Anda pasti pernah terlihat keadaan seperti gambarajah di atas: enapan kuning dalam paip air, kesan putih pada peralatan alumininum atau kepala paip, kesan kuning pada sinki seramik dan lapisan kuning/putih pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Semua ini adalah kesan air keras (hard water)
Air keras yang dimaksudkan bukanlah minuman beralkohol, tetapi ia merujuk kepada kandungan ion magnesium dan ion kalsium yang tinggi dalam air. Tahap 'kekerasan' air biasanya disukat dalam unit mg/L (miligram per liter - berat unsur kalsium dan magnesium dalam 1 liter air). Jadual di bawah menunjukkan kategori tahap kekerasan air
KATEGORI
|
BACAAN (mg/L)
|
Sangat ‘lembut’ |
< 17
|
‘Lembut’ |
17 - 60
|
‘Keras’ |
60 - 120
|
Agak ‘keras’ |
120 - 180
|
Sangat ‘keras’ |
> 180
|
Tahap 'kekerasan' air di Malaysia biasanya adalah dalam lingkungan 5 hingga 80 mg/L, bergantung kepada kandungan unsur magnesium dan kalsium dalam tanah di sesuatu tempat. Bacaan 'kekerasan' ini biasanya agak tinggi pada waktu hujan. Tahap 'kekerasan' air yang tinggi tidak memberikan kesan kepada kesihatan manusia, tetapi memberi kesan kepada peralatan tertentu dan sistem perpaipan air. Berikut adalah kesan yang dihadapi akibat tahap 'kekerasan' air yang tinggi:
- Membentuk enapan kuning dalam paip besi bergalvani (paip GI) dan akan mengecilkan saluran paip tersebut dalam jangkamasa panjang. Enapan ini juga boleh menyebakan lapisan galvani pada paip besi tertanggal, menyebabkan besi berkarat dan seterusnya berlaku kebocoran.
- Membentuk enapan kuning pada shower, kepala paip, bidet hos dan menyebabkan sumbat
- Membentuk lapisan kuning dan hitam pada permukaan dalam tangki air dan jika lama-kelamaan akan menjadi keras dan sukar dibersihkan
- Membentuk lapisan kuning atau putih pada eleman pemanas dalam cerek elektrik. Ini akan menyebabkan air lambat panas dan meningkatkan penggunaan elektrik
- Meninggalkan kesan putih pada peralatan aluminium dan kaca
- Mengurangkan kecekapan sabun untuk membersih (buih kurang)
- Mengurangkan rasa minuman dan makanan
Terdapat beberapa cara untuk menurunkan tahap 'kekerasan' air iaitu
- Menggunakan sistem tapisan reverse osmosis (RO)
- Menggunakan alat penyuling air (water distiller) - air dipanaskan, wap air yang tersejat, dikumpul dan disejukkan untuk memperolehi air suling
- Menggunakan resin softener - resin ion natrium, kalium atau hidrogen digunakan untuk menyerap ion magnesium dan ion kalsium
- Meneutralkan air (pH 7) menggunakan kaedah kimia
- Menggabungkan ion magnesium, kalium dan ion lain menjadi satu sebation menggunakan kaedah kimia. Sebatian tersebut kemudian akan mendak ke bawah takungan air
Kaedah di atas memerlukan kos yang tinggi dan biasa digunakan dalam industri. Bagi pengguna di rumah, adalah tidak berbaloi untuk mendapatkan bekalan air pada tahap 'kekerasan' yang rendah memandangkan ia tidak menjejaskan kesihatan. Walaubagaimanapun, langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan akibat 'kekerasan' air adalah:
- Kerap membersihkan sinki, paip air, cermin, jubin dan peralatan aluminum apabila sudah mula terdapat tanda kekotoran
- Kerap membersihkan tangki air
- Mengurangkan penggunaan paip GI dalam sistem perpaipan rumah, gunakan paip air jenis PVC, polypipe, paip tembaga atau paip stainless steel
- Kerap bersihkan element pemanas di dalam cerek elektrik
- Menggunakan pelembut kain (fabric softener) apabila membasuh baju
- Membasuh baju menggunakan air hujan, baju akan dapat dibersihkan dengan penggunaan sabun yang minima.
*Klik sini untuk artikel lengkap mengenai kesan air keras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan