Terkena Renjatan Apabila Menyentuh Peralatan Eletrik

Oktober 29, 2011

0 komen

Soalan
Saya dapati kini dalam rumah saya, apabila saya menyentuh badan besi peralatan elektrik seperti mesin basuh, mesin jahit, oven atau casing komputer, saya sering sahaja terkena renjatan elektrik. Apabila saya sentuhkan test pen pada badan peralatan elektrik tersebut, lampu  pada test pen akan menyala.

Mengapakah berlaku masalah demikian? Adakah ia berbahaya? Bagaimana untuk membaiki masalah ini?

Jawapan
Keadaan ini adalah berbahaya, sekiranya anda terkena renjatan elektrik dan arus yang melalui badan anda melebihi 0.03A, ini boleh menyebabkan kematian. Anda perlu membaiki masalah ini secepat mungkin. 

Masalah di atas menunjukkan telah berlaku litar pintas di antara wayar hidup (live) dan bumi. Litar pintas ini berlaku samada pada sistem pendawaian elektrik rumah anda ataupun di dalam peralatan elektrik.

Sepatutnya apabila berlaku litar pintas antara wayar hidup dan bumi, ELCB yang terdapat pada papan agihan elektrik akan menendang (trip) untuk memutuskan bekalan elektrik. Tetapi sekiranya ELCB tidak trip, anda akan mengalami masalah sering terkena renjatan elektrik apabila menyentuh peralatan elektrik. 

ELCB yang tidak trip apabila masalah ini berlaku menunjukkan ELCB anda telah rosak. Anda perlu mendapatkan khidmat juruelektrik untuk menukar ELCB kepada yang baru. Setelah ELCB ditukar, kerja mencari tempat berlaku litar pintas dan kerja pembaikan perlu dijalankan. 

Ada orang yang menyelesaikan masalah ini dengan menanggalkan sambungan wayar bumi di dalam soket plug atau kepala plug peralatan elektrik tersebut. Cara ini memang boleh menyelesaikan masalah renjatan elektrik pada peralatan elektrik tersebut, tetapi sekiranya berlaku litar pintas dalam peralatan elektrik tersebut, anda akan terkena renjatan elektrik juga. Malah ada peralatan elektrik atau elektronik seperti yang memerlukan wayar bumi untuk menyingkirkan gangguan elektromagnetik dan hingar. Menanggalkan wayar bumi pada peralatan ini akan membuatkan ia mudah rosak atau mengganggu fungsi peralatan elektrik tersebut.

Oleh itu, cara yang terbaik adalah gantikan ELCB dengan yang baru, kenalpasti tempat berlaku litar pintas dan baikinya.

Alat Memasak Telur

Oktober 14, 2011

0 komen

Alat di sebelah ini bukan sahaja boleh digunakan untuk memasak telur, tetapi boleh bertindak sebagai pengukus mini. Anda boleh mengukus atau memanaskan roti, sup, sayur dan sebagainya.

Anda hanya perlu menuangkan air ke dalam alat ini dan ia akan memanaskan air sehingga stim terbentuk. Alat ini dilengkapi dengan pelaras suhu supaya pengguna boleh mengawal suhu pemanasan pada tahap yang sesuai. Dengan itu, anda boleh memasak telur separuh masak ataupun masak penuh.

Alat ini menggunakan kuasa sebanyak 365 Watt dan berharga tidak melebihi RM150. Pembaca yang berminat untuk membeli alat secara secara online, boleh klik pada pautan ini.

Analogi Mudah Memahami Perbezaan Voltan Dan Arus

Oktober 04, 2011

1 komen

Secara asasnya, voltan berkadar langsung dengan arus. Apabila nilai voltan meningkat, maka nilai arus pun turut meningkat pada satu-satu nilai rintangan. Ini adalah Hukum Ohm, V=IR.


Saya cuba analogikan voltan dan arus dengan pergerakan air dalam paip.
  • Voltan: tekanan air dalam paip
  • Arus: aliran air dalam paip
  • Rintangan: tahap pembukaan pili air (jika pili air dibuka besar,semakin mudah air keluar dari pili, jika  pili paip dibuka kecil, air agak sukar keluar dari pili)

Contoh:
Apabila kita buka pili air pada tahap maksimum, sekiranya tekanan air tinggi, maka air akan keluar dengan laju, sekiranya tekanan air rendah, maka air yg keluar dari pili adalah perlahan walaupun pili air sudah dibuka maksimum.

Sekiranya tekanan air dalam paip tinggi, tetapi pili air dibuka sedikit sahaja, maka aliran air yang keluar pun perlahan. Jika tekanan air rendah, pili air dibuka sedikit sahaja, lagilah perlahan air yang keluar.

Sama kesnya seperti voltan dan arus, sekiranya voltan tinggi dibekalkan pada rintangan rendah, maka arus akan menjadi tinggi. Jika voltan tinggi dibekalkan pada rintangan tinggi, maka arus akan menjadi rendah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...