Memaparkan catatan dengan label DIY. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DIY. Papar semua catatan

Menguji Fius Menggunakan Test Pen

Februari 17, 2013

7 komen

Anda ingin memeriksa sebuah fius untuk mengetahui samada ia berkeadaan baik atau tidak, tetapi pada masa yang sama anda tidak memiliki multimeter. Jangan putus asa, anda boleh memeriksa fius tersebut dengan menggunakan test pen.

Masukkan hujung test pen pada terminal live di soket plug. Hidupkan suis pada soket plug, kemudian sentuhkan hujung fius pada bontot test pen dan hujung fius yang lagi satu anda pegang dengan tangan anda sendiri (tanpa memakai sarung tangan). Sekiranya lampu pada test pen itu menyala, itu menunjukkan fius dalam berkeadaan baik. Jika lampu test pen tidak menyala, maka wayar dalam fius tersebut telah terputus.

Idea ini sangat berguna apabila kita mahu memeriksa fius yang badannya diperbuat daripada seramik, yang mana fius jenis ini kita tidak dapat keadaan dalam fius tersebut.

Fungsi Wayar Bumi Pada Lampu Kalimantang

Mei 03, 2012

1 komen

Soalan
Lampu kalimantang hanya memerlukan 2 wayar sahaja untuk menyala iaitu wayar hidup (live) dan wayar neutral. Tetapi saya selalu tertanya-tanya apakah fungsi wayar bumi (earth) yang berwarna hijau pada pendawaian lampu kalimantang. Saya selalu lihat wireman pasang wayar bumi pada mana-mana skru dalam lampu kalimantang ataupun hanya selitkan sahaja pada badan lampu. 



Jawapan
Pemasangan wayar bumi dalam lampu kalimantang adalah untuk keselamatan. 

Dalam pemasangan lampu kalimantang, ada kemungkinan wayar akan terputus atau penebat wayar tertanggal dan menyentuh badan lampu kalimantang. Badan lampu kalimantang biasanya diperbuat daripada besi. Jadi, apabila suis dihidupkan, badan lampu kalimantang akan menjadi 'live'. Apabila seseorang pegang badan lampu kalimantang pada ketika ini, dia akan terkena renjatan elektrik. 

Selain dari kemungkinan wayar terputus atau kerosakan penebat wayar, choke atau ballast dalam lampu kalimantang juga boleh menyebabkan badan lampu kalimantang menjadi 'live'. Ini boleh berlaku apabila penebat lilitan wayar dalam choke pecah, badan choke tersebut akan menjadi 'live'.Oleh kerana choke dipasang pada badan lampu kalimantang, ia juga akan menjadi 'live' dan orang yang memegang lampu kalimantang semasa suis dihidupkan akan terkene renjatan elektrik. 

Sekiranya wayar bumi dipasang, apabila badan lampu kalimantang menjadi 'live' kerana kerosakan penebat wayar atau kerosakan choke, arus elektrik akan mengalir melalui wayar bumi dan ini akan menyebabkan RCCB trip. Apabila RCCB trip, ini menunjukkan lampu kalimantang itu tidak selamat dan tindakan pembaikan perlu dilakukan. 

Panduan Merekabentuk Pendawaian Elektrik Di Rumah

Februari 02, 2012

34 komen

Artikel ini menerangkan tentang panduan merekabentuk sistem pendawaian elektrik di rumah yang biasa diamalkan oleh juruelektrik di Malaysia. Sebenarnya tiada pengiraan khusus untuk menentukan saiz wayar, MCB, RCCB dan bilangan mata kuasa memandangkan kita tidak mengetahui berapa banyak beban yang akan digunakan oleh pengguna di rumah. Walaubagaimanapun, sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai IEEE (Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik) telah menyediakan garis panduan untuk rekabentuk pendawaian elektrik ini.

Pendawaian elektrik rumah bermula daripada papan agihan atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut Distribution Board (DB). Papan agihan terdiri daripada suis utama, RCCB dan MCB. Baca sini untuk mengetahui secara umum tentang papan agihan.  Pendawaian elektrik akan diagihkan ke dalam rumah melalui MCB.

Menghalang Pintu Gate Dari Bergerak Ditolak Angin

Januari 14, 2012

1 komen



Idea untuk menghalang pintu gate rumah teres anda dari bergerak ditiup angin. Penyangkuk dipasang pada tembok yang telah digerudi.

Klik pada gambar untuk besarkan.







Memasang Pili Mesin Basuh Pada Paip Sinki Dapur

1 komen

Idea untuk memasang pili mesin basuh pada paip sinki jenis gooseneck (jenis wall mounted). Klik pada gambar untuk besarkan.

Perkakasan yang diperlukan adalah (dibeli di kedai hardware) :
      •   GI nipple ½"
      •   GI Tee ½"
      •   Pili untuk mesin basuh
      •   Tape putih

Dengan menggunakan spanar boleh laras (adjustable spannar) dan tape putih, pasang perkakasan di atas mengikut gambar di atas ini.

* GI - Galvanised Iron (Besi Bergalvani)
   ½" - setengah inci

Angin Dalam Paip Air

Disember 31, 2011

1 komen

Soalan
Atas siling rumah saya terdapat satu tangki air yang membekalkan air kepada dua bilik air. Tetapi masalahnya, sekiranya air dalam tangki tersebut habis, kemudian apabila tangki telah diisi penuh, semua paip air dan shower pada kedua-dua bilik air tidak mengeluarkan air.

Apabila masalah ini berlaku, saya terpaksa membuka kepala stopcock, keluarkan angin yang terdapat dalam salur paip kemudian barulah paip pada kedua-dua bilik air mengeluarkan air.

Adakah cara untuk mengatasi masalah ini? Saya sudah penat untuk membuka kepala stopcock tersebut setiap kali masalah ini berlaku.

Jawapan
Masalah seperti ini adalah disebabkan oleh fenomena 'airlock'. Ia biasa berlaku dalam saluran paip yang disambung selepas tangki air bersaiz kecil. Oleh kerana angin lebih ringan daripada air, angin akan cuba naik ke atas, tetapi dihalang oleh air yang terdapat dalam salur paip tersebut. Tetapi tekanan air daripada tangki tidak cukup untuk menolak angin itu keluar daripada salur paip, maka fenomena 'airlock' pun berlaku.

Kebiasaannya, pada salur paip selepas tangki, tukang paip akan membuat satu paip menegak ke atas. Paip menegak itu dipasang lebih tinggi dari tangki, dipasang sebaik sahaja selepas keluar tangki dan hujung salur paip tersebut dibiarkan terbuka. Tujuan paip ini adalah untuk membuang angin yang terdapat dalam salur paip tersebut dan seterusnya mencegah berlakunya 'airlock'.

Saya jangkakakan paip selepas tangki rumah anda tidak mempunyai paip tegak tersebut. Cubalah pasang paip tegak tersebut sekiranya anda mahir DIY, ataupun minta bantuan tukang paip. Rujuk gambarajah di bawah.

Lampu Downlight Jenis Skru Selalu Rosak

Julai 26, 2011

7 komen

Soalan:
Rumah saya menggunakan lampu downlight jenis skru, tetapi prestasinya amat mengecewakan. Walaupun saya menggunakan lampu jenama Philips, tetapi tidak sampai 3 bulan, 10 daripada 23 mentol lampu sudah terbakar. 

Saya juga sudah tukar kepada jenama lain, tetapi sama juga masalahnya. Sekarang ini saya sudah tukar lampu downlight jenis cucuk (plug in) dengan magnetic ballast di luar. Nampaknya sudah 4 bulan lampu masih OK dan tidak berkelip-kelip. Bolehkah bagi pandangan mengenai masalah downlight ini ? 

Jawapan:
Lampu downlight jenis skru yang anda maksudkan itu adalah lampu kalimantang kompak dengan ballast terbina dalam (self ballasted compact fluorescent lamp). Lampu ini mampu bertahan sehingga 10,000 jam sekiranya ia mendapat voltan elektrik yang 'bersih' (kurang mengalami herotan).

Lampu jenis ini tidak digalakkan digunakan dalam kuantiti yang banyak dalam sesebuah premis. Ini kerana lampu ini akan menjana arus harmonik dan sekiranya lampu ini banyak digunakan, ia akan menyebabkan tenaga elektrik dalam rumah anda mengalami herotan (distortion). Rujuk gambarajah di bawah. Kesan herotan ini akan bertambah buruk sekiranya terdapat peralatan elektronik yang berkualiti rendah dan murah sedang beroperasi pada masa yang sama. Selain itu, sekiranya rumah anda berhampiran dengan kawasan perindustrian, penggunaan mesin-mesin elektrik yang terdapat dalam kilang juga boleh menyumbang herotan pada bekalan elektrik rumah anda.

Kesan herotan inilah yang menyebabkan lampu jenis ini sering rosak. Bekalan elektrik yang terherot juga memberi kesan kepada peralatan elektrik yang menggunakan motor dan transformer seperti peti sejuk, mesin basuh, aircond, kipas, adapter laptop, televisyen dan sebagainya. Ia akan menyebabkan motor atau transformer lebih panas dan ini akan memendekkan jangkahayatnya.

Pihak pengilang boleh sahaja merekabentuk lampu ini supaya kurang membebaskan harmonik, tetapi saiz lampu akan menjadi lebih besar dan juga lebih mahal.

Oleh itu, lampu downlight jenis skru ini tidak boleh digunakan dalam sesebuah rumah dalam kuantiti yang banyak, bolehlah sekadar 1 atau 2 unit sahaja. Untuk situasi rumah anda ini, penggunaan downlight dengan magnetic ballast di luar adalah penyelesaian terbaik kerana ia tidak menjana arus harmonik, juga tidak sentitif terhadap kesan herotan bekalan elektrik.

Penggunaan tenaga elektrik akan meningkat sedikit berbanding penggunaan lampu downlight jenis skru disebabkan tenaga haba yang terjana pada magnetic ballast tersebut, tetapi ia menjanjikan jangkahayat yang lebih lama.

Atau boleh juga cuba lampu LED jenis skru jika anda tidak memerlukan cahaya yang terang. Tetapi penjualan lampu LED masih belum meluas, tetapi jika berminat boleh didapati secara online di lelong.com.my.

Lampu LED tidak menjana arus harmonik dan juga tidak sentitif kepada kesan herotan bekalan elektrik. Jangkahayat lampu LED boleh mencapai sehingga 30,000 jam.

Alat Pengesan Objek Di Dalam Dinding

Julai 23, 2011

0 komen

Alat ini sepatutnya dimiliki oleh juruelektrik atau kontraktor yang sering membuat kerja2 menggerudi dinding. Ia boleh mengelakkan masalah yang timbul akibat kerja penggerudian kebocoran paip air, kerosakan wayar elektrik, terputus bekalan elektrik (trip), kerosakan mata gerudi dan sebagainya.

Bosch Detector DMF 10 Zoom boleh mengesan objek di dalam dinding seperti besi, kayu, paip air, wayar elektrik, konduit elektrik dan juga boleh mengukur jarak kedalaman selamat yang boleh digerudi. Harganya juga tidaklah begitu mahal, hanya dalam lingkungan RM300 sahaja. Alat ini boleh dibeli secara online di lelong.com.my. Video di bawah ini menunjukkan cara penggunaan alat tersebut.


Pembentukan Selaput Dalam Karburator Enjin Petrol

1 komen

Sekiranya anda mempunyai mesin yang menggunakan enjin petrol seperti mesin rumput, pam air, generator elektrik, motorsikal atau kereta yang jarang digunakan, contohnya anda menggunakannya sebulan sekali atau dua bulan sekali, anda dinasihatkan tidak menggunakan petrol RON95 untuk enjin tersebut.

Setiap enjin petrol mempunyai karburator yang berfungsi mencampurkan petrol dan udara pada nisbah yang betul untuk dibekalkan kepada enjin. Sekiranya enjin dibiar lama tanpa digunakan, maka tiada aliran petrol berlaku dalam karburator. Petrol akan membentuk selaput pada permukaan dalam karburator dan ini akan menyebabkan karburator tersumbat. Apabila ini berlaku, enjin tidak akan dihidupkan dan karburator perlu dihantar ke bengkel untuk diservis.

Berdasarkan pengalaman saya, sekiranya anda menggunakan petrol RON95, pembentukan selaput ini boleh terjadi dalam masa sebulan sahaja. Pembentukan selaput untuk petrol RON97 adalah lebih lambat, iaitu dalam tempoh 6 bulan atau lebih. 

Prosedur Mengganti Bateri Kereta

Julai 22, 2011

1 komen

Panduan ini penting sekiranya anda mahu menggantikan bateri kereta anda sendiri.

Oleh kerana bateri kereta menghasilkan gas hidrogen semasa proses tindakbalas kimia dan juga penggunaan ECU (Engine Control Unit) dalam kenderaan masakini, prosedur yang betul untuk menggantikan bateri kereta haruslah diikuti.

Prosedur penggantian bateri kereta yang tidak betul akan menghasilkan percikan api semasa menanggalkan wayar terminal bateri. Sekiranya terdapat gas hidrogen terbebas daripada bateri kereta, percikan api boleh menyebabkan letupan dan ini boleh menyebabkan kecedaraan serius. Walaupun perkara ini jarang berlaku, tetapi langkah pencegahan hendaklah perlu dititikberatkan.

Hampir semua kereta masakini dilengkapi dengan ECU yang mengawal kebanyakkan sistem di dalam kereta. ECU tidak akan berfungsi dengan baik apabila menerima voltan elektrik yang tidak stabil dan tidak mencukupi.

Mengganti bateri kereta semasa enjin mati akan menyebabkan berlaku ketidakstabilan voltan elektrik pada sistem elektrikal kereta. Perkara ini berlaku apabila anda melonggar, menanggal, memasang dan mengetatkan penyambung wayar pada terminal bateri. Ketidakstabilan voltan elektrik akan mengganggu operasi ECU dan ia akan menyebabkan pelbagai masalah seperti enjin tidak dapat dihidupkan, peningkatan penggunaan petrol, pergerakan enjin tidak sempurna, gangguan pada sistem penggera dan sebagainya. Apabila masalah ini berlaku, anda perlu membawa kereta ke bengkel untuk reset ECU.

Di sini diterangkan beberapa versi prosedur untuk menggantikan bateri kereta dengan cara yang betul. Sebelum itu, adalah lebih baik anda memeriksa samada alternator kereta anda berfungsi dengan baik atau tidak. Klik sini untuk ketahui cara memeriksa alternator. 

Sebagai langkah keselamatan, pakai sarung tangan dan cermin mata keselamatan semasa kerja penggantian bateri kereta.

Mengganti bateri semasa enjin berjalan                                                                                       
Prosedur ini biasa dilakukan oleh para mekanik. Prosedur sebegini adalah tidak digalakkan kerana kemungkinan boleh berlaku percikan api apabila spannar terkena badan kendaraan semasa menanggalkan atau memasang wayar terminal positif bateri walaupun wayar teminal nagatif bateri telah ditanggalkan. Sekiranya perlu, balut spanner dengan kertas atau plastik.

Prosedur ini tidak boleh digunakan apabila anda dapati alternator tidak berfungsi dengan baik. Ini kerana, apabila bateri ditanggalkan, hingar (noise) dari alternator boleh mengganggu operasi ECU.
  1. Pastikan enjin kereta anda dihidupkan terlebih dahulu sebelum bateri ditukar. Sekiranya bateri kereta lemah atau mati, hidupkan enjin kereta anda menggunakan kaedah jumping start dari kereta lain.
  2. Buka bonet kereta dan tanggalkan pengikat bateri.
  3. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar.
  4. Pastikan wayar terminal positif tidak bersentuhan dengan mana2 bahagian badan kenderaan. Balut wayar terminal positif tersebut sekiranya perlu.
  5. Letakkan bateri baru dan pasangkan terminal wayar positif terlebih dahulu, diikuti dengan terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
Mengganti bateri dengan alat memory keeper                                                                              
Ini adalah cara yang selamat. Alat memory keeper adalah alat yang membekalkan voltan stabil 12V pada sistem ECU ketika anda melakukan kerja menukar bateri. Rupa alat ini adalah seperti yang tunjukkan pada gambar di sebelah ini.

