Artikel lalu penulis telah menerangkan pengiraan kapasiti penghawa dingin yang sesuai. Adalah diingatkan supaya anda tidak memasang penghawa dingin dengan kapasiti yang terlalu besar. Sebagai contoh, mengikut pengiraan, bilik anda memerlukan penghawa dingin berkuasa 1.2HP. Oleh itu, dapatkan penghawa dingin berkuasa 1.5HP.
Memasang penghawa dingin berkuasa 2HP mungkin tidak menimbulkan masalah. Tetapi apabila anda memasang penghawa dingin berkuasa 2.5HP atau 3HP, bilik anda akan sejuk dengan cepat pada kelembapan udara yang tinggi.
Anda akan mendapati peralatan logam, kaca akan mula berwap, beberapa minggu selepas itu, siling dan dinding anda akan berkulat. Ini berlaku kerana pada suhu rendah dengan kelembapan tinggi, zarah udara akan mula berubah menjadi wap air. Sekiranya anda masih ingat tentang isu kulat di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru beberapa tahun lalu, kejadian itu berpunca daripada kapasiti penghawa dingin yang terlalu besar.
Memasang penghawa dingin pada kapasiti yang sesuai akan membolehkan kelembapan udara menurun dahulu sebelum suhu bilik menjadi sejuk. Penulis akan menerangkan tentang kelembapan udara dan 'dew point' pada artikel akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan