Memaparkan catatan dengan label Elektrik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Elektrik. Papar semua catatan

Pemasangan RCCB Tambahan Untuk Pemancur Air Panas

September 20, 2013

0 komen

Semalam (19 September 2013), Suruhanjaya Tenaga (ST) telah menguatkuasakan Akta Bekalan Elektrik 1994, Peraturan 36, No. 2 yang mewajibkan pemasangan RCCB dengan kepekaan 10 miliAmpere (10mA) pada setiap alat pemancur air panas [1, 2] . Tindakan ini dilakukan berikutan meningkatnya kes kematian akibat renjatan elektrik berpunca dari litar pintas yang berlaku pada alat pemancur air panas sejak kebelakangan ini. Pengguna di rumah yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda sehingga RM5000 [2].

RCCB (Residual Current Circuit Breaker) adalah peranti penting yang sering dipasang pada sistem pembekalan elektrik di dalam sesebuah premis bertujuan untuk mengelakkan renjatan elektrik yang boleh membawa kepada kematian. Sekiranya terdapat arus elektrik yang melalui badan manusia, RCCB akan mengesan keadaan ini dan secara automatik memutuskan bekalan elektrik. Pembaca yang berminat mengetahui info teknikal mengenai RCCB, bolehlah merujuk pada pautan ini.

Meskipun, RCCB telah dipasang pada papan agihan bekalan elektrik, tetapi ada kemungkinan RCCB tersebut gagal/lambat berfungsi apabila berlaku renjatan elektrik. Tambahan pula, RCCB di papan agihan biasanya tidak dapat mengesan arus renjatan elektrik yang kecil, malah lambakan peralatan elektronik kebelakangan yang kurang berkualiti (tiada mendapat persijilan dari agensi antarabangsa yang berkaitan) telah menyebabkan RCCB semakin kurang sentitif untuk mengesan renjatan elektrik [3]. Oleh itu, pemasangan RCCB tambahan berkepekaan tinggi diperlukan untuk mengesan kejadian renjatan elektrik yang disebabkan oleh litar pintas dari pemancur air panas.

RCCB tambahan ini hendaklah dipasang pada kabel bekalan kuasa pemancur air panas. RCCB berkepekaan 10mA hendaklah digunakan pada pemasangan ini. RCCB 10mA sepatutnya dipasang pada peralatan elektrik yang melibatkan air, tempat basah atau lembab dan tempat hiburan awam seperti pemancur air panas, pam air, lampu dalam air dan alat permainan di tempat hiburan awam [2]. RCCB 10mA juga direka untuk pemasangan pada alat biomedikal di hospital dan juga peralatan elektrik yang melibatkan  pengunaaan oleh orang tua dan kanak-kanak/bayi [4] .

Kebanyakkan pemancur air panas yang dijual kini telah dilengkapi RCCB terbina dalam, jadi dengan pemasangan RCCB tambahan ini, bermakna terdapat 2 peringkat keselamatan untuk alat pemancur air panas. Sekiranya RCCB terbina dalam alat pemancur air panas gagal/lambat berfungsi memutuskan bekalan elektrik apabila renjatan elektrik berlaku, maka RCCB tambahan akan bertindak.

Kos pemasangan RCCB tambahan ini adalah sekitar RM300-500 bagi setiap alat pemancur air panas. Kepada yang mahir bertukang dan membuat pendawaian, anda boleh memasang sendiri dengan harga yang lebih murah. Contoh cadangan pendawaian RCCB tambahan pada pemancur air panas ditunjukkan pada gambarajah di bawah artikel ini. RCCB kepekaan 10mA sukar didapati di pasaran dan juga mahal; di laman web RS-Malaysia, RCCB jenis ini dijual pada harga RM250. Akan tetapi, dengan berkuatkuasakan peraturan ini, dijangka RCCB ini akan banyak dijual dan murah dalam jangkamasa terdekat ini.

Walaupun saya meragui keupayaan pihak ST pergi rumah ke rumah untuk memeriksa pemasangan RCCB tambahan ini, tetapi sekiranya terdapat kes kematian renjatan elektrik dari alat pemancur air panas akibat ketiadaan RCCB tambahan, ST mempunyai alasan yang kukuh untuk menghukum pihak yang terlibat. Kepada mereka yang mempunyai pemancur air panas di rumah, diharap dapat diusahakan pemasangan RCCB tambahan ini walaupun harganya mahal demi keselamatan keluarga. Diharap juga pihak ST dapat memberikan masa yang mencukupi kepada rakyat Malaysia untuk membuat pemasangan ini sebelum mengenakan denda kepada pengguna yang gagal mematuhi peraturan ini.


Rujukan:

[2] Undang-undang Malaysia, "Akta Bekalan Elektrik - Peraturan-Peraturan Elektrik," 1994.

[3] Schneider Electric, "Electrical Installation Continuity of Supply: Protection against nuisance tripping and voltage surge," 2007.

[4] Electro-Technical Council of Ireland Limited, "Guide to the Selection & Use of Residual Current Devices," 2005.

Teras Ferrite Pada Kabel

Februari 17, 2013

1 komen

Saya pasti ramai antara kita yang menyedari teras hitam yang terdapat pada kebanyakkan kabel audio visual ataupun pada kabel kuasa untuk gajet. Apakah sebenarnya teras hitam ini? Apakah peranannya pada sesebuah kabel?

Sebenarnya teras hitam ini adalah teras Ferritte. Teras Ferritte diperbuat daripada logam manganese-zinc ataupun logam nickel-zinc. Peranannya pada kabel adalah sebagai penapis isyarat hingar (noise). 

Secara ringkasnya, hingar adalah isyarat yang tidak dikehendaki yang membuatkan arus elektrik berada dalam keadaan turun naik secara rawak (tidak stabil). Arus elektrik yang dipengaruhi hingar boleh mengganggu fungsi sesebuah peralatan seperti bacaan sensor yang kurang tepat, bateri tidak dicas dengan sempurna, menjana haba tambahan pada komponen elektronik dan sebagainya. Hingar biasanya dihasilkan oleh gelombang elektromagnet seperti gelombang radio, gelombang telefon mudah alih, pancaran kilat, peralatan elektronik berfrekuensi tinggi dan sebagainya. Pada zaman ini, gelombang elektromagnet terdapat di mana-mana sahaja pada setiap masa, jadi gangguan hingar dalam kabel elektrik adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Oleh itu, teras Ferritte digunakan untuk menapis dan mengurangkan isyarat hingar.

