Kejadian Kilat dan Alat Perangkap Kilat

Disember 22, 2010

5 komen

Kilat adalah satu bentuk nyahcas elektrik yang boleh dilihat dan mempunyai tenaga yang tinggi. Pancaran nyahcas elektrik ini boleh berlaku antara awan ke awan ataupun awan ke bumi dan biasanya diiringi dengan bunyi petir. Kilat biasanya berlaku ketika hujan ribut, letusan gunung berapi atau ribut pasir. Kilat mampu mencapai kelajuan 216,000 km/jam dan suhu mencecah 30,000oC.
Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar aktiviti kilat yang tertinggi di dunia dengan purata 180 hingga 300 pancaran kilat setahun. 80% pancaran kilat yang direkodkan di Malaysia adalah berkeupayaan 50 hingga 100 juta Volt dengan arus mencecah 20,000 Ampere.
Awan Cumulonimbus (awan yang membawa hujan) memainkan peranan dalam kejadian kilat. Disebabkan pergeseran antara udara dan wap air, awan Cumulonimbus akan mengumpulkan banyak cas negatif dan cas negatif. Cas negatif akan berkumpul pada bahagian bawah awan. Permukaan bumi pula mempunyai cas positif. Apabila cas negatif pada awan Cumulonimbus terlalu banyak, cas negatif tersebut akan tertarik ke arah cas positif (permukaan bumi) dan ini akan membentuk laluan ion. Laluan ion akan mencari titik rintangan bumi yang paling rendah (titik rintangan bumi yang paling rendah adalah tempat yang paling mudah cas negatif mengalir ke bumi). Apabila laluan ion menyentuh bumi, satu nyahcas elektrik iaitu kilat akan berlaku mengikuti laluan ion tersebut. Perlu diingatkan, nyahcas kilat terbentuk dari bawah ke atas, bukannya dari atas ke bawah. Ini kerana adalah sifat fizik arus elektrik yang mengalir dari cas positif ke cas negatif. Rujuk gambarajah di bawah


Panahan kilat boleh menyebabkan kematian, kebakaran dan kerosakan pada struktur bangunan dan peralatan elektrik atau elektronik. Oleh itu, pemasangan peranti perlindungan kilat adalah sangat penting untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. 

Alat perangkap kilat  (lightning arrestor) adalah peranti perlindungan kilat yang biasa dipasang pada struktur bangunan yang tinggi. Alat ini menyediakan titik rintangan bumi yang paling rendah dan akan menarik cas negatif  daripada awan Colomonimbus untuk membentuk laluan ion. Kilat akan menyambar pada terminal alat penangkap kilat dan terus dialirkan ke bumi. Dengan adanya alat ini, kilat tidak akan menyambar ke tempat yang tidak diingini dan seterusnya mengelakkan kerosakan harta benda. 

Secara asasnya, alat perangkap kilat ini terdiri daripada 3 komponen utama: terminal, konduktor dan rod pembumian. Terminal biasanya dipasang pada bahagian paling atas stuktur bangunan, konduktor adalah untuk mengalirkan arus elektrik daripada kilat ke bumi, manakala rod pembumian adalah untuk menyambungkan konduktor ke bumi. Rod pembumian ini hendaklah ditanam sehingga mendapat nilai rintangan bumi yang rendah. Mengikut dokumen Malaysia Standard MS IEC 61024-1-1:2001, Perenggan 2.3.3.1 menyatakan nilai rintangan bumi untuk alat perangkap kilat hendaklah di bawah 10 Ω. Oleh itu, rod pembumian hendaklah ditanam sehingga nilai rintangan bumi bawah 10 Ω diperolehi. 



Tiada Lagi Port VGA Pada 2015

Disember 19, 2010

0 komen



Sekiranya anda perasan, kini hampir setiap monitor dan kad grafik terbaru dilengkapi port VGA dan port DVI. Mengikut perancangan, Intel dan AMD akan mula menghentikan penggunaan port VGA pada 2013 dan dijangkakan pada 2015 tiada lagi port VGA pada semua kad grafik, papan induk (motherboard) atau laptop.

Ini adalah kerana port DVI mampu menyokong paparan resolusi monitor yang lebih tinggi pada penggunaan kuasa yang rendah. Penggunaan port VGA dalam industri perkomputeran kini akan meningkatkan kos penghasilan PCB (printed circuit board).

Ini bermakna, pada 2015, semua peralatan  yang menggunakan port VGA tidak boleh digunakan pada komputer atau laptop baru. Tetapi, jangan bimbang, pasti ada syarikat yang menghasilkan converter DVI ke VGA pada masa itu.

Kesan Air Keras (Hard Water)

Disember 16, 2010

0 komen


Anda pasti pernah terlihat keadaan seperti gambarajah di atas: enapan kuning dalam paip air, kesan putih pada peralatan alumininum atau kepala paip, kesan kuning pada sinki seramik dan lapisan kuning/putih pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Semua ini adalah kesan air keras (hard water)

Air keras yang dimaksudkan bukanlah minuman beralkohol, tetapi ia merujuk kepada kandungan ion magnesium dan ion kalsium yang tinggi dalam air. Tahap 'kekerasan' air biasanya disukat dalam unit mg/L (miligram per liter - berat unsur kalsium dan magnesium dalam 1 liter air). Jadual di bawah menunjukkan kategori tahap kekerasan air

KATEGORI
BACAAN (mg/L)
Sangat ‘lembut’
< 17
‘Lembut’
17 - 60
‘Keras’
60 - 120
Agak ‘keras’
120 - 180
Sangat ‘keras’
> 180

Tahap 'kekerasan' air di Malaysia biasanya adalah dalam lingkungan 5 hingga 80 mg/L, bergantung kepada kandungan unsur magnesium dan kalsium dalam tanah di sesuatu tempat. Bacaan 'kekerasan' ini biasanya agak tinggi pada waktu hujan. Tahap 'kekerasan' air yang tinggi tidak memberikan kesan kepada kesihatan manusia, tetapi memberi kesan kepada peralatan tertentu dan sistem perpaipan air. Berikut adalah kesan yang dihadapi akibat tahap 'kekerasan' air yang tinggi:
  • Membentuk enapan kuning dalam paip besi bergalvani (paip GI) dan akan mengecilkan saluran paip tersebut dalam jangkamasa panjang. Enapan ini juga boleh menyebakan lapisan galvani pada paip besi tertanggal, menyebabkan besi berkarat dan seterusnya berlaku kebocoran. 
  • Membentuk enapan kuning pada shower, kepala paip, bidet hos dan menyebabkan sumbat
  • Membentuk lapisan kuning dan hitam pada permukaan dalam tangki air dan jika lama-kelamaan akan menjadi keras dan sukar dibersihkan
  • Membentuk lapisan kuning atau putih pada eleman pemanas dalam cerek elektrik. Ini akan menyebabkan air lambat panas dan meningkatkan penggunaan elektrik
  • Meninggalkan kesan putih pada peralatan aluminium dan kaca
  • Mengurangkan kecekapan sabun untuk membersih (buih kurang)
  • Mengurangkan rasa minuman dan makanan

Terdapat beberapa cara untuk menurunkan tahap 'kekerasan' air iaitu
  • Menggunakan sistem tapisan reverse osmosis (RO)
  • Menggunakan alat penyuling air (water distiller) - air dipanaskan, wap air yang tersejat, dikumpul dan disejukkan untuk memperolehi air suling
  • Menggunakan resin softener - resin ion natrium, kalium atau hidrogen digunakan untuk menyerap ion magnesium dan ion kalsium
  • Meneutralkan air (pH 7) menggunakan kaedah kimia
  • Menggabungkan ion magnesium, kalium dan ion lain menjadi satu sebation menggunakan kaedah kimia. Sebatian tersebut kemudian akan mendak ke bawah takungan air

Kaedah di atas memerlukan kos yang tinggi dan biasa digunakan dalam industri. Bagi pengguna di rumah, adalah tidak berbaloi untuk mendapatkan bekalan air pada tahap 'kekerasan' yang rendah memandangkan ia tidak menjejaskan kesihatan. Walaubagaimanapun, langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan akibat 'kekerasan' air adalah:
  • Kerap membersihkan sinki, paip air, cermin, jubin dan peralatan aluminum apabila sudah mula terdapat tanda kekotoran
  • Kerap membersihkan tangki air
  • Mengurangkan penggunaan paip GI dalam sistem perpaipan rumah, gunakan paip air jenis PVC, polypipe, paip tembaga atau paip stainless steel
  • Kerap bersihkan element pemanas di dalam cerek elektrik
  • Menggunakan pelembut kain (fabric softener) apabila membasuh baju
  • Membasuh baju menggunakan air hujan, baju akan dapat dibersihkan dengan penggunaan sabun yang minima.
*Klik sini untuk artikel lengkap mengenai kesan air keras.


Heckler and Koch MP5 Dalam Kes Bunuh Aminulrasyid Amzah

Disember 15, 2010

0 komen

Artikel kali ini bukanlah untuk mengulas tentang kes bunuh Aminumrasyid Amzah yang masih dalam perbicaraan mahkamah, tetapi adalah mengenai senjata api yang digunakan dalam kes ini. Gambar di bawah menunjukkan rupa bentuk senjata tersebut. Senjata yang digunakan dalam kes ini adalah Heckler and Koch MP5.


Heckler and Koch adalah nama syarikat dari Jerman yang menghasilkan senjata ini manakala MP5 adalah singkatan daripada Machine Pistol model 5. Senjata ini adalah dalam kategori submachnige gun dan antara senjata yang paling popular di dunia digunakan oleh pihak berkuasa keselamatan. Ia sudah mula digunakan sejak tahun 1964.

Berat senjata ini adalah sekitar 2.5kg hingga 3 kg dengan kepanjangan 660mm. Ia mempunyai 3 mod tembakan iaitu tembakan automatik, separuh automatik dan burst. Jarak berkesan senjata ini adalah 25 hingga 100 meter, sesuai untuk pertempuran jarak dekat dan sederhana. Jumlah peluru dalam kelopaknya adalah 15 atau 30 biji.

Helaian Berinformasi #1: Informasi Mengenai Tayar Kereta

Disember 14, 2010

0 komen

Helaian PDF ini menunjukkan informasi yang terdapat pada tayar kereta. Klik pautan di bawah untuk memuaturun.

Muaturun versi Bahasa Melayu
Muaturun versi Bahasa Inggeris

Maklumat Pada Tayar Kereta

1 komen

Cuba lihat pada tayar kereta anda, anda pasti akan menemui susunan nombor dan huruf seperti gambarajah di atas ini. Ia memberitahu tahu tentang ciri-ciri tayar kenderaan anda. Berikut adalah keterangan susunan nombor dan huruf tersebut:
  1. Lebar tayar, W, dalam unit mm
  2. Nisbah aspek,dalam unit % = (W/H)x100. Tinggi tayar, H boleh dikira menggunakan rumus ini.
  3. Tayar dibuat dalam bentuk bulat
  4. Diameter rim dalam unit inci
  5. Index beban - Kapasiti beban yang boleh ditampung oleh tayar. Rujuk jadual di bawah
  6. Kadar kelajuan - Kelajuan maksimum yang boleh tampung oleh tayar. Rujuk jadual di bawah

Dapatkan helaian PDF mengenai tayar kereta di sini.


Mengapa Lampu Alat Perangkap Lalat Elektrik Berwarna Biru Terang ?

2 komen

Pernahkah anda terfikir kenapa lampu yang terdapat pada alat perangkap lalat elektrik yang sering dipasang di kafeteria atau kedai makan berwarna warna biru terang. Dan kita sering dapati serangga kecil terutamanya lalat mudah tertarik ke lampu tersebut.

Lampu yang terdapat pada alat perangkap serangga tersebut direka untuk memancarkan cahaya ultraviolet pada panjang gelombang 350nm hingga 370nm. Cahaya ultraviolet adalah cahaya atau tenaga radiasi yang tidak boleh dilihat oleh manusia. Tenaga yang terkandung cahaya ultraviolet ini bergantung kepada panjang gelombang yang diukur dalam unit nanometer (nm). Semakin kecil panjang gelombang, semakin besar kandungan tenaga yang terdapat pada cahaya ultraviolet tersebut. Selain menarik perhatian serangga, cahaya ultraviolet sering digunakan untuk tujuan perubatan, x-ray, analisis forensik, membunuh kuman dan sebagainya. 

Mengikut kajian, serangga kecil terutamanya lalat akan tertarik pada cahaya ultraviolet dengan panjang gelombang 365nm. Cahaya ultraviolet ini boleh didapati daripada lampu berwarna ungu atau biru terang dan sebab itulah lampu pada alat perangkap lalat sering berwarna biru terang.

Bagaimana Lampu Kalimantang dengan Ballast Magnetik Berfungsi ?

Disember 12, 2010

1 komen

Secara asasnya, lampu kalimantang terbahagi kepada 3 komponen utama: tiub kalimantang, pemula (starter) dan ballast magnetik. Fungsi setiap komponen tersebut adalah seperti berikut:

Tiub Kalimantang



Apabila arus mengalir ke filament melalui pin terminal, filament akan menjadi panas dan mengionkan gas nadir.  Pada masa yang sama, filament akan memancarkan electron dan ini menyebabkan merkuri mengewap. Wap merkuri akan teruja dan membebaskan tenaga radiasi ultraviolet. Lapisan dalaman fosforus akan menukarkan tenaga radiasi ultraviolet ke cahaya boleh nampak.






Pemula (Starter)



Membenarkan arus permulaan melalui ke dalam pemula. Pemula bertindak sebagai suis yang sentiasa on-off apabila arus melaluinya. Dwilogam yang terdapat di dalam pemula akan memanas, melengkung dan tidak menyentuh titik sentuh. Apabila sejuk, dwilogam menjadi lurus dan menyentuh titik sentuh semula. Arus akan berhenti melalui pemula apabila ia boleh melalui tiub kalimantang. 





Ballast Magnetik atau choke


  1. Menjana voltan permulaan yang  tinggi akibat tindakan on-off  yang dilakukan oleh pemula. 
  2. Menghadkan arus melalui tiub kalimantang ketika lampu sedang menyala. Ini kerana, pada ketika itu, rintangan gas dalam tiub kalimantang adalah rendah dan  ini menyebabkan arus tinggi. Arus ini perlu dikawal supaya ia tidak merosakkan komponen lain


Cara kerja lampu kalimantang adalah seperti berikut:
  1. Suis dihidupkan                                                             
  2. Arus melalui filament dan memanas. Gas nadir mula mengion dan filament memancarkan elektron                                                                                              
  3. Arus melalui pemula                                                              
  4. Ballast magnetik menjana voltan tinggi kerana tindakan on-off oleh pemula                                                  
  5. Filamen memancarkan elektron, merkuri mengewap, arus (elektron) mengalir dalam tiub kalimantang dan cahaya terhasil                                   
  6. Ballast magnetik menghadkan arus elektrik

Helaian Berinfomasi #2: Pemutus Litar Bocor Ke Bumi

0 komen



Helaian PDF ini menerangkan tentang pengenalan, binaan dalaman, ciri-ciri dan cara kerja RCCB. Klik pautan di bawah untuk memuaturun.

Muaturun versi Bahasa Melayu
Muaturun versi Bahasa Inggeris




Helaian Berinformasi #3: Bahagian - Bahagian Komputer

0 komen


Helaian PDF ini menerangkan bahagian-bahagian penting dalam sesebuah komputer. Klik pautan di bawah untuk memuaturun.

Muaturun versi Bahasa Melayu
Muaturun versi Bahasa Inggeris


Helaian Berinformasi #4: Cara Kerja Lampu Kalimantang Dengan Ballast Magnetik

Disember 11, 2010

0 komen


Helaian PDF ini menerangkan tentang operasi cara kerja lampu kalimantang berfungsi dengan menggunakan ballast magnetik. Klik pautan di bawah untuk memuaturun.

Muaturun versi Bahasa Melayu
Muaturun versi Bahasa Inggeris

RCCB Terpelantik (Trip) Apabila Motor Dihidupkan

Disember 03, 2010

0 komen

Soalan
Saya mempunyai mesin pengisar berkuasa 15HP, 1450rpm, 21.5A. Sejak kebelakangan ini, mesin tersebut mula menghadapi masalah. Apabila mesin (motor) ini dihidupkan, beberapa minit selepas itu, RCCB akan terpelantik dan bekalan elektrik terputus? Apakah masalah mesin ini?

Jawapan:
Masalah seperti ini biasa berlaku pada peralatan elektrik yang menggunakan motor seperti mesin basuh, penghawa dingin dan sebagainya. Ia berpunca daripada bahan penebat pada lilitan wayar tembaga dalam motor tersebut telah pecah menyebabkan arus elektrik mengalir ke bumi melalui badan motor tersebut. Arus menjadi tidak seimbang dan RCCB akan trip. Klik sini untuk mengetahui cara kerja RCCB.

Masalah ini boleh dikesan dengan tepat menggunakan alat uji penebatan (insulation tester). Setkan alat uji pada 1000V, dan uji bacaan rintangan penebatan pada terminal motor dan badan motor tersebut. Sekiranya bacaan rintangan penebatan kurang dari 1MOhm, ini menunjukkan bahan penebat wayar tembaga pada lilitan dalam otor tersebut telah pecah. 

Untuk membaikinya, motor tersebut perlu dihantar ke kedai untuk kerja rewinding. Walaubagaimanapun, untuk motor bersaiz kecil, biasanya kos rewinding adalah lebih tinggi dari harga motor tersebut dan adalah lebih baik motor tersebut ditukar baru.

RCCB Trip Apabila Lampu Kalimantang Dihidupkan

November 12, 2010

0 komen

Pernahkah anda mengalami keadaan sebegini pada lampu kalimantang di rumah anda? Apabila suis lampu kalimantang dihidupkan, RCCB akan terpelantik (trip), padahal selama ini lampu tersebut berfungsi dengan baik. Mengapakah ini berlaku ?

Terdapat dua kemungkinan punca masalah ini berlaku; iaitu litar pintas pada pendawaian lampu atau kerosakan pada magnetic ballast (choke) dalam lampu kalimantang tersebut. Mengikut pengalaman saya, 95% daripada masalah ini berpunca daripada kerosakan pada choke.

Magnetik ballast [rujuk gambar di bawah] adalah gegelung wayar tembaga yang dililit pada satu teras besi. Apabila penebat wayar tembaga pada badan choke pecah, arus elektrik akan mengalir pada badan choke ini dan mengalir ke bumi. Arus elektrik akan menjadi tidak seimbang dan RCCB akan trip. Klik sini untuk mengetahui cara kerja RCCB. Kerosakan ini biasa berlaku pada choke yang berkualiti rendah.

Untuk membaiki masalah ini, hanya gantikan choke yang rosak dengan choke yang baru. Pastikan choke yang baru itu mempunyai logo persijilan SIRIM.

Kesan Renjatan Elektrik Pada Manusia

November 02, 2010

0 komen

Julat
Nilai arus yang melalui
badan manusia(dalam masa 1 saat)
Kesan Pada Manusia

Julat Selamat
1 mA atau kurang Tidak terasa
1 mA hingga 8mA Terasa sedikit renjatan, seseorang masih
boleh melepaskan diri kerana pergerakan
otot masih boleh dikawal.

Julat Bahaya
8 mA hingga 15 mATerasa sakit, seseorang masih boleh melepaskan diri kerana pergerakan otot masih dapat dikawal
15 mA hingga 20 mA Terasa sakit, seseorang tidak dapat melepaskan diri kerana pergerakan otot tidak dapat dikawal
50 mA hingga 100 mA Terasa sakit, otot tidak
dapat dikawal, pernafasan terhenti
100 mA hingga 200 mA Degupan jantung menjadi tidak normal (ventricular fibrillation) dan menyebabkan kematian
200 mA dan ke atas Melecur, otot dada mengecut dan ini membuatkan jantung terhenti seketika keadaan ini menghalang dari berlaku ventricular fibrillation. Mangsa boleh diselamatkan

Bagaimana RCCB Berfungsi Dan Melindungi Anda Dari Renjatan Elektrik ?

3 komen


Struktur dalaman RCCB terdiri daripada 5 bahagian utama iaitu suis uji, gelung pengimbang, gelung pemutus litar, suis pemutus litar dan teras besi toroid. Dalam keadaan biasa, arus wayar live adalah sama dengan arus pada wayar neutral dan gelung pengimbang akan menghasilkan medan elektromagnet yang sekata. 

Apabila terdapat arus bocor ke bumi, medan elektromagnet pada gelung pengimbang akan menjadi tidak sekata dan ini akan menghasilkan voltan pada gelung pemutus litar. Apabila arus bocor ke bumi melebihi nilai sensitiviti RCCB, suis pemutus litar akan mendapat bekalan voltan yang mencukup dari gelung pemutus litar untuk  memutuskan bekalan elektrik

Sebagai contoh, sebuah RCCB yang mempunyai kepekaan 0.3A telah dipasang pada papan agihan sebuah rumah. Arus yang dibekalkan oleh RCCB pada ketika itu adalah 4A. Tetapi kebocoran arus ke bumi telah berlaku sebanyak 0.4A dan ini menyebabkan arus yang kembali ke RCCB tidak sama dengan arus yang dibekalkan. (Arus yang kembali = 4 - 0.4 = 3.6A). RCCB akan memutuskan bekalan elektri (trip) kerana arus bocor ke bumi melebihi nilai kepekaan RCCB tersebut. 

Bagaimana RCCB melindungi anda dari renjatan elektrik ?

Apabila seseorang terkena renjatan elektrik, arus akan melalui badan dan kembali ke titik pembumian neutral transformer melalui tanah. Arus ini akan membuatkan arus di dalam rumah tidak seimbang dan RCCB akan serta merta bertindak memutuskan bekalan elektrik. 





Jangan Memasang Penghawa Dingin Dengan Kapasiti Terlalu Besar

Oktober 31, 2010

0 komen

Artikel lalu penulis telah menerangkan pengiraan kapasiti penghawa dingin yang sesuai. Adalah diingatkan supaya anda tidak memasang penghawa dingin dengan kapasiti yang terlalu besar. Sebagai contoh, mengikut pengiraan, bilik anda memerlukan penghawa dingin berkuasa 1.2HP. Oleh itu, dapatkan penghawa dingin berkuasa 1.5HP.

Memasang penghawa dingin berkuasa 2HP mungkin tidak menimbulkan masalah. Tetapi apabila anda memasang penghawa dingin berkuasa 2.5HP atau 3HP, bilik anda akan sejuk dengan cepat pada kelembapan udara yang tinggi.

Anda akan mendapati peralatan logam, kaca akan mula berwap, beberapa minggu selepas itu, siling dan dinding anda akan berkulat. Ini berlaku kerana pada suhu rendah dengan kelembapan tinggi, zarah udara akan  mula berubah menjadi wap air. Sekiranya anda masih ingat tentang isu kulat di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru beberapa tahun lalu, kejadian itu berpunca daripada kapasiti penghawa dingin yang terlalu besar.

Memasang penghawa dingin pada kapasiti yang sesuai akan membolehkan kelembapan udara menurun dahulu sebelum suhu bilik menjadi sejuk. Penulis akan menerangkan tentang kelembapan udara dan 'dew point' pada artikel akan datang.

Perisian SPICE

Oktober 30, 2010

0 komen


SPICE adalah singkatan daripada Simulation Program with Integrated Circuit Emphasis. Perisian ini adalah program simulasi yang digunakan untuk menguji litar elektrik dan elektronik secara maya seolah-olah litar tersebut telah dipasang pada papan litar. Ini bermakna, jika dalam simulasi SPICE litar tersebut berfungsi, maka litar tersebut juga akan berfungsi di dunia sebenar. 

Terdapat banyak perisian SPICE yang terdapat di pasaran kini seperti;
Di antara kesemua produk SPICE di atas, penulis berpendapat bahawa Tina dan Proteus adalah perisian yang mudah difahami, mudah dikendalikan dan sangat sesuai untuk pembelajaran pelajar universiti. Kesemua produk di atas adalah berbayar kecuali Winspice dan LTSpice.

Jenis-jenis Api Kebakaran Dan Pemadam Api

Oktober 29, 2010

0 komen

Api kebakaran boleh diklasifikasikan kepada 4 jenis iaitu;

1. Kelas A
Api berpunca daripada bahan pepejal (kecuali logam) sepeti kayu, kertas, kain, plastik dan sebagainya.

2. Kelas B
Berpunca dari bahan cecair  yang mudah terbakar seperti minyak petrol, gas dapur, diesel, varnis, cat dan sebagainya.

3. Kelas C
Berpunc dari gas atau wap yang mudah terbakar seperti hidrogen, methane, propane, oxy-acetylene, gas LPG dapur dan sebagainya.

4. Kelas D
Berpunca dari bahan logam seperti magnesium, aluminium, natrium, kalium dan sebagainya.

5. Kelas E
Berpunca dari bahan masakan seperti minyak masak atau lemak.

Kebakaran dari peralatan elektrik pula tidak dikelaskan.

Nota: Pengelasan jenis api kebakaran di atas hanya sah di Malaysia sahaja. Di negara-negara lain, pengelasan jenis api adalah berbeza.

Berikut adalah jenis pemadam api yang biasa digunakan:

1) Pemadam Api Serbuk Kering ABC



Berat: 12kg atau 3kg
Warna: Biru
Jenis api yang boleh dipadamkan: A,B dan C
Catatan : Boleh digunakan sekali sahaja, serbuknya boleh merosakkan logam, enjin dan badan kenderaan, berbahaya kepada makanan.






2) Pemadam Api Karbon Dioksida



Berat: 3kg
Warna: Hitam
Jenis api yang boleh dipadamkan: Api dari peralatan elektrik
Catatan: Tidak sesuai untuk persekitaran terbuka







3) Pemadam Api Serbuk Kering ABC




Berat: 12kg dan 3kg
Warna: Merah
Jenis api yang boleh dipadamkan: A, B, C dan api dari peralatan elektrik
Catatan: Boleh digunakan sekali sahaja.





Setiap alat pemadam api untuk kegunaan bukan domestik (seperti di kilang dan pejabat) wajib didaftarkan kepada pihak bomba melalui kontraktor yang telah berdaftar dengan pihak bomba. Pihak bomba akan mengeluarkan sijil untuk setiap alat pemadam api dan juga pelekat untuk ditampal pada badan pemadam api tersebut. Sijil ini perlu diperbaharui setiap tahun, manakala alat pemadam api yang berusia lebih 10 tahun perlu dilupuskan kerana bahan kimianya tidak lagi efektif untuk memadamkan api. 

ELCB atau RCCB ?

Oktober 27, 2010

0 komen


ELCB - Earth Leakage Circuit Breaker (Pemutus Litar Bocor ke Bumi)
RCCB - Residual Current Circuit Breaker (Pemutus Litar Arus Baki)

Yang manakan penggunaan perkataan yang betul untuk alat seperti gambar di atas ELCB atau RCCB ? Jawapannya : Kedua-duanya betul untuk masa sekarang. 

ELCB terbahagi kepada 2 bahagian:
  • ELCB kendalian voltan
  • ELCB kendalian arus = RCCB
RCCB adalah nama lain bagi ELCB kendalian arus. Penggunaan perkataan RCCB untuk ELCB kendalian voltan adalah tidak betul. Walaubagaimanapun, pengunaan ELCB kendalian voltan ini telah lama dihentikan dan syarikat pengeluar tidak lagi mengeluarkan ELCB jenis ini lagi. Oleh itu, kesemua ELCB yang terdapat di pasaran kini adalah ELCB kendalian arus atau RCCB. Tetapi anda masih boleh menemui ELCB kendalian voltan ini pada papan agihan bekalan elektrik di bangunan-bangunan lama yang dibina sekitar tahun 1940an dan 1950an.

Nota : RCCB juga kadang-kala dikenali sebagai RCD (Residual Current Device)

Dapatkan helaian PDF tentang RCCB di sini.

Perisian Merekabentuk Stripboard Untuk Litar Elektronik

Oktober 26, 2010

0 komen

Sekiranya anda ingin membuat litar elektronik di atas stripboard atau veroboard, berikut adalah senarai perisian yang dapat membantu anda. Perisian ini memudahkan anda merancang susunan komponen elektronik atas stripboard dahulu sebelum kerja memateri dilakukan.

1. Stripboard Designer


2.  VeroDes


3.  VeeCAD






Stripboard Designer, VeroDes, VeeCAD dan Stripboard Magic adalah perisian percuma, manakala LochMaster adalah perisian berbayar. Di antara kelima-lima perisian ini, penulis mendapati LochMaster adalah perisian perekabentuk yang paling baik, mudah difahami dan mudah dikendalikan. Pembaca yang berminat boleh muaturun perisian LochMaster versi 'cracked' pada pautan di bawah ini:


240Vac atau 240Vrms ?

Oktober 22, 2010

0 komen

Ada di antara kita yang masih keliru, samada bekalan elektrik di Malaysia adalah 240Vac atau 240Vrms. Jawapannya adalah; 240Vrms. Oleh itu,Vac untuk bekalan elektrik adalah;
Gambar di bawah menunjukkan bentuk gelombang elektrik yang keluar dari soket plug rumah anda:


339.41Vac bermaksud voltan arus ulang alik (sine wave) pada amplitud 339.41V dan -339.41V. Sekiranya anda membina litar penerus (rectifier) dan inputnya diambil dari soket plug, maka output voltan arus terus pada litar penerus anda ialah 339.41V.

Mengapa Belajar Kaedah Berangka ?

0 komen

Sekiranya anda lepasan diploma atau ijazah dalam bidang kejuruteraan, anda mungkin ada mengambil subjek matematik ini; Kaedah Berangka (Numerical Method). Tetapi ramai yang tidak mengetahui kegunaan kaedah berangka termasuklah pensyarah yang mengajar subjek ini. 

Sebenarnya, kaedah berangka sangat penting dalam kehidupan kita. Kaedah berangka diaplikasikan di dalam kalkulator, komputer dan sebarang peralatan yang menggunakan mikroprocessor. 

Secara asasnya, mikroprocessor (uP) hanya boleh menjalankan operasi matematik yang asas iaitu tambah, tolak, darab, bahagi dan kuasa sahaja. Jadi, bagaimana kalkulator atau komputer boleh melakukan kiraan matematik yang kompleks dengan pantas?

Untuk melakukan operasi seperti pengamiran (integrator), pembezaan (derivative), trigonometri, logaritma dan sebagainya, programmmer akan menggunakan kaedah berangka untuk menjalankan operasi tersebut. Kaedah berangka adalah satu kaedah penghampiran untuk melaksanakan fungsi matematik tertentu dengan memanipulasikan operasi asas matematik. Contoh fungsi matematik dan kaedah penghampirannya menggunakan kaedah berangka ditunjukkan di bawah: (Senarai lengkap fungsi matematik dan penghampirannya boleh rujuk di sini)


Untuk fungsi matematik yang melibatkan operasi pengamiran dan pembezaan, kaedah penghampirannya adalah lebih rumit. Pembaca yang berminat boleh rujuk di sini.

Kipas Semakin Perlahan

Oktober 21, 2010

54 komen

Kadang-kadang kipas siling, kipas meja, kipas dinding atau exhaust fan di rumah kita menjadi semakin perlahan selepas diguna beberapa tahun walaupun kelajuannya dilaras pada tahap maksimum. Mengapakah ini berlaku ? Adakah ia boleh dibaiki ?

Perkara ini berlaku disebabkan kapasitor yang terdapat pada motor kipas tersebut. Nilai Farad pada kapasitor tersebut telah berkurangan dan ini menyebabkan kelajuan kipas semakin berkurangan. Gambar 1 di bawah menunjukkan bentuk biasa kapasitor yang terdapat pada motor kipas manakala Gambar 2 menunjukkan lokasi kapasitor pada kipas siling.


Gambar 1: Bentuk biasa kapasitor kipas

Gambar 2: Lokasi kapasitor kipas siling

Nilai kapasitor yang biasa digunakan pada kipas siling atau kipas meja di rumah adalah sekitar 2uF. Kapasitor yang berkualiti rendah biasanya nilai Farad akan berkurangan setiap tahun. Untuk membaiki kipas yang menjadi semakin perlahan itu, hanya gantikan sahaja kapasitor ini dengan yang baru. 

Anda dinasihatkan supaya menggantikan kapasitor tersebut dengan nilai Farad yang sama dengan nilai Farad kapasitor yang asal. Menggunakan kapasitor yang mempunyai nilai Farad yang lebih tinggi akan menyebabkan kipas berpusing lebih laju, motor menjadi lebih panas dan ini boleh merosakkan gelung dalam motor kipas tersebut. Pastikan kapasitor tersebut mempunyai label voltan lebih dari 300VAC.

Pastikan juga anda menutup suis utama pada papan agihan elektrik semasa membuat kerja penggantian kapasitor kipas. Ini adalah untuk keselamatan.



*Saya dapat banyak soalan mengenai kerosakan kipas siling. Klik sini untuk melihat soalan lazim dan jawapan mengenai kerosakan kipas siling.



Nokero - Lampu Pijar LED Berkuasa Solar

Jun 12, 2010

0 komen

Nokero direka khas untuk negara mundur yang mana penduduknya masih tidak dapat bekalan elektrik sepenuhnya. Ia mampu berfungsi sehingga 2 - 4 jam selepas dicas penuh di bawah cahaya matahari selama 4 jam. 

Nokero direka menggunakan bahan tahan cuaca, dengan itu ia boleh dicas di luar walaupun dalam hujan. Alat ini menggunakan bateri NiMH yang boleh ditukar apabila telah rosak.

Berharga USD15 dan boleh didapati di sini.




RCD Terpelantik (trip), Tidak Boleh Dinaikkan (reset)

Jun 08, 2010

11 komen


Artikel terdahulu penulis telah memperkenalkan RCB dalam sistem pembekalan elektrik 1 fasa di rumah. RCB akan terpelantik ke bawah (trip) apabila berlaku renjatan elektrik, voltan tinggi akibat kilat ataupun berlaku kerosakan pada pendawaian yang menyebabkan arus mengalir ke bumi.

Apabila RCD trip, anda perlu menaikkan semula suisnya (reset) supaya bekalan elektrik pulih seperti biasa. Walaubagaimanapun, kadang-kala RCD tidak dapat dinaikkan (reset) walaupun ditolak berkali2 ke atas. 

Sekiranya keadaan ini berlaku, berikut adalah langkah2 yang perlu anda buat (rujuk gambar di atas):
  1. Pakai selipar getah ataupun kasut keselamatan. Jika tiada, alas kaki anda dengan kepingan getah, kayu atau apa2 bahan yang tidak mengalirkan elektrik. 
  2. Turunkan suis utama dan semua suis MCB (off) dan kemudian naikkan suis RCD. Sekiranya suis tersebut tidak dapat dinaikkan juga, ini menunjukkan RCD tersebut telah rosak. Dapatkan juruelektrik untuk menggantikan RCD ini.
  3. Sekiranya suis RCD dapat dinaikkan, naikkan semula suis utama (on). Sekiranya suis RCD jatuh semula sebaik sahaja suis utama dinaikkan, ini menunjukkan RCD tersebut telah rosak. Dapatkan juruelektrik untuk menggantikan RCD ini.
  4. Sekiranya suis RCD tidak jatuh (trip) sebaik sahaja suis utama dinaikkan (on), naikkan (on) semua suis MCB satu persatu
  5. Sekiranya ada suis MCB apabila dinaikkan, suis RCD terjatuh semula ke bawah, ini menunjukkan ada pendawaian atau peralatan elektrik yang mengalami litar pintas ke bumi. Biarkan suis MCB tersebut dalam keadaan off, naikkan semula suis RCD dan suis MCB yang lain. Dapatkan juruelektrik untuk mengesan punca litar pintas dan pembaikan. 

Kipas Tanpa Bilah

Jun 07, 2010

1 komen

Dyson Air Multiplier adalah kipas tanpa bilah. Kipas ini mampu menggandakan aliran udara 15 kali lebih kuat daripada aliran udara biasa.

Dyson Air Multiplie juga mudah untuk dibersihkan dan tidah berbahaya kerana tiada bilah kipas yang bergerak. Teknologi Dyson Air Multiplier ini diinspirasikan dari teknologi pengecas turbo (untuk enjin kereta) dan teknologi enjin jet untuk menjana aliran udara yang bertenaga.

Anda boleh mendapatkan kipas ini secara online di sini.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...