lebih beralkali. 

Air lembut
Air lembut atau air tulen pula dirujuk kepada air yang kurang atau bebas dari mineral terlarut. Contoh air yang dikategorikan sebagai air lembut atau air tulen adalah air suling, air hujan dan air reverse osomosis. Pada suhu bilik, air tulen mempunyai bacaan konduktiviti kurang dari 0.05 µS/cm (hampir tidak mengalirkan arus elektrik) dan pH 7 (neutral). Air tulen biasakan digunakan untuk analisis kimia di makmal, dialisis, pembuatan bateri asid berplumbum dan penjanaan stim. 

Oleh kerana air tulen tidak mempunyai sebarang mineral terlarut, ia akan sentiasa ‘lapar’ dan cuba menyerap sebarang unsur di laluannya. Oleh itu, air tulen tidak sesuai digunakan dalam sistem pembekalan air yang menggunakan paip logam kerana ia boleh menghakis permukaan paip dan menyebabkan bocor. Untuk kegunaan dalam radiator kereta, air tulen hendaklah campurkan dengan coolant untuk untuk menghilangkan sifat menghakisnya. Air tulen tidak sesuai untuk diminum kerana ia akan menyerap mineral dan vitamin yang terdapat dalam badan manusia dan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit. Air tulen mampu menyerap logam berbahaya seperti plumbum dan kadmium dan menyebabkan ia berbahaya untuk diminum.

Kesan air keras
Menurut WHO (World Health Organisation), setakat ini tiada bukti kukuh mengenai kesan buruk air keras kepada manusia. Malah air keras dikatakan diet yang baik untuk keperluan kalsium dan magnesium untuk manusia. Malah ada penyelidik menyatakan bahawa air keras boleh mencegah penyakit jantung dan kanser.

Walaubagaimanapun, air keras menimbulkan pelbagai masalah pada peralatan tertentu dan sistem perpaipan. Air keras akan menyebabkan pembentukan kerak pada permukaan dalam paip logam dan lama-kelamaan ini akan mengecilkan saluran paip dan seterusnya mengurangkan aliran air ataupun menyebabkan sumbat. Selain itu, pengguna di rumah akan mendapati pembentukan kerak pada pemancur air (shower), kepala paip, penapis, permukaan dalam tangki air, singki, tab mandi dan jubin. Ia juga meninggalkan kesan putih pada peralatan aluminium dan kaca. Semakin tinggi tahap kekerasan air, semakin cepat kesan ini berlaku. 

Kerak juga boleh terbentuk pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Ia akan menyebabkan air lambat mendidih dan ini akan meningkatkan kos bil elektrik. Pakaian dan perkakasan dapur tidak dapat dibersihkan dengan sempurna kerana air keras mengurangkan kecekapan sabun untuk menanggalkan kotoran. Ini menyebabkan penggunaan sabun perlu ditingkatkan. Rasa sedap minuman atau makanan akan berkurangan sekiranya tahap kekerasan air terlalu tinggi. Membasuh rambut menggunakan air yang terlalu keras akan menyebabkan rambut menjadi kusut dan kusam. Air keras juga membuatkan pakaian menjadi kasar apabila kering dan ini akan memendekkan jangkahayat pakaian.

Gambar 3: Kesan air keras

Terdapat beberapa cara yang digunakan untuk melembutkan air yang biasa digunakan oleh pihak industri. Antaranya menggunakan sistem tapisan reverse osmosis (RO). Sistem tapisan ini menggunakan penapis membran yang membenarkan molekul air sahaja melaluinya. Air yang keluar daripada sistem ini adalah hampir tulen tetapi kos penyelenggaraan menggunakan sistem tapisan ini sangat mahal. Proses penyulingan menggunakan alat penyuling air (water distiller) boleh digunakan untuk melembutkan air tetapi ia tidak boleh digunakan pada air yang mempunyai kandungan mineral sulfat dan klorida yang tinggi. Malah, alat penyuling air memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi untuk mendidihkan air. Penggunaan teknologi ion-exhanger banyak digunakan di industri memandangkan kosnya adalah berpatutan. Teknologi ini terdiri silinder yang diisi dengan resin dan air keras akan melalui silinder ini. Resin akan memerangkap unsur kalsium dan magnesium dan menggantikannya dengan unsur lain. Contohnya, sekiranya resin sodium digunakan, resin akan memerangkap mineral kalsium dan mangnesium dan membebaskan unsur sodium ke air keluar. 


Gambar 4: Cara kerja teknologi ion-exhanger untuk melembutkan air

Air lembut juga boleh diperolehi dengan meneutralkankan air pada pH 7. Dengan menambahkan asid pada air keras sehingga bacaan pH 7 diperolehi, air lembut akan terhasil. Penggunaan bahan kimia seperti sal soda (sodium bikarbonat) juga boleh digunakan. Ia akan bertindakbalas dengan mineral kalsium dan magnesium untuk membentuk mineral tidak larut. Mineral tidak larut ini kemudian ditapis atau dimendakkan di dalam tangki.

Memandangkan air keras tidak membahayakan kesihatan manusia, adalah tiada keperluan untuk memasang mesin pelembut air di rumah. Untuk mengurangkan kesan air keras terhadap penggguna, sinki, kepala paip, cermin, jubin dan peralatan aluminium hendalah selalu dibersihkan apabila mula terdapat tanda kekotoran. Tangki takungan air hendaklah dibersihkan sekurang-kurangnya setahun sekali.  Elemen pemanas dan permukaan dalam cerek hendaklah sentiasa dibersihkan supaya air dapat dimasak dengan cepat.  Penggunaan paip logam hendaklah dikurangkan, sebaliknya diganti dengan paip PVC atau paip poli. Gunakan pelembut kain (fabric softener) untuk membasuh baju supaya baju menjadi lembut apabila kering. Penggunaan air hujan untuk membasuh pakaian juga boleh membantu mengurangkan penggunaan sabun..

*Artikel ini telah tersiar dalam Majalah Dewan Kosmik edisi Ogos 2011. Muaturun artikel ini dalam fail PDF di sini

Rujukan
[1] http://www.doe.gov.my/portal/water-marine-ground-water/ground-water-quality-status/
[2] http://www.hardwater.org/hard_water_testing.html
[3] http://elkhorn.unl.edu/epublic/live/g1491/build/g1491.pdf
[4] http://www.lenntech.com/ro/temporary-hardness.htm
[5] http://www.globalw.com/support/hardness.html
[6] http://www.lenntech.com/ro/water-hardness.htm

Warna Cahaya Lampu Kalimantang

September 06, 2011

2 komen

Dalam pasaran domestik (untuk kegunaan rumah), terdapat tiga jenis lampu kalimantang (tidak kira jenis pendek, panjang, berbentuk bulat atau kompak) yang biasa dijual iaitu:

       •   Warm White
       •   Cool White (atau Neutral White)
          Daylight (atau Cool Daylight)


Warm While, Cool White dan Cool Daylight adalah merujuk kepada jenis warna yang dikeluarkan oleh lampu kalimantang tersebut. 

Warna Warm White adalah warna putih dengan sedikit kuning atau kemerah-merahan, warna Cool White  pula adalah warna putih biasa manakala warna Daylight adalah warna putih kebiru-biruan. Oleh itu, sebelum anda membeli lampu kalimantang, pastikan dulu jenis cahaya yang dikeluarkan oleh lampu tersebut. 

Lampu kalimantang Warm White digunakan untuk mewujudkan persekitaran santai, sesuai digunakan di dapur, bilik tidur, bilik air atau ruang rehat. Lampu Cool White pula sesuai untuk lampu meja, perpustakaan, pejabat, ruang untuk membaca buku atau surat khabar, manakala lampu Daylight adalah untuk mewujudkan persekitaran jelas dan aktif seperti di bengkel atau ruang bekerja. Penggunaan lampu Daylight di bengkel akan meningkatkan penumpuan seseorang semasa menggunakan mesin dan peralatan pertukangan.

Terdapat satu lagi parameter penting berkaitan dengan lampu kalimantang ini iaitu Color Rendering Index (CRI - Indeks Penyebaran Warna). Indeks penyebaran warna adalah keupayaan cahaya lampu menyerlahkan warna sebenar sesuatu objek. Ia diukur dalam skala 0 hingga 100, di mana indeks 100 adalah pengecaman warna pada cahaya matahari. Sebagai contoh, sebuah objek berwarna merah dan biru, apabila disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang rendah, warna sebenar objek tersebut sukar dicam. Sebaliknya jika disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi, maka objek tersebut dengan jelas berwarna merah dan biru. 

Sekiranya anda mahu menjadikan makanan yang dihidangkan di meja makan nampak menarik dan sedap, gunakan lampu Warm White yang mempunyai indeks penyebaran yang tinggi (melebihi 80). Sebab itulah lampu jenis ini sering digunakan pada tempat hidangan makanan di restoran ataupun kedai makan. Jika anda mahu menyerlahkan warna dan kecantikan hiasan langsir dan hiasan anda di ruang tamu, gunakan lampu kalimantang Cool White yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi.

Lampu kalimantang yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi sangat sesuai dipasang di meja solek untuk kerja-kerja menyolek atau andaman dan juga untuk sesi penggambaran di dalam rumah. Gambar di bawah ini menunjukkan contoh kesan warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna terhadap penyerlahan warna sesuatu objek.


Jenis warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna boleh diketahui pada kotak pembungkusan tiub kalimantang. Perkataan Warm White, Cool White dan Daylight biasanya ada tertulis jelas pada kotak pembungkusan tersebut. Untuk mengetahui indeks penyebaran warna pula, anda perlu merujuk pada nombor model lampu tersebut. 


Gambarajah di atas adalah contoh kotak pembungkusan lampu kalimantang. Secara jelas anda akan nampak perkataan 'Cool Daylight'. Perkataan 36W menunjukkan ini adalah lampu kalimantang panjang. Perkataan 'TL-D 36W/865' adalah nombor model lampu kalimantang tersebut. Nombor model lampu juga ada tertera pada tiub kalimantang itu sendiri. Nombor 865 adalah kod warna untuk lampu tersebut. '865'  bermaksud lampu ini mengeluarkan cahaya 'Cool Daylight' dengan indeks penyebaran warna lebih kurang 85. Rujuk jadual di bawah tentang kod warna tersebut.

Kod warna
Warna
Indeks Penyebaran Warna
29
Warm White
50 - 70
727
29-727
33
Cool White
50 - 70
740
33-740
54
Daylight
50 - 70
765
54-765
827
Warm White
85
830
840
Cool White
85
841
860
Daylight
85
865
927
Warm White
95
941
Cool White
95
940
950
Daylight
95
965

Helaian Berinformasi #8: Fungsi Induktor

Julai 30, 2011

0 komen

Induktor atau gegelung adalah wayar atau konduktor elektrik yang dililit dalam bentuk silinder atau bulatan. Ia banyak digunakan dalam litar elektronik dan elektrik sebagai penapis, pengayun dan penukar arus DC ke DC.

Helaian ini menunjukkan bagaimana induktor berfungsi sebagai litar penapis dan penukar arus DC ke DC.  Klik pautan di bawah untuk muaturun.

Lampu Downlight Jenis Skru Selalu Rosak

Julai 26, 2011

7 komen

Soalan:
Rumah saya menggunakan lampu downlight jenis skru, tetapi prestasinya amat mengecewakan. Walaupun saya menggunakan lampu jenama Philips, tetapi tidak sampai 3 bulan, 10 daripada 23 mentol lampu sudah terbakar. 

Saya juga sudah tukar kepada jenama lain, tetapi sama juga masalahnya. Sekarang ini saya sudah tukar lampu downlight jenis cucuk (plug in) dengan magnetic ballast di luar. Nampaknya sudah 4 bulan lampu masih OK dan tidak berkelip-kelip. Bolehkah bagi pandangan mengenai masalah downlight ini ? 

Jawapan:
Lampu downlight jenis skru yang anda maksudkan itu adalah lampu kalimantang kompak dengan ballast terbina dalam (self ballasted compact fluorescent lamp). Lampu ini mampu bertahan sehingga 10,000 jam sekiranya ia mendapat voltan elektrik yang 'bersih' (kurang mengalami herotan).

Lampu jenis ini tidak digalakkan digunakan dalam kuantiti yang banyak dalam sesebuah premis. Ini kerana lampu ini akan menjana arus harmonik dan sekiranya lampu ini banyak digunakan, ia akan menyebabkan tenaga elektrik dalam rumah anda mengalami herotan (distortion). Rujuk gambarajah di bawah. Kesan herotan ini akan bertambah buruk sekiranya terdapat peralatan elektronik yang berkualiti rendah dan murah sedang beroperasi pada masa yang sama. Selain itu, sekiranya rumah anda berhampiran dengan kawasan perindustrian, penggunaan mesin-mesin elektrik yang terdapat dalam kilang juga boleh menyumbang herotan pada bekalan elektrik rumah anda.

Kesan herotan inilah yang menyebabkan lampu jenis ini sering rosak. Bekalan elektrik yang terherot juga memberi kesan kepada peralatan elektrik yang menggunakan motor dan transformer seperti peti sejuk, mesin basuh, aircond, kipas, adapter laptop, televisyen dan sebagainya. Ia akan menyebabkan motor atau transformer lebih panas dan ini akan memendekkan jangkahayatnya.

Pihak pengilang boleh sahaja merekabentuk lampu ini supaya kurang membebaskan harmonik, tetapi saiz lampu akan menjadi lebih besar dan juga lebih mahal.

Oleh itu, lampu downlight jenis skru ini tidak boleh digunakan dalam sesebuah rumah dalam kuantiti yang banyak, bolehlah sekadar 1 atau 2 unit sahaja. Untuk situasi rumah anda ini, penggunaan downlight dengan magnetic ballast di luar adalah penyelesaian terbaik kerana ia tidak menjana arus harmonik, juga tidak sentitif terhadap kesan herotan bekalan elektrik.

Penggunaan tenaga elektrik akan meningkat sedikit berbanding penggunaan lampu downlight jenis skru disebabkan tenaga haba yang terjana pada magnetic ballast tersebut, tetapi ia menjanjikan jangkahayat yang lebih lama.

Atau boleh juga cuba lampu LED jenis skru jika anda tidak memerlukan cahaya yang terang. Tetapi penjualan lampu LED masih belum meluas, tetapi jika berminat boleh didapati secara online di lelong.com.my.

Lampu LED tidak menjana arus harmonik dan juga tidak sentitif kepada kesan herotan bekalan elektrik. Jangkahayat lampu LED boleh mencapai sehingga 30,000 jam.

Perlukah Naiktaraf Kepada Pendawaian Tiga Fasa ?

2 komen

Soalan:
Rumah saya sekarang ini sedang renovated (rumah teres dua tingkat). Sebelum ini rumah saya menggunakan sistem pendawaian satu fasa dan penggunaan semasa adalah 3 unit aircond, 1 cloth dryer selain kelengkapan rumah yang biasa seperti lampu, kipas, televisyen dan sebagainya. 

Selepas renovate, disebabkan pertambahan bilik saya bercadang untuk tambah aircond pada bilik tersebut selain di ruang tamu. Selepas ini jumlah aircond adalah 5 unit. Saya bimbang kalau semua perkakas elektrik ini digunakan serentak akan berlaku trip, jadi saya bercadang untuk naiktaraf dari pendawaian satu fasa kepada tiga fasa.

Tetapi kontraktor mengatakan tidak perlu tukar kepada pendawaian tiga fasa, hanya perlu buat dua DB (distribution board - papan agihan) secara berasingan dalam satu rumah, tingkat atas dan tingkat bawah.

Saya nak minta pandangan, bolehkah berbuat demikian? Adakah selamat buat dua DB dalam satu rumah? Bagaimana dengan bil? Adakah lebih mahal? Boleh terangkan perbezaan sistem pendawaian tiga fasa dengan pendawian dua DB yang dicadangkan oleh kontraktor tersebut? 

Jawapan:
Kontraktor tersebut betul, sekiranya anda mahu terus menggunakan pendawaian satu fasa, perlu buat dua DB berasingan. Sebenarnya, boleh sahaja guna satu DB sahaja, tetapi untuk memudahkan kerja troubleshooting dan pembaikan pada masa hadapan, lebih baik guna dua DB berasingan.

Berdasarkan maklumat yang diberi, saya anggarkan arus elektrik rumah anda untuk penggunaan maksimum tidak melebihi 60A. Ini adalah cukup ditampung oleh pendawaian satu fasa. Arus maksimum yang mampu ditampung untuk pendawaian satu fasa biasanya adalah 80A. Sekiranya kontraktor menggunakan kadaran (rating) DB yang betul, kejadian trip tidak sepatutnya berlaku. 

Walaubagaimanapun, ketika penggunaaan maksimum, anda mungkin akan merasa ketidakstabilan voltan. Contohnya, apabila anda menghidupkan aircond, mungkin lampu akan menjadi sedikit malap selama beberapa saat. Itu adalah perkara biasa.

Sebenarnya, untuk situasi rumah anda ini, TNB sangat menggalakkan anda menukar kepada pendawaian tiga fasa. Penggunaan pendawaian satu fasa untuk situasi rumah anda akan membuatkan beban transformer di stesen pencawang menjadi tidak seimbang, juga meningkatkan kebarangkalian berlaku kerosakan kabel dan kejadian trip di stesen pencawang. Semua ini akan meningkatkan kos penyelenggaraan kepada TNB. 

Tentang bil elektrik, tarif satu fasa dan tiga fasa untuk rumah adalah sama. Sepatutnya kos bil elektrik adalah sama tidak kira anda menggunakan satu fasa atau tiga fasa. Ada yang mendakwa bil elektrik lebih jimat jika menggunakan pendawaian tiga fasa, tetapi secara matematiknya penjimatan tidak berlaku sekiranya bekalan elektrik dari TNB adalah 'bersih' (kurang mengalami herotan (distortion)).

Terpulanglah kepada anda samada anda mahu untuk menaiktaraf kepada pendawaian tiga fasa atau tidak. Kerja menaiktaraf ini memerlukan kos tambahan lebih kurang RM3000 kalau tidak silap saya. TNB ada menjalankan promosi diskaun 50% untuk naiktaraf ini, tetapi saya tidak pasti  samada promosi tersebut masih berlangsung atau tidak. Boleh tanya kepada TNB sendiri untuk maklumat lanjut.

Nota: TNB menggalakkan pendawaian elektrik sesebuah rumah dinaiktaraf kepada sistem tiga fasa sekiranya bil elektrik bulanan melebihi RM300 atau penggunaan arus elektrik melebihi 50A. 

Alat Pengesan Objek Di Dalam Dinding

Julai 23, 2011

0 komen

Alat ini sepatutnya dimiliki oleh juruelektrik atau kontraktor yang sering membuat kerja2 menggerudi dinding. Ia boleh mengelakkan masalah yang timbul akibat kerja penggerudian kebocoran paip air, kerosakan wayar elektrik, terputus bekalan elektrik (trip), kerosakan mata gerudi dan sebagainya.

Bosch Detector DMF 10 Zoom boleh mengesan objek di dalam dinding seperti besi, kayu, paip air, wayar elektrik, konduit elektrik dan juga boleh mengukur jarak kedalaman selamat yang boleh digerudi. Harganya juga tidaklah begitu mahal, hanya dalam lingkungan RM300 sahaja. Alat ini boleh dibeli secara online di lelong.com.my. Video di bawah ini menunjukkan cara penggunaan alat tersebut.


Pembentukan Selaput Dalam Karburator Enjin Petrol

1 komen

Sekiranya anda mempunyai mesin yang menggunakan enjin petrol seperti mesin rumput, pam air, generator elektrik, motorsikal atau kereta yang jarang digunakan, contohnya anda menggunakannya sebulan sekali atau dua bulan sekali, anda dinasihatkan tidak menggunakan petrol RON95 untuk enjin tersebut.

Setiap enjin petrol mempunyai karburator yang berfungsi mencampurkan petrol dan udara pada nisbah yang betul untuk dibekalkan kepada enjin. Sekiranya enjin dibiar lama tanpa digunakan, maka tiada aliran petrol berlaku dalam karburator. Petrol akan membentuk selaput pada permukaan dalam karburator dan ini akan menyebabkan karburator tersumbat. Apabila ini berlaku, enjin tidak akan dihidupkan dan karburator perlu dihantar ke bengkel untuk diservis.

Berdasarkan pengalaman saya, sekiranya anda menggunakan petrol RON95, pembentukan selaput ini boleh terjadi dalam masa sebulan sahaja. Pembentukan selaput untuk petrol RON97 adalah lebih lambat, iaitu dalam tempoh 6 bulan atau lebih. 

Prosedur Mengganti Bateri Kereta

Julai 22, 2011

1 komen

Panduan ini penting sekiranya anda mahu menggantikan bateri kereta anda sendiri.

Oleh kerana bateri kereta menghasilkan gas hidrogen semasa proses tindakbalas kimia dan juga penggunaan ECU (Engine Control Unit) dalam kenderaan masakini, prosedur yang betul untuk menggantikan bateri kereta haruslah diikuti.

