Kipas Siling Kawalan Jauh Semakin Perlahan

September 21, 2013


Saya sering sahaja menerima email mengadu tentang masalah kipas siling kawalan jauh mereka yang bermasalah. Antara masalah yang sering diadukan adalah kipas tidak berpusing laju atau tidak berpusing langsung walaupun terdapat bunyi 'tit tit' apabila alat kawalan jauh ditekan. Masalah ini berlaku BIASANYA berpunca dari kerosakan kapasitor yang terdapat pada papan litar (PCB) dalam kipas tersebut.

Pada artikel lalu, saya ada menunjukkan lokasi kedudukan kapasitor bagi kipas siling biasa yang terletak pada bahagian atas kipas. Kipas siling biasa hanya memerlukan satu kapasitor sahaja untuk berfungsi. Tetapi untuk kipas siling kawalan jauh memerlukan beberapa buah kapasitor dan ia dipasang pada PCB di dalam kipas tersebut. 

Apabila anda menanggalkan kipas kawalan jauh yang bermasalah itu, anda akan menemui (PCB) seperti gambar di bawah ini. Pada PCB ini, terdapat dua jenis kapasitor, iaitu kapasitor 'start' dan kapasitor 'run', yang mana saiznya lebih besar daripada komponen elektronik yang lain yang ada pada PCB tersebut. Kapasitor 'start' BIASANYA berwarna hitam, manakala kapasitor 'run' pula BIASANYA berwarna kuning atau coklat. Sekiranya kapasitor tersebut berwarna lain, terpaksalah anda menggunakan kebijaksanan sendiri atau mendapatkan bantuan mereka yang mahir elektronik untuk mengecam kapasitor 'start' dan kapasitor 'run'.

Berdasarkan pengalaman saya, kapasitor 'start' yang sering menjadi punca kepada masalah kipas perlahan dan tidak berpusing. Sekiranya anda dapati kapasitor 'run' menggelembung, ganti juga kapasitor tesebut. Tanggalkan kapasitor dari PCB dan gantikan dengan yang baru. Pastikan kadar voltan kapasitor baru tersebut adalah lebih dari 400VAC dan mempunyai nilai Farad yang lebih kurang sama dengan yang asal. Selamat mencuba ;-)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...