Gambar di bawah menunjukkan contoh arus elektrik yang telah dipengaruhi oleh hingar, kemudian kesan hingar telah dikurangkan setelah ditapis oleh teras Ferritte.


Bagaimanakah teras Ferritte boleh mengurangkan kesan hingar pada isyarat elektrik? Agak sukar saya terangkan kerana konsepnya sama seperti litar elektronik yang terdapat komponen perintang, kapasitor dan gegelung yang memerlukan penjelasan yang panjang lebar. Malah penerangannya juga harus melibatkan persamaan matematik yang agak kompleks. 

Walaubagaimanapun secara analoginya, teras Ferritte boleh diibaratkan seperti tangki air, arus elektrik seperti bekalan air dari syarikat utiliti air dan gangguan hingar adalah seperti gangguan bekalan air. Sekiranya pili air dipasang sebelum tangki,  apabila berlaku gangguan bekalan air, maka air yang keluar dari pili juga akan terganggu. Tetapi sekiranya pili paip dipasang selepas tangki air, jika berlaku gangguan bekalan air dari syarikat utiliti air, air yang keluar dari pili air masih lagi berterusan selagi tangki air masih menyimpan air.

Menguji Fius Menggunakan Test Pen

7 komen

Anda ingin memeriksa sebuah fius untuk mengetahui samada ia berkeadaan baik atau tidak, tetapi pada masa yang sama anda tidak memiliki multimeter. Jangan putus asa, anda boleh memeriksa fius tersebut dengan menggunakan test pen.

Masukkan hujung test pen pada terminal live di soket plug. Hidupkan suis pada soket plug, kemudian sentuhkan hujung fius pada bontot test pen dan hujung fius yang lagi satu anda pegang dengan tangan anda sendiri (tanpa memakai sarung tangan). Sekiranya lampu pada test pen itu menyala, itu menunjukkan fius dalam berkeadaan baik. Jika lampu test pen tidak menyala, maka wayar dalam fius tersebut telah terputus.

Idea ini sangat berguna apabila kita mahu memeriksa fius yang badannya diperbuat daripada seramik, yang mana fius jenis ini kita tidak dapat keadaan dalam fius tersebut.

Menggunakan Peralatan Elektrik 120V di Malaysia

Jun 02, 2012

0 komen

Sekiranya anda mempunyai peralatan elektrik 120V, mungkin dibeli dari luar negara, anda tidak akan dapat menggunakan peralatan tersebut di Malaysia. Ini kerana selain bentuk plug yang tidak sepadan, voltan di Malaysia adalah 240V, sekiranya dipasang pada peralatan tersebut, peralatan tersebut pasti akan rosak.

Oleh itu anda perlu mendapatkan alat penukar voltan (voltage converter) 240V ke 120V. Sebelum anda membeli alat ini, anda perlu tahu kadar kuasa Watt yang digunakan oleh peralatan elektrik 120V tersebut. Nilai kadar kuasa tersebut boleh diperolehi pada label yang terdapat pada badan peralatan elektrik itu. 

Biasanya alat voltage converter yang dijual mempunyai keupayaan kuasa 50W, 65W, 100W, 150W, 200W, 300W, 500W, 750W, 1000W, 2000W dan 3000W. Semakin besar kuasanya, semakin besar saiz alat voltage converter ini. Sekiranya peralatan tersebut berkuasa 65W, anda perlu mendapatkan voltage converter 240V ke 120V berkuasa 100W. Sekiranya peralatan elektrik anda berkuasa 300W, anda perlu dapatkan alat voltage converter berkuasa 500W. Sekiranya peralatan elektrik anda berkuasa 760W, anda perlu dapatkan alat voltage converter berkuasa 1000W dan begitulah seterusnya. 

Alat voltage converter ini biasanya boleh didapati di kedai-kedai elektrik atau elektronik yang besar. Kepada sesiapa yang ada menjual alat voltage converter ini secara online di pasaran Malaysia, boleh iklankan pada ruang komen di bawah ini. Contoh alat voltage converter ditunjukkan pada gambar di bawah ini.


Kilat Di Dalam Rumah

Jun 01, 2012

0 komen

Ok. Kali ini masih lagi cerita tentang kilat. Arikel lalu telah diterangkan bagaimana panahan kilat terjadi dan juga bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Artikel kali ini adalah mengenai kejadian kilat di dalam rumah. Ya, kilat di dalam rumah. Walaupun ia jarang berlaku, tetapi kemungkinan untuk berlaku tetap ada. Bagaimana penahan kilat boleh terjadi dalam rumah pula?

Kilat bukan sahaja boleh berlaku di ruang langit, tetapi ia juga boleh terjadi di dalam rumah ataupun dalam peralatan elektrik. Agak jarang kilat memanah secara terus ke rumah kediaman kerana paras rumah biasanya lebih rendah daripada pokok, tiang elektrik, tangki air besar yang tinggi dan bangunan tinggi. Kilat biasanya akan ternyahcas (memancar) ke stuktur bangunan tinggi.

Kilat: RCCB Trip dan Peralatan Elektrik Rosak

Mei 15, 2012

0 komen

Kilat adalah fenomena alam semulajadi yang biasa berlaku di negara kita. Malah Malaysia tergolong antara 3 negara yang mempunyai aktiviti kilat tertinggi di dunia. Boleh dikatakan sentiasa sahaja berlaku kemalangan jiwa akibat panahan kilat di Malaysia. Pembaca yang berminat tentang kemalangan yang disebabkan kilat boleh merujuk di blog ini: http://kilatmalaysia.blogspot.com

Artikel lalu telah menerangkan tentang kejadian kilat dan alat perangkat kilat. Artikel kali ini pula akan menerangkan bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Pasti ramai yang menyedari apabila kilat memancar di kawasan rumah anda, RCCB di papan agihan elektrik di rumah anda pasti akan terpelantik (trip). Mengapakah RCCB boleh trip?

