Semalam (19 September 2013), Suruhanjaya Tenaga (ST) telah menguatkuasakan Akta Bekalan Elektrik 1994, Peraturan 36, No. 2 yang mewajibkan pemasangan RCCB dengan kepekaan 10 miliAmpere (10mA) pada setiap alat pemancur air panas [1, 2] . Tindakan ini dilakukan berikutan meningkatnya kes kematian akibat renjatan elektrik berpunca dari litar pintas yang berlaku pada alat pemancur air panas sejak kebelakangan ini. Pengguna di rumah yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda sehingga RM5000 [2].
RCCB (Residual Current Circuit Breaker) adalah peranti penting yang sering dipasang pada sistem pembekalan elektrik di dalam sesebuah premis bertujuan untuk mengelakkan renjatan elektrik yang boleh membawa kepada kematian. Sekiranya terdapat arus elektrik yang melalui badan manusia, RCCB akan mengesan keadaan ini dan secara automatik memutuskan bekalan elektrik. Pembaca yang berminat mengetahui info teknikal mengenai RCCB, bolehlah merujuk pada pautan ini.
Meskipun, RCCB telah dipasang pada papan agihan bekalan elektrik, tetapi ada kemungkinan RCCB tersebut gagal/lambat berfungsi apabila berlaku renjatan elektrik. Tambahan pula, RCCB di papan agihan biasanya tidak dapat mengesan arus renjatan elektrik yang kecil, malah lambakan peralatan elektronik kebelakangan yang kurang berkualiti (tiada mendapat persijilan dari agensi antarabangsa yang berkaitan) telah menyebabkan RCCB semakin kurang sentitif untuk mengesan renjatan elektrik [3]. Oleh itu, pemasangan RCCB tambahan berkepekaan tinggi diperlukan untuk mengesan kejadian renjatan elektrik yang disebabkan oleh litar pintas dari pemancur air panas.
RCCB tambahan ini hendaklah dipasang pada kabel bekalan kuasa pemancur air panas. RCCB berkepekaan 10mA hendaklah digunakan pada pemasangan ini. RCCB 10mA sepatutnya dipasang pada peralatan elektrik yang melibatkan air, tempat basah atau lembab dan tempat hiburan awam seperti pemancur air panas, pam air, lampu dalam air dan alat permainan di tempat hiburan awam [2]. RCCB 10mA juga direka untuk pemasangan pada alat biomedikal di hospital dan juga peralatan elektrik yang melibatkan pengunaaan oleh orang tua dan kanak-kanak/bayi [4] .
Kebanyakkan pemancur air panas yang dijual kini telah dilengkapi RCCB terbina dalam, jadi dengan pemasangan RCCB tambahan ini, bermakna terdapat 2 peringkat keselamatan untuk alat pemancur air panas. Sekiranya RCCB terbina dalam alat pemancur air panas gagal/lambat berfungsi memutuskan bekalan elektrik apabila renjatan elektrik berlaku, maka RCCB tambahan akan bertindak.
Kos pemasangan RCCB tambahan ini adalah sekitar RM300-500 bagi setiap alat pemancur air panas. Kepada yang mahir bertukang dan membuat pendawaian, anda boleh memasang sendiri dengan harga yang lebih murah. Contoh cadangan pendawaian RCCB tambahan pada pemancur air panas ditunjukkan pada gambarajah di bawah artikel ini. RCCB kepekaan 10mA sukar didapati di pasaran dan juga mahal; di laman web RS-Malaysia, RCCB jenis ini dijual pada harga RM250. Akan tetapi, dengan berkuatkuasakan peraturan ini, dijangka RCCB ini akan banyak dijual dan murah dalam jangkamasa terdekat ini.
Walaupun saya meragui keupayaan pihak ST pergi rumah ke rumah untuk memeriksa pemasangan RCCB tambahan ini, tetapi sekiranya terdapat kes kematian renjatan elektrik dari alat pemancur air panas akibat ketiadaan RCCB tambahan, ST mempunyai alasan yang kukuh untuk menghukum pihak yang terlibat. Kepada mereka yang mempunyai pemancur air panas di rumah, diharap dapat diusahakan pemasangan RCCB tambahan ini walaupun harganya mahal demi keselamatan keluarga. Diharap juga pihak ST dapat memberikan masa yang mencukupi kepada rakyat Malaysia untuk membuat pemasangan ini sebelum mengenakan denda kepada pengguna yang gagal mematuhi peraturan ini.
Walaupun saya meragui keupayaan pihak ST pergi rumah ke rumah untuk memeriksa pemasangan RCCB tambahan ini, tetapi sekiranya terdapat kes kematian renjatan elektrik dari alat pemancur air panas akibat ketiadaan RCCB tambahan, ST mempunyai alasan yang kukuh untuk menghukum pihak yang terlibat. Kepada mereka yang mempunyai pemancur air panas di rumah, diharap dapat diusahakan pemasangan RCCB tambahan ini walaupun harganya mahal demi keselamatan keluarga. Diharap juga pihak ST dapat memberikan masa yang mencukupi kepada rakyat Malaysia untuk membuat pemasangan ini sebelum mengenakan denda kepada pengguna yang gagal mematuhi peraturan ini.
Rujukan:
[2] Undang-undang Malaysia, "Akta Bekalan Elektrik - Peraturan-Peraturan Elektrik," 1994.
[3] Schneider Electric, "Electrical Installation Continuity of Supply: Protection against nuisance tripping and voltage surge," 2007.
[4] Electro-Technical Council of Ireland Limited, "Guide to the Selection & Use of Residual Current Devices," 2005.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan