Teras Ferrite Pada Kabel

Februari 17, 2013


Saya pasti ramai antara kita yang menyedari teras hitam yang terdapat pada kebanyakkan kabel audio visual ataupun pada kabel kuasa untuk gajet. Apakah sebenarnya teras hitam ini? Apakah peranannya pada sesebuah kabel?

Sebenarnya teras hitam ini adalah teras Ferritte. Teras Ferritte diperbuat daripada logam manganese-zinc ataupun logam nickel-zinc. Peranannya pada kabel adalah sebagai penapis isyarat hingar (noise). 

Secara ringkasnya, hingar adalah isyarat yang tidak dikehendaki yang membuatkan arus elektrik berada dalam keadaan turun naik secara rawak (tidak stabil). Arus elektrik yang dipengaruhi hingar boleh mengganggu fungsi sesebuah peralatan seperti bacaan sensor yang kurang tepat, bateri tidak dicas dengan sempurna, menjana haba tambahan pada komponen elektronik dan sebagainya. Hingar biasanya dihasilkan oleh gelombang elektromagnet seperti gelombang radio, gelombang telefon mudah alih, pancaran kilat, peralatan elektronik berfrekuensi tinggi dan sebagainya. Pada zaman ini, gelombang elektromagnet terdapat di mana-mana sahaja pada setiap masa, jadi gangguan hingar dalam kabel elektrik adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Oleh itu, teras Ferritte digunakan untuk menapis dan mengurangkan isyarat hingar.

Gambar di bawah menunjukkan contoh arus elektrik yang telah dipengaruhi oleh hingar, kemudian kesan hingar telah dikurangkan setelah ditapis oleh teras Ferritte.


Bagaimanakah teras Ferritte boleh mengurangkan kesan hingar pada isyarat elektrik? Agak sukar saya terangkan kerana konsepnya sama seperti litar elektronik yang terdapat komponen perintang, kapasitor dan gegelung yang memerlukan penjelasan yang panjang lebar. Malah penerangannya juga harus melibatkan persamaan matematik yang agak kompleks. 

Walaubagaimanapun secara analoginya, teras Ferritte boleh diibaratkan seperti tangki air, arus elektrik seperti bekalan air dari syarikat utiliti air dan gangguan hingar adalah seperti gangguan bekalan air. Sekiranya pili air dipasang sebelum tangki,  apabila berlaku gangguan bekalan air, maka air yang keluar dari pili juga akan terganggu. Tetapi sekiranya pili paip dipasang selepas tangki air, jika berlaku gangguan bekalan air dari syarikat utiliti air, air yang keluar dari pili air masih lagi berterusan selagi tangki air masih menyimpan air.

1 ulasan:

Carlos Santiago berkata...

satu info yg menarik

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...