RCCB trip apabila kilat memancar, itu menunjukkan RCCB anda berfungsi. Apabila kilat memancar, ia akan memancarkan gelombang elektromagnet. Gelombang elektromagnet ini sama seperti gelombang radio, sinar x-ray atau gelombang microwave, ia tidak dapat dilihat tetapi boleh memberi kesan tertentu pada persekitaran. Gelombang elektromagnet yang dijana oleh kilat akan menyebabkan voltan bekalan elektrik naik mendadak (overvoltage) dalam masa yang singkat. Contohnya bekalan elektrik ke rumah anda adalah 240V, tetapi apabila kilat memancar, voltan elektrik di rumah anda akan naik mendadak secara tiba-tiba sehingga melebihi 1000V dalam sela masa beberapa mili saat (1 mili saat = 0.001 saat). Walaupun kejadian ini berlaku dalam masa yang sangat singkat, tetapi ia sudah cukup untuk merosakkan peralatan elektrik rumah anda.

Nasib baik sistem bekalan elektrik rumah kita dilengkapi dengan RCCB. Ia bukan sahaja melindungi anda dari renjatan elektrik, malah melindungi peralatan elektrik dari overvoltage. Apabila berlaku overvoltage disebabkan kilat, arus elektrik dalam rumah anda menjadi tidak stabil. Ketidakstabilan ini akan dikesan oleh RCCB dan seterusnya trip untuk memutuskan bekalan elektrik (Cara kerja RCCB boleh dibaca di artikel ini). Apabila bekalan elektrik diputuskan, kejadian overvoltage tidak 'sempat' berlaku dan peralatan elektrik di rumah anda akan selamat.

Walaubagaimanapun, ada sesetengah kes, ada juga peralatan elektrik yang rosak walaupun RCCB telah trip apabila kilat memancar. Kejadian ini boleh berlaku kerana RCCB lambat bertindak untuk memutuskan bekalan elektrik apabila berlaku overvoltage. Sekiranya perkara ini berlaku, ini menunjukkan RCCB tidak berfungsi dengan baik. Tidak perlulah tuding jari menyalahkan TNB bila perkara ini berlaku pada anda. Cepat-cepatlah cari wireman untuk gantikan RCCB anda dengan yang baru dan berkualiti. Panduan untuk anda apabila membeli RCCB: semakin mahal harga RCCB, makin berkualiti dan boleh dipercayai RCCB tersebut.

Soalan Lazim Mengenai Kerosakan Pada Kipas Angin

Mei 03, 2012

5 komen

Saya selalu mendapat email bertanyakan tentang masalah yang dihadapi pada kipas angin mereka. Soalan-soalan yang ditanya adalah berdasarkan artikel bertajuk 'Kipas Semakin Perlahan'. Berikut adalah himpunan soalan lazim yang sering ditanya berserta dengan jawapan.

Di mana saya boleh mendapatkan kapasitor kipas?
Kapasitor kipas boleh didapati di kedai elektrik yang ada membuat kerja pembaikan peralatan elektrik atau kedai yang menjual komponen elektronik.

Kipas siling rumah saya tiba-tiba sahaja berpusing terbalik, angin hembus ke atas. Kenapa boleh jadi macam itu?
Adakah kipas anda kipas siling biasa? Jika ya, itu menunjukkan kapasitor kipas mengalami kerosakan. Gantikan kapasitor itu dengan yang baru.
Sekiranya kipas kawalan jauh, mungkin anda telah mengaktifkan fungsi 'reverse rotation' pada kipas tersebut. Fungsi ini akan menyebabkan kipas berpusing terbalik dan fungsi ini berguna di negara yang mempunyai iklim sejuk. Sekiranya kipas anda tidak mempunyai fungsi seperti ini tetapi kipas berpusing terbalik, ini menunjukkan kapasitor kipas telah rosak.

Saya ada masalah dengan sebuah kipas siling yang menggunakan remote control. Pada kelajuan 1 atau 2, kipas berpusing sangat perlahan, tetapi pada kelajun 3, kipas berpusing dengan laju. Adakah kapasitor dalam kipas ini perlu diganti ?
Masalah sebegini menunjukkan terdapat kerosakan pada papan elektronik dalam kipas tersebut, bukannya pada kapasitor kipas. Dapatkan orang yang mahir membaiki papan elektronik untuk membaiki kipas anda.

Kawasan perumahan saya baru-baru ini mengalami over-voltage menyebabkan 2 biji kipas siling rumah saya tidak berfungsi. Adakah ia boleh dibaiki ?
Adakah kipas anda ini kipas siling biasa atau kipas siling remote control ? Sekiranya kipas siling biasa, cuba ganti regulator (alat pengawal kelajuan kipas) kepada yang baru.
Sekiranya anda menggunakan kipas siling remote control, papan elektronik dalam kipas tersebut telah rosak.  Dapatkan orang yang mahir membaiki papan elektronik untuk membaiki kipas anda.

Kipas meja saya berpusing perlahan walaupun  telah diset pada kelajuan maksimum. Kapasitor kipas telah diganti baru tetapi kipas tetap perlahan. Kenapa boleh jadi seperti itu ?
Dalam kipas terdapat 2 jenis gelung, gelung 'start' dan gelung 'run'. Kerosakan seperti ini menunjukkan gelung 'start' telah putus. Kipas anda perlu dihantar ke kedai 'motor rewinding'. Tetapi kos rewinding untuk kipas adalah tidak berbaloi kerana kosnya sama seperti membeli kipas baru. Lebih baik beli kipas baru.

Di manakah saya boleh mendapatkan khidmat membaiki kipas siling ?
Agak sukar kita mencari kedai yang membaiki kipas siling terutamanya kipas siling kawalan jauh. Ini kerana seseorang juruteknik perlu datang ke rumah anda, perlu panjat dan tanggalkan pemasangan kipas tersebut. Sekiranya perlu, kipas tersebut perlu ditanggalkan dan dibawa balik ke bengkel pembaikan. Kos untuk perkhidmatan sebegini adalah tidak berbaloi kerana kos pembaikan adalah hampir sama dengan pembelian kipas baru. Kadang-kadang kipas tidak dapat dibaiki (teruatamanya kipas siling kawalan jauh) kerana alat ganti pada papan elektronik tiada di pasaran.
Apa yang anda boleh buat, tanggalkan sendiri kipas siling anda yang rosak dan hantar ke kedai pembaikan alat elektrik atau elektronik. 
Sekiranya anda tahu kedai-kedai yang ada membuat pembaikan kipas di sekitar tempat tinggal anda, boleh beritahu di ruangan komen.

Fungsi Wayar Bumi Pada Lampu Kalimantang

1 komen

Soalan
Lampu kalimantang hanya memerlukan 2 wayar sahaja untuk menyala iaitu wayar hidup (live) dan wayar neutral. Tetapi saya selalu tertanya-tanya apakah fungsi wayar bumi (earth) yang berwarna hijau pada pendawaian lampu kalimantang. Saya selalu lihat wireman pasang wayar bumi pada mana-mana skru dalam lampu kalimantang ataupun hanya selitkan sahaja pada badan lampu. 



Jawapan
Pemasangan wayar bumi dalam lampu kalimantang adalah untuk keselamatan. 

Dalam pemasangan lampu kalimantang, ada kemungkinan wayar akan terputus atau penebat wayar tertanggal dan menyentuh badan lampu kalimantang. Badan lampu kalimantang biasanya diperbuat daripada besi. Jadi, apabila suis dihidupkan, badan lampu kalimantang akan menjadi 'live'. Apabila seseorang pegang badan lampu kalimantang pada ketika ini, dia akan terkena renjatan elektrik. 

Selain dari kemungkinan wayar terputus atau kerosakan penebat wayar, choke atau ballast dalam lampu kalimantang juga boleh menyebabkan badan lampu kalimantang menjadi 'live'. Ini boleh berlaku apabila penebat lilitan wayar dalam choke pecah, badan choke tersebut akan menjadi 'live'.Oleh kerana choke dipasang pada badan lampu kalimantang, ia juga akan menjadi 'live' dan orang yang memegang lampu kalimantang semasa suis dihidupkan akan terkene renjatan elektrik. 

Sekiranya wayar bumi dipasang, apabila badan lampu kalimantang menjadi 'live' kerana kerosakan penebat wayar atau kerosakan choke, arus elektrik akan mengalir melalui wayar bumi dan ini akan menyebabkan RCCB trip. Apabila RCCB trip, ini menunjukkan lampu kalimantang itu tidak selamat dan tindakan pembaikan perlu dilakukan. 

Suis Bomba (Fireman Switch)

Mac 15, 2012

0 komen

Pasti ramai yang selalu ternampak alat ini di pintu masuk pejabat ataupun di tangga kecemasan. Apakah sebenarnya alat ini ?

Alat ini ialah dipanggil suis bomba (fireman switch). Alat ini membolehkah pihak bomba memutuskan bekalan elektrik ke sesuatu tempat sebelum melakukan kerja memadam kebakaran. 

Alat ini bersambung dengan sistem agihan bekalan elektrik dalam bangunan, secara spesifiknya, alat ini disambungkan pada MCCB. Rujuk sini untuk mengetahui bagaimana alat ini disambungkan ke sistem agihan bekalan elektrik.

Pada sebelah tepi (biasanya sebelah kiri), terdapat tuil yang boleh ditarik ke bawah menggunakan tangan. Apabila tuil itu diturunkan, bekalan elektrik ke tempat tertentu akan terputus.

Panduan Merekabentuk Pendawaian Elektrik Di Rumah

Februari 02, 2012

34 komen

Artikel ini menerangkan tentang panduan merekabentuk sistem pendawaian elektrik di rumah yang biasa diamalkan oleh juruelektrik di Malaysia. Sebenarnya tiada pengiraan khusus untuk menentukan saiz wayar, MCB, RCCB dan bilangan mata kuasa memandangkan kita tidak mengetahui berapa banyak beban yang akan digunakan oleh pengguna di rumah. Walaubagaimanapun, sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai IEEE (Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik) telah menyediakan garis panduan untuk rekabentuk pendawaian elektrik ini.

Pendawaian elektrik rumah bermula daripada papan agihan atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut Distribution Board (DB). Papan agihan terdiri daripada suis utama, RCCB dan MCB. Baca sini untuk mengetahui secara umum tentang papan agihan.  Pendawaian elektrik akan diagihkan ke dalam rumah melalui MCB.

Teknologi Pencahayaan

Januari 16, 2012

0 komen

Cahaya adalah sejenis tenaga dalam bentuk radiasi elektromagnet yang boleh dilihat oleh mata manusia. Ia mempunyai panjang gelombang dalam julat 380 nanometer hingga 780 nanomenter (nm) dengan julat frekuensi  405 TeraHertz sehingga  790 TeraHertz (THz). Dalam spektrum frekuensi gelombang elektromagnet, cahaya boleh nampak terletak di antara gelombang ultraungu dan gelombang infra merah.

Gambar 1: Spektrum elektromagnet

Cahaya bergerak secara lurus dan sangat laju. Dalam vakum, cahaya bergerak selaju 300,000 kilometers per saat. Pergerakan cahaya akan terpesong dan kelajuannya berkurangan apabila melalui media berlainan seperti air atau gas. Terdapat dua jenis punca cahaya iaitu sumber cahaya semula jadi dan sumber cahaya buatan. Matahari dan api adalah contoh sumber cahaya semula jadi manakala pelbagai lampu elektrik yang dicipta oleh manusia adalah sumber cahaya buatan.

Teknologi Fuzzy Logic

Januari 14, 2012

1 komen

Apabila anda pergi ke kedai menjual peralatan elektrik untuk meninjau mesin basuh dan pemasak nasi (rice cooker), anda pasti akan terjumpa perkataan 'Fuzzy Logic' pada mesin basuh dan rice cooker yang agak mahal. Apakah itu 'Fuzzy Logic' ? Apakah yang kelebihan peralatan yang menggunakan teknologi fuzzy logic berbanding dengan peralatan elektrik yang biasa?

Teknologi fuzzy logic diasaskan oleh saintis Russia bernama Loffi Zadeh pada 1965. Teknologi ini dicipta dengan meniru cara manusia membuat keputusan. Contohnya keputusan yang anda buat semasa mengipas diri anda dengan menggunakan kipas kertas.

Apabila badan anda berasa sangat panas, anda akan mengipas dengan laju. Sekiranya badan anda berasa agak panas, anda akan mengipas dengan agak laju. Sekiranya anda berasa sejuk, anda akan mengipas dengan perlahan. Sekiranya anda berasa sangat sejuk, anda akan mengipas dengan sangat perlahan atau berhenti. Keputusan yang anda buat untuk kelajuan kipas berdasarkan suhu yang dirasai oleh badan anda adalah yang dikatakan fuzzy logic

Apabila teknologi fuzzy logic diaplikasikan pada kipas angin sebagai contoh, kipas angin akan berfungsi seperti berikut: 
  • Jika suhu persekitaran SANGAT PANAS, kipas berpusing SANGAT LAJU
  • Jika suhu persekitaran PANAS, kipas berpusing LAJU
  • Jika suhu persekitaran AGAK PANAS, kipas berpusing AGAK LAJU
  • Jika suhu persekitaran SEJUK, kipas berpusing PERLAHAN
  • Jika suhu persekitaran SANGAT SEJUK, kipas berpusing SANGAT PERLAHAN atau BERHENTI
Peraturan di atas ini akan diterjemahkan dalam persamaan matematik dan kemudiaan diprogramkan dalam microprocessor yang mengawal kipas angin tersebut. Untuk menukarkan peraturan di atas kepada persamaan matematik, anda perlu mengetahui bab matematik teori kebarangkalian dan operasi logic gate (operasi gate OR, XOR, AND dan sebagainya).

Mesin basuh yang menggunakan teknologi fuzzy logic akan membuat keputusan sendiri masa yang diperlukan untuk membasuh dan mengeringkan baju. Anda tidak perlu menetapkan masa membasuh dan mengeringkan baju seperti mesin basuh kenvensional. Baju yang dibasuh akan lebih bersih dan lebih kering apabila dikeluarkan dari mesin basuh.

Rice cooker fuzzy logic pula akan membuat keputusan sendiri tahap kepanasan yang diperlukan untuk memasak nasi. Walaupun nasi akan lambat masak berbanding rice cooker konvensional, tetapi nasi akan nampak lebih cantik dan kurang penghasilan kerak pada bahagian dalam periuk. Malah anda boleh memasak atau mengukus sup, sayuran dan pelbagai jenis masakan apabila menggunakan rice cooker fuzzy logic ini. 

Terdapat juga peralatan elektrik yang menggunakan teknologi fuzzy logic selain mesin basuh dan rice cooker, contohnya seperti peti sejuk dan vacuum cleaner tetapi ia agak sukar didapati di pasaran Malaysia. Walaupun agak mahal, peralatan elektrik yang menggunakan teknologi fuzzy logic ini berfungsi dengan sangat cekap dan menjimatkan tenaga elektrik. 

Info #1: Lampu Jalan

Disember 05, 2011

0 komen

Mengapakah lampu jalan selalunya mengeluarkan cahaya kuning?

Jawapan: Jenis lampu jalan yang sering digunakan adalah lampu sodium bertekanan rendah (low pressure sodium). Lampu ini sangat jimat tenaga berbanding lampu jenis lain (seperti lampu kalimantang, lampu pijar, metal halide, dll). Malah ia juga mempunyai jangkahayat yang panjang iaitu sehingga 20,000 jam. Penggunaan lampu jenis lain akan meningkatkan beban kewangan pada kerajaan membayar bil elektrik untuk lampu jalan.

Walaupun sangat jimat elektrik dan jangkahayat yang panjang, tetapi kelemahannya, lampu ini hanya boleh mengeluarkan cahaya kuning sahaja. Tetapi ia bukanlah masalah besar memandangkan tujuan lampu jalan hanyalah untuk menerangi jalan sahaja.

Terkena Renjatan Apabila Menyentuh Peralatan Eletrik

Oktober 29, 2011

0 komen

Soalan
Saya dapati kini dalam rumah saya, apabila saya menyentuh badan besi peralatan elektrik seperti mesin basuh, mesin jahit, oven atau casing komputer, saya sering sahaja terkena renjatan elektrik. Apabila saya sentuhkan test pen pada badan peralatan elektrik tersebut, lampu  pada test pen akan menyala.

Mengapakah berlaku masalah demikian? Adakah ia berbahaya? Bagaimana untuk membaiki masalah ini?

Jawapan
Keadaan ini adalah berbahaya, sekiranya anda terkena renjatan elektrik dan arus yang melalui badan anda melebihi 0.03A, ini boleh menyebabkan kematian. Anda perlu membaiki masalah ini secepat mungkin. 

Masalah di atas menunjukkan telah berlaku litar pintas di antara wayar hidup (live) dan bumi. Litar pintas ini berlaku samada pada sistem pendawaian elektrik rumah anda ataupun di dalam peralatan elektrik.

Sepatutnya apabila berlaku litar pintas antara wayar hidup dan bumi, ELCB yang terdapat pada papan agihan elektrik akan menendang (trip) untuk memutuskan bekalan elektrik. Tetapi sekiranya ELCB tidak trip, anda akan mengalami masalah sering terkena renjatan elektrik apabila menyentuh peralatan elektrik. 

ELCB yang tidak trip apabila masalah ini berlaku menunjukkan ELCB anda telah rosak. Anda perlu mendapatkan khidmat juruelektrik untuk menukar ELCB kepada yang baru. Setelah ELCB ditukar, kerja mencari tempat berlaku litar pintas dan kerja pembaikan perlu dijalankan. 

Ada orang yang menyelesaikan masalah ini dengan menanggalkan sambungan wayar bumi di dalam soket plug atau kepala plug peralatan elektrik tersebut. Cara ini memang boleh menyelesaikan masalah renjatan elektrik pada peralatan elektrik tersebut, tetapi sekiranya berlaku litar pintas dalam peralatan elektrik tersebut, anda akan terkena renjatan elektrik juga. Malah ada peralatan elektrik atau elektronik seperti yang memerlukan wayar bumi untuk menyingkirkan gangguan elektromagnetik dan hingar. Menanggalkan wayar bumi pada peralatan ini akan membuatkan ia mudah rosak atau mengganggu fungsi peralatan elektrik tersebut.

Oleh itu, cara yang terbaik adalah gantikan ELCB dengan yang baru, kenalpasti tempat berlaku litar pintas dan baikinya.

Analogi Mudah Memahami Perbezaan Voltan Dan Arus

Oktober 04, 2011

1 komen

Secara asasnya, voltan berkadar langsung dengan arus. Apabila nilai voltan meningkat, maka nilai arus pun turut meningkat pada satu-satu nilai rintangan. Ini adalah Hukum Ohm, V=IR.


Saya cuba analogikan voltan dan arus dengan pergerakan air dalam paip.
  • Voltan: tekanan air dalam paip
  • Arus: aliran air dalam paip
  • Rintangan: tahap pembukaan pili air (jika pili air dibuka besar,semakin mudah air keluar dari pili, jika  pili paip dibuka kecil, air agak sukar keluar dari pili)

Contoh:
Apabila kita buka pili air pada tahap maksimum, sekiranya tekanan air tinggi, maka air akan keluar dengan laju, sekiranya tekanan air rendah, maka air yg keluar dari pili adalah perlahan walaupun pili air sudah dibuka maksimum.

Sekiranya tekanan air dalam paip tinggi, tetapi pili air dibuka sedikit sahaja, maka aliran air yang keluar pun perlahan. Jika tekanan air rendah, pili air dibuka sedikit sahaja, lagilah perlahan air yang keluar.

Sama kesnya seperti voltan dan arus, sekiranya voltan tinggi dibekalkan pada rintangan rendah, maka arus akan menjadi tinggi. Jika voltan tinggi dibekalkan pada rintangan tinggi, maka arus akan menjadi rendah.

Warna Cahaya Lampu Kalimantang

September 06, 2011

2 komen

Dalam pasaran domestik (untuk kegunaan rumah), terdapat tiga jenis lampu kalimantang (tidak kira jenis pendek, panjang, berbentuk bulat atau kompak) yang biasa dijual iaitu:

       •   Warm White
       •   Cool White (atau Neutral White)
          Daylight (atau Cool Daylight)


Warm While, Cool White dan Cool Daylight adalah merujuk kepada jenis warna yang dikeluarkan oleh lampu kalimantang tersebut. 

Warna Warm White adalah warna putih dengan sedikit kuning atau kemerah-merahan, warna Cool White  pula adalah warna putih biasa manakala warna Daylight adalah warna putih kebiru-biruan. Oleh itu, sebelum anda membeli lampu kalimantang, pastikan dulu jenis cahaya yang dikeluarkan oleh lampu tersebut. 

Lampu kalimantang Warm White digunakan untuk mewujudkan persekitaran santai, sesuai digunakan di dapur, bilik tidur, bilik air atau ruang rehat. Lampu Cool White pula sesuai untuk lampu meja, perpustakaan, pejabat, ruang untuk membaca buku atau surat khabar, manakala lampu Daylight adalah untuk mewujudkan persekitaran jelas dan aktif seperti di bengkel atau ruang bekerja. Penggunaan lampu Daylight di bengkel akan meningkatkan penumpuan seseorang semasa menggunakan mesin dan peralatan pertukangan.

Terdapat satu lagi parameter penting berkaitan dengan lampu kalimantang ini iaitu Color Rendering Index (CRI - Indeks Penyebaran Warna). Indeks penyebaran warna adalah keupayaan cahaya lampu menyerlahkan warna sebenar sesuatu objek. Ia diukur dalam skala 0 hingga 100, di mana indeks 100 adalah pengecaman warna pada cahaya matahari. Sebagai contoh, sebuah objek berwarna merah dan biru, apabila disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang rendah, warna sebenar objek tersebut sukar dicam. Sebaliknya jika disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi, maka objek tersebut dengan jelas berwarna merah dan biru. 

Sekiranya anda mahu menjadikan makanan yang dihidangkan di meja makan nampak menarik dan sedap, gunakan lampu Warm White yang mempunyai indeks penyebaran yang tinggi (melebihi 80). Sebab itulah lampu jenis ini sering digunakan pada tempat hidangan makanan di restoran ataupun kedai makan. Jika anda mahu menyerlahkan warna dan kecantikan hiasan langsir dan hiasan anda di ruang tamu, gunakan lampu kalimantang Cool White yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi.

Lampu kalimantang yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi sangat sesuai dipasang di meja solek untuk kerja-kerja menyolek atau andaman dan juga untuk sesi penggambaran di dalam rumah. Gambar di bawah ini menunjukkan contoh kesan warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna terhadap penyerlahan warna sesuatu objek.


Jenis warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna boleh diketahui pada kotak pembungkusan tiub kalimantang. Perkataan Warm White, Cool White dan Daylight biasanya ada tertulis jelas pada kotak pembungkusan tersebut. Untuk mengetahui indeks penyebaran warna pula, anda perlu merujuk pada nombor model lampu tersebut. 


Gambarajah di atas adalah contoh kotak pembungkusan lampu kalimantang. Secara jelas anda akan nampak perkataan 'Cool Daylight'. Perkataan 36W menunjukkan ini adalah lampu kalimantang panjang. Perkataan 'TL-D 36W/865' adalah nombor model lampu kalimantang tersebut. Nombor model lampu juga ada tertera pada tiub kalimantang itu sendiri. Nombor 865 adalah kod warna untuk lampu tersebut. '865'  bermaksud lampu ini mengeluarkan cahaya 'Cool Daylight' dengan indeks penyebaran warna lebih kurang 85. Rujuk jadual di bawah tentang kod warna tersebut.

Kod warna
Warna
Indeks Penyebaran Warna
29
Warm White
50 - 70
727
29-727
33
Cool White
50 - 70
740
33-740
54
Daylight
50 - 70
765
54-765
827
Warm White
85
830
840
Cool White
85
841
860
Daylight
85
865
927
Warm White
95
941
Cool White
95
940
950
Daylight
95
965

Helaian Berinformasi #8: Fungsi Induktor

Julai 30, 2011

0 komen

Induktor atau gegelung adalah wayar atau konduktor elektrik yang dililit dalam bentuk silinder atau bulatan. Ia banyak digunakan dalam litar elektronik dan elektrik sebagai penapis, pengayun dan penukar arus DC ke DC.

Helaian ini menunjukkan bagaimana induktor berfungsi sebagai litar penapis dan penukar arus DC ke DC.  Klik pautan di bawah untuk muaturun.

Lampu Downlight Jenis Skru Selalu Rosak

Julai 26, 2011

7 komen

Soalan:
Rumah saya menggunakan lampu downlight jenis skru, tetapi prestasinya amat mengecewakan. Walaupun saya menggunakan lampu jenama Philips, tetapi tidak sampai 3 bulan, 10 daripada 23 mentol lampu sudah terbakar. 

Saya juga sudah tukar kepada jenama lain, tetapi sama juga masalahnya. Sekarang ini saya sudah tukar lampu downlight jenis cucuk (plug in) dengan magnetic ballast di luar. Nampaknya sudah 4 bulan lampu masih OK dan tidak berkelip-kelip. Bolehkah bagi pandangan mengenai masalah downlight ini ? 

Jawapan:
Lampu downlight jenis skru yang anda maksudkan itu adalah lampu kalimantang kompak dengan ballast terbina dalam (self ballasted compact fluorescent lamp). Lampu ini mampu bertahan sehingga 10,000 jam sekiranya ia mendapat voltan elektrik yang 'bersih' (kurang mengalami herotan).

Lampu jenis ini tidak digalakkan digunakan dalam kuantiti yang banyak dalam sesebuah premis. Ini kerana lampu ini akan menjana arus harmonik dan sekiranya lampu ini banyak digunakan, ia akan menyebabkan tenaga elektrik dalam rumah anda mengalami herotan (distortion). Rujuk gambarajah di bawah. Kesan herotan ini akan bertambah buruk sekiranya terdapat peralatan elektronik yang berkualiti rendah dan murah sedang beroperasi pada masa yang sama. Selain itu, sekiranya rumah anda berhampiran dengan kawasan perindustrian, penggunaan mesin-mesin elektrik yang terdapat dalam kilang juga boleh menyumbang herotan pada bekalan elektrik rumah anda.

Kesan herotan inilah yang menyebabkan lampu jenis ini sering rosak. Bekalan elektrik yang terherot juga memberi kesan kepada peralatan elektrik yang menggunakan motor dan transformer seperti peti sejuk, mesin basuh, aircond, kipas, adapter laptop, televisyen dan sebagainya. Ia akan menyebabkan motor atau transformer lebih panas dan ini akan memendekkan jangkahayatnya.

Pihak pengilang boleh sahaja merekabentuk lampu ini supaya kurang membebaskan harmonik, tetapi saiz lampu akan menjadi lebih besar dan juga lebih mahal.

Oleh itu, lampu downlight jenis skru ini tidak boleh digunakan dalam sesebuah rumah dalam kuantiti yang banyak, bolehlah sekadar 1 atau 2 unit sahaja. Untuk situasi rumah anda ini, penggunaan downlight dengan magnetic ballast di luar adalah penyelesaian terbaik kerana ia tidak menjana arus harmonik, juga tidak sentitif terhadap kesan herotan bekalan elektrik.

Penggunaan tenaga elektrik akan meningkat sedikit berbanding penggunaan lampu downlight jenis skru disebabkan tenaga haba yang terjana pada magnetic ballast tersebut, tetapi ia menjanjikan jangkahayat yang lebih lama.

Atau boleh juga cuba lampu LED jenis skru jika anda tidak memerlukan cahaya yang terang. Tetapi penjualan lampu LED masih belum meluas, tetapi jika berminat boleh didapati secara online di lelong.com.my.

Lampu LED tidak menjana arus harmonik dan juga tidak sentitif kepada kesan herotan bekalan elektrik. Jangkahayat lampu LED boleh mencapai sehingga 30,000 jam.

Perlukah Naiktaraf Kepada Pendawaian Tiga Fasa ?

2 komen

Soalan:
Rumah saya sekarang ini sedang renovated (rumah teres dua tingkat). Sebelum ini rumah saya menggunakan sistem pendawaian satu fasa dan penggunaan semasa adalah 3 unit aircond, 1 cloth dryer selain kelengkapan rumah yang biasa seperti lampu, kipas, televisyen dan sebagainya. 

Selepas renovate, disebabkan pertambahan bilik saya bercadang untuk tambah aircond pada bilik tersebut selain di ruang tamu. Selepas ini jumlah aircond adalah 5 unit. Saya bimbang kalau semua perkakas elektrik ini digunakan serentak akan berlaku trip, jadi saya bercadang untuk naiktaraf dari pendawaian satu fasa kepada tiga fasa.

Tetapi kontraktor mengatakan tidak perlu tukar kepada pendawaian tiga fasa, hanya perlu buat dua DB (distribution board - papan agihan) secara berasingan dalam satu rumah, tingkat atas dan tingkat bawah.

Saya nak minta pandangan, bolehkah berbuat demikian? Adakah selamat buat dua DB dalam satu rumah? Bagaimana dengan bil? Adakah lebih mahal? Boleh terangkan perbezaan sistem pendawaian tiga fasa dengan pendawian dua DB yang dicadangkan oleh kontraktor tersebut? 

Jawapan:
Kontraktor tersebut betul, sekiranya anda mahu terus menggunakan pendawaian satu fasa, perlu buat dua DB berasingan. Sebenarnya, boleh sahaja guna satu DB sahaja, tetapi untuk memudahkan kerja troubleshooting dan pembaikan pada masa hadapan, lebih baik guna dua DB berasingan.

Berdasarkan maklumat yang diberi, saya anggarkan arus elektrik rumah anda untuk penggunaan maksimum tidak melebihi 60A. Ini adalah cukup ditampung oleh pendawaian satu fasa. Arus maksimum yang mampu ditampung untuk pendawaian satu fasa biasanya adalah 80A. Sekiranya kontraktor menggunakan kadaran (rating) DB yang betul, kejadian trip tidak sepatutnya berlaku. 

Walaubagaimanapun, ketika penggunaaan maksimum, anda mungkin akan merasa ketidakstabilan voltan. Contohnya, apabila anda menghidupkan aircond, mungkin lampu akan menjadi sedikit malap selama beberapa saat. Itu adalah perkara biasa.

Sebenarnya, untuk situasi rumah anda ini, TNB sangat menggalakkan anda menukar kepada pendawaian tiga fasa. Penggunaan pendawaian satu fasa untuk situasi rumah anda akan membuatkan beban transformer di stesen pencawang menjadi tidak seimbang, juga meningkatkan kebarangkalian berlaku kerosakan kabel dan kejadian trip di stesen pencawang. Semua ini akan meningkatkan kos penyelenggaraan kepada TNB. 

Tentang bil elektrik, tarif satu fasa dan tiga fasa untuk rumah adalah sama. Sepatutnya kos bil elektrik adalah sama tidak kira anda menggunakan satu fasa atau tiga fasa. Ada yang mendakwa bil elektrik lebih jimat jika menggunakan pendawaian tiga fasa, tetapi secara matematiknya penjimatan tidak berlaku sekiranya bekalan elektrik dari TNB adalah 'bersih' (kurang mengalami herotan (distortion)).

Terpulanglah kepada anda samada anda mahu untuk menaiktaraf kepada pendawaian tiga fasa atau tidak. Kerja menaiktaraf ini memerlukan kos tambahan lebih kurang RM3000 kalau tidak silap saya. TNB ada menjalankan promosi diskaun 50% untuk naiktaraf ini, tetapi saya tidak pasti  samada promosi tersebut masih berlangsung atau tidak. Boleh tanya kepada TNB sendiri untuk maklumat lanjut.

Nota: TNB menggalakkan pendawaian elektrik sesebuah rumah dinaiktaraf kepada sistem tiga fasa sekiranya bil elektrik bulanan melebihi RM300 atau penggunaan arus elektrik melebihi 50A. 

Electronic Ballast Untuk Lampu Kalimantang: Beza Antara Yang Murah Dan Yang Mahal

Julai 17, 2011

2 komen

Soalan
Saya bercadang untuk memasang electronic ballast pada sebuah lampu kalimantang di rumah saya. Tapi, apabila saya pegi ke kedai elektrik, penjual tersebut menyatakan terdapat electronic ballast yang murah dan yang mahal. Harga ballast murah adalah sekitar RM10, manakala ballast mahal sekitar RM30. Apakah beza antara kedua2 versi electronic ballast ini?

Jawapan
Penggunaan electronic ballast menggantikan magnetic ballast untuk lampu kalimantang amat digalakkan kerana ia boleh menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 40%. Malah penggunaan electronic ballast akan memanjangkan jangkahayat tiub lampu kalimantang.

Memang benar, terdapat dua versi electronic ballast yang terdapat di pasaran iaitu versi murah dan mahal. Perbezaan kedua2 versi ini berkait rapat dengan parameter faktor kuasa dan THD (Total Harmonic Distortation). 

Nilai faktor kuasa adalah dari 0 hingga 1. Faktor kuasa yang rendah (kurang 0.5) akan meningkatkan arus elektrik ke lampu kalimantang dan juga akan merendahkan voltan yang dibekalkan. Ini akan memendekkan jangkahayat pendawaian lampu kalimantang dan mungkin menganggu fungsi peralatan elektrik yang lain akibat kejatuhan voltan.

THD pula adalah ukuran voltan elektrik mengalami herotan . Nilai THD pada nilai 0 menunjukkan bekalan elektrik tidak mengalami herotan. Electronic ballast yang baik mempunyai nilai THD kurang dari 0.25. Nilai THD yang tinggi akan membuatkan bekalan elektrik dalam rumah anda mengalami herotan (distortation). Ini akan memberi kesan buruk pada peralatan elektrik yang menggunakan transformer dan motor seperti mesin pengimpal, mesin basuh, kipas elektrik dan juga sebagainya. Kesan buruk yang dimaksudkan adalah: gelung pada motor atau transformer akan menjadi lebih panas dan ini akan membuatkan motor atau transformer cepat rosak. Bekalan elektrik yang terherot juga boleh merosakkan peralatan elektronik yang mempunyai tidak sistem penapis herotan yang baik.


Electronic ballast versi mahal mempunyai faktor kuasa melebihi 0.95 dan dilengkapi dengan litar penapis voltan/arus harmonik. Dengan adanya litar penapis ini, ia tidak akan meninggikan nilai THD pada sistem pembekalan elektrik. Electronic ballast versi mahal menggunakan komponen elektronik berkualiti tinggi dan juga tidak memberi kesan buruk pada pendawaian lampu kalimantang dan juga peralatan elektrik yang lain.

Electronic ballast versi murah biasanya mempunyai faktor kuasa sekitar 0.6 dan ia juga akan menjana arus hormonik yang akan meninggikan nilai THD pada sistem pembekalan elektrik. Walaubagaimanapun, ia tetap menawarkan penjimatan tenaga elektrik pada lampu kalimantang. Sebenarnya, penggunaan lampu electronic ballast versi murah tidak memberi kesan buruk yang ketara kepada pendawaian lampu kalimantang dan peralatan yang lain sekiranya terdapat hanya terdapat 2 atau 3 unit electronic ballast di rumah anda. Tetapi sekiranya penggunaan electronic ballast versi murah ini digunakan secara meluas pada setiap premis, penggunaannya perlu diharamkan oleh kerajaan.

Sekiranya anda berminat untuk membeli electronic ballast secara online, klik pautan di bawah ini.

Versi mahal (Philips)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...