Prosedur penggantian bateri kereta yang tidak betul akan menghasilkan percikan api semasa menanggalkan wayar terminal bateri. Sekiranya terdapat gas hidrogen terbebas daripada bateri kereta, percikan api boleh menyebabkan letupan dan ini boleh menyebabkan kecedaraan serius. Walaupun perkara ini jarang berlaku, tetapi langkah pencegahan hendaklah perlu dititikberatkan.

Hampir semua kereta masakini dilengkapi dengan ECU yang mengawal kebanyakkan sistem di dalam kereta. ECU tidak akan berfungsi dengan baik apabila menerima voltan elektrik yang tidak stabil dan tidak mencukupi.

Mengganti bateri kereta semasa enjin mati akan menyebabkan berlaku ketidakstabilan voltan elektrik pada sistem elektrikal kereta. Perkara ini berlaku apabila anda melonggar, menanggal, memasang dan mengetatkan penyambung wayar pada terminal bateri. Ketidakstabilan voltan elektrik akan mengganggu operasi ECU dan ia akan menyebabkan pelbagai masalah seperti enjin tidak dapat dihidupkan, peningkatan penggunaan petrol, pergerakan enjin tidak sempurna, gangguan pada sistem penggera dan sebagainya. Apabila masalah ini berlaku, anda perlu membawa kereta ke bengkel untuk reset ECU.

Di sini diterangkan beberapa versi prosedur untuk menggantikan bateri kereta dengan cara yang betul. Sebelum itu, adalah lebih baik anda memeriksa samada alternator kereta anda berfungsi dengan baik atau tidak. Klik sini untuk ketahui cara memeriksa alternator. 

Sebagai langkah keselamatan, pakai sarung tangan dan cermin mata keselamatan semasa kerja penggantian bateri kereta.

Mengganti bateri semasa enjin berjalan                                                                                       
Prosedur ini biasa dilakukan oleh para mekanik. Prosedur sebegini adalah tidak digalakkan kerana kemungkinan boleh berlaku percikan api apabila spannar terkena badan kendaraan semasa menanggalkan atau memasang wayar terminal positif bateri walaupun wayar teminal nagatif bateri telah ditanggalkan. Sekiranya perlu, balut spanner dengan kertas atau plastik.

Prosedur ini tidak boleh digunakan apabila anda dapati alternator tidak berfungsi dengan baik. Ini kerana, apabila bateri ditanggalkan, hingar (noise) dari alternator boleh mengganggu operasi ECU.
  1. Pastikan enjin kereta anda dihidupkan terlebih dahulu sebelum bateri ditukar. Sekiranya bateri kereta lemah atau mati, hidupkan enjin kereta anda menggunakan kaedah jumping start dari kereta lain.
  2. Buka bonet kereta dan tanggalkan pengikat bateri.
  3. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar.
  4. Pastikan wayar terminal positif tidak bersentuhan dengan mana2 bahagian badan kenderaan. Balut wayar terminal positif tersebut sekiranya perlu.
  5. Letakkan bateri baru dan pasangkan terminal wayar positif terlebih dahulu, diikuti dengan terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
Mengganti bateri dengan alat memory keeper                                                                              
Ini adalah cara yang selamat. Alat memory keeper adalah alat yang membekalkan voltan stabil 12V pada sistem ECU ketika anda melakukan kerja menukar bateri. Rupa alat ini adalah seperti yang tunjukkan pada gambar di sebelah ini.

Ia menggunakan bateri 9V dan perlu dipasang pada soket pencucuh rokok yang terdapat dalam kereta anda. Walaubagaimanapun, alat ini agak sukar didapati di pasaran Malaysia. Sekiranya anda kreatif, anda boleh membuat penyambungan wayar dari soket pencucuh rokok ke sebarang bekalan kuasa  arus terus 12V.
  1. Enjin kenderaan tidak perlu dihidupkan. Pastikan semua peralatan elektrik seperti lampu, radio, amplifier, GPS, aircond, wiper dan sebagainya telah dimatikan.
  2. Pasang alat memory keeper bersama bateri 9V pada soket pencucuh rokok. Pastikan alat tersebut aktif (terdapat lampu LED menyala menunjukkan alat sedang aktif).
  3. Buka bonet kereta dan tanggalkan pengikat bateri.
  4. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar.
  5. Letakkan bateri baru dan pasangkan wayar terminal  positif terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
  6. Tanggalkan alat memory keeper.
  7. Hidupkan enjin dan pastikan semua peralatan dan sistem kereta berfungsi dengan baik.
Mengganti bateri dengan mencabut fius ECU                                                                                
Dengan mencabut fius ECU semasa kerja penggantian bateri kereta, ia boleh menghalang voltan yang tidak stabil daripada mengganggu ECU. Walaubagaimanapun, apabila fius ECU dicabut, semua setting terkini pada ECU akan hilang dan secara automatik ECU akan kembali kepada setting yang asal. Oleh itu, anda mungkin berasa prestasi enjin kenderaan anda akan sedikit berbeza selepas ditukar bateri.
  1. Enjin kenderaan tidak perlu dihidupkan. Pastikan semua peralatan elektrik seperti lampu, radio, amplifier, GPS, aircond, wiper dan sebagainya telah dimatikan.
  2. Buka bonet kereta dan kenalpasti lokasi kotak fius. Rujuk buku panduan kereta anda sekiranya perlu. 
  3. Buka kotak fius dan rujuk rajah yang terdapat pada penutup kotak fius untuk mengenalpasti fius ECU. Cabut fius tersebut. 
  4. Tanggalkan pengikat bateri.
  5. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar.
  6. Letakkan bateri baru dan pasangkan wayar terminal positif terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
  7. Pasang semula fius ECU dengan cermat.
  8. Hidupkan enjin dan pastukan semua peralatan dan sistem kereta berfungsi dengan baik
Mengganti bateri pada kenderaaan lama                                                                                      
Ketiga2 versi prosedur di atas adalah untuk kenderaan yang ada menggunakan ECU. Untuk kenderaan lama yang menggunakan karburator dan tiada penggunaan ECU, prosedur penggantian bateri adalah lebih mudah.
  1. Tanpa perlu hidupkan enjin, pastikan semua peralatan elektrik seperti lampu, radio, amplifier, GPS, aircond, wiper dan sebagainya telah dimatikan.
  2. Buka bonet dan tanggalkan pengikat bateri.
  3. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar
  4. Letakkan bateri baru dan pasangkan wayar terminal positif terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
  5. Hidupkan enjin dan pastukan semua peralatan dan sistem kereta berfungsi dengan baik
Penafian: Artikel ini adalah untuk panduan sahaja. ZON152 tidak bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau kecedaraan yang timbul semasa atau selepas kerja penggantian bateri kereta.

Menguji Alternator Kereta Menggunakan Multimeter

Julai 21, 2011

0 komen

Alternator adalah antara bahagian terpenting dalam kereta. Fungsinya adalah seperti generator elektrik, iaitu untuk menjana dan membekalkan tenaga elektrik dalam kenderaan. Alternator mula membekalkan tenaga elektrik pada sistem elektrikal kenderaan sebaik sahaja enjin dihidupkan.


Sekiranya enjin kereta anda sukar dihidupkan dan lampu hadapan kereta kelihatan malap, kemungkinan alternator kereta anda menghadapi masalah.

Anda boleh memeriksa alternator samada dalam berkeadaan baik atau tidak dengan menggunakan multimeter. Hidupkan enjin kenderaan anda terlebih dahulu.

Setkan multimeter pada voltan arus terus (DC) dan sambung wayar multimeter pada terminal positif dan negatif bateri kereta (tidak perlu tanggalkan wayar terminal bateri). Bacaan yang sepatutnya diperolehi adalah sekitar 13V hingga 14.5V. Sekiranya bacaan kurang daripada 12.5V, itu menunjukkan alternator anda menghadapi masalah. 

Dapatkan bantuan mekanik sekiranya perlu.

Istilah Bridge Space Dalam Transformer 2 dan Transformer 3

Julai 19, 2011

0 komen

Sekiranya anda telah menonton wayang Transformer 2 dan Transformer 3, anda mungkin sedar dengan penggunaan istilah bridge space dalam cerita tersebut. Dalam Transformer 2, Jetfire telah membawa Sam Witwichkey dan rakan2 dari Muzium Tentera Washingston, USA ke kawasan Piramid di Mesir dalam masa beberapa saat sahaja melalui bridge space. Dalam Transformer 3, Sentinel Prime menggunakan The Pillar untuk memindahkan planet cybertron ke planet bumi juga melalui bridge space.

Imaginasi bridge space ini bukan sahaja telah dipersembahkan dalam wayang Transformer tetapi juga telah digunakan dalam pelbagai siri TV dan wayang seperti Star Trek, Stargate, Thor, Jumper dan sebagainya. Dalam cerita Star Trek, kapal angkasa StarShip Enterprise mengembara ke pelbagai galaksi melalui bridge space. Dalam siri Stargate pula, pasukan tentera mengembara ke pelbagai planet yang jauhnya beribu2 tahun cahaya melalui pintu berbentuk bulatan yang boleh menjana bridge space. Dalam wayang Thorbridge space digunakan untuk menghubungkan planet Asgard dengan planet Bumi. Keupayaan David Rice menjana bridge space menggunakan pemikirannya untuk pergi ke mana2 tempat di muka Bumi ini dilakonkan dalam siri Jumper.

Secara mudahnya, bridge space atau istilah lainnya wormhole adalah laluan pintas untuk pergi ke tempat yang sangat jauh. Perjalanan melalui bridge space hanya mengambil beberapa saat sahaja untuk sampai ke tempat yang sangat jauh walaupun jaraknya adalah beribu2 tahun cahaya.

Sebenarnya, konsep bridge space ini hanyalah teori sains sahaja. Sehingga kini, teori tersebut masih belum dapat dibuktikan oleh sesiapa lagi. Teori mengenai bridge space ini pertama sekali telah dikemukan oleh ahli matematik Jerman bernama Georg Riemann pada 1866 semasa membuat penyelidikan mengenai ruang dan masa. Kemudian, perbincangan mengenai bridge space diteruskan boleh saintis terkenal, Albert Einstein pada 1935 dalam penyelidikannya mengenai tarikan graviti di antara dua jisim dalam ruang dimensi yang boleh dibengkokkan. Sehingga kini, bridge space masih lagi diperkatakan oleh ahli sains seperti Stephan Hawking dan Sidney Coleman. 

Walaupun teori bridge space ini telah dikaji sejak 1866, tetapi para saintis dan cendiakawan Islam percaya istilah bridge space ini telah disebutkan dalam Al-Quran sejak 1400 tahun dahulu.

Firman Allah SWT:
"Salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku. Adapun azab yang disediakan untuk orang-orang yang kafir, tidak ada sesiapapun dapat menolak kedatangannya. Dari Allah yang menguasai Al-Ma'arij - Iaitu laluan para malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya di mana satu hari adalah bersamaan 50,000 tahun" (Al-Ma'arij: 1-4)

Para cendiakawan Islam dan saintis berpendapat Al-Ma'arij yang disebut oleh Allah SWT dalam ayat Quran di atas adalah bridge space atau wormhole. Berdasarkan ayat ini, ahli sains mengemukakan teori iaitu satu hari di dalam bridge space adalah bersamaan 50,000 tahun di Bumi. Cendiakawan Islam juga berpendapat bahawa semasa kejadian Israaa dan Me'raj, Nabi Muhammad SAW telah dibawa naik dari Bumi naik ke langit melalui bridge space (Perkataan Me'raj adalah sama dengan perkataan Ma'arij)

Firmat Allah SWT lagi: 
"Ingatlah pada hari Kami menggulung langit seperti melipat lembaran surat catitan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya" (Al-Anbiyaa': 104)

Melalui ayat Quran di atas, ahli saintis dapat menggambarkan bahawa konsep bridge space menggunakan analogi sekeping kertas.


Berdasarkan gambarajah di atas, sekeping kertas ditandakan titik A dan titik B. Jarak antara titik A dan titik B kelihatan sangat jauh. Kemudian kertas kersebut dilengkungkan atau dilipatkan supaya titik A dan titik B menjadi dekat. Satu lubang ditebuk dari titik A terus ke bawah dan menembusi bahagian kertas berhampiran titik B. Melalui lubang tersebut, jarak antara titik A dan titik B (garisan biru) menjadi sangat dekat berbanding dengan garisan merah yang perlu dilalui sepanjang kepingan kertas tersebut. 

Lubang yang ditebuk tersebut adalah mewakili bridge space. Kepingan kertas pula adalah mewakili dunia yang kita hidup sekarang ini. Sekiranya kita dapat 'melipatkan ruang' dan menjana bridge space, maka kita boleh pergi ke mana sahaja dalam masa yang sangat singkat walaupun jaraknya adalah beribu2 tahun cahaya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...