Ia menggunakan bateri 9V dan perlu dipasang pada soket pencucuh rokok yang terdapat dalam kereta anda. Walaubagaimanapun, alat ini agak sukar didapati di pasaran Malaysia. Sekiranya anda kreatif, anda boleh membuat penyambungan wayar dari soket pencucuh rokok ke sebarang bekalan kuasa  arus terus 12V.
  1. Enjin kenderaan tidak perlu dihidupkan. Pastikan semua peralatan elektrik seperti lampu, radio, amplifier, GPS, aircond, wiper dan sebagainya telah dimatikan.
  2. Pasang alat memory keeper bersama bateri 9V pada soket pencucuh rokok. Pastikan alat tersebut aktif (terdapat lampu LED menyala menunjukkan alat sedang aktif).
  3. Buka bonet kereta dan tanggalkan pengikat bateri.
  4. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar.
  5. Letakkan bateri baru dan pasangkan wayar terminal  positif terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
  6. Tanggalkan alat memory keeper.
  7. Hidupkan enjin dan pastikan semua peralatan dan sistem kereta berfungsi dengan baik.
Mengganti bateri dengan mencabut fius ECU                                                                                
Dengan mencabut fius ECU semasa kerja penggantian bateri kereta, ia boleh menghalang voltan yang tidak stabil daripada mengganggu ECU. Walaubagaimanapun, apabila fius ECU dicabut, semua setting terkini pada ECU akan hilang dan secara automatik ECU akan kembali kepada setting yang asal. Oleh itu, anda mungkin berasa prestasi enjin kenderaan anda akan sedikit berbeza selepas ditukar bateri.
  1. Enjin kenderaan tidak perlu dihidupkan. Pastikan semua peralatan elektrik seperti lampu, radio, amplifier, GPS, aircond, wiper dan sebagainya telah dimatikan.
  2. Buka bonet kereta dan kenalpasti lokasi kotak fius. Rujuk buku panduan kereta anda sekiranya perlu. 
  3. Buka kotak fius dan rujuk rajah yang terdapat pada penutup kotak fius untuk mengenalpasti fius ECU. Cabut fius tersebut. 
  4. Tanggalkan pengikat bateri.
  5. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar.
  6. Letakkan bateri baru dan pasangkan wayar terminal positif terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
  7. Pasang semula fius ECU dengan cermat.
  8. Hidupkan enjin dan pastukan semua peralatan dan sistem kereta berfungsi dengan baik
Mengganti bateri pada kenderaaan lama                                                                                      
Ketiga2 versi prosedur di atas adalah untuk kenderaan yang ada menggunakan ECU. Untuk kenderaan lama yang menggunakan karburator dan tiada penggunaan ECU, prosedur penggantian bateri adalah lebih mudah.
  1. Tanpa perlu hidupkan enjin, pastikan semua peralatan elektrik seperti lampu, radio, amplifier, GPS, aircond, wiper dan sebagainya telah dimatikan.
  2. Buka bonet dan tanggalkan pengikat bateri.
  3. Tanggalkan wayar terminal negatif bateri terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal positif dan angkat bateri tersebut keluar
  4. Letakkan bateri baru dan pasangkan wayar terminal positif terlebih dahulu, diikuti dengan wayar terminal negatif. Kemudian pasangkan pengikat bateri.
  5. Hidupkan enjin dan pastukan semua peralatan dan sistem kereta berfungsi dengan baik
Penafian: Artikel ini adalah untuk panduan sahaja. ZON152 tidak bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau kecedaraan yang timbul semasa atau selepas kerja penggantian bateri kereta.

Menguji Alternator Kereta Menggunakan Multimeter

Julai 21, 2011

0 komen

Alternator adalah antara bahagian terpenting dalam kereta. Fungsinya adalah seperti generator elektrik, iaitu untuk menjana dan membekalkan tenaga elektrik dalam kenderaan. Alternator mula membekalkan tenaga elektrik pada sistem elektrikal kenderaan sebaik sahaja enjin dihidupkan.


Sekiranya enjin kereta anda sukar dihidupkan dan lampu hadapan kereta kelihatan malap, kemungkinan alternator kereta anda menghadapi masalah.

Anda boleh memeriksa alternator samada dalam berkeadaan baik atau tidak dengan menggunakan multimeter. Hidupkan enjin kenderaan anda terlebih dahulu.

Setkan multimeter pada voltan arus terus (DC) dan sambung wayar multimeter pada terminal positif dan negatif bateri kereta (tidak perlu tanggalkan wayar terminal bateri). Bacaan yang sepatutnya diperolehi adalah sekitar 13V hingga 14.5V. Sekiranya bacaan kurang daripada 12.5V, itu menunjukkan alternator anda menghadapi masalah. 

Dapatkan bantuan mekanik sekiranya perlu.

Electronic Ballast Untuk Lampu Kalimantang: Beza Antara Yang Murah Dan Yang Mahal

Julai 17, 2011

2 komen

Soalan
Saya bercadang untuk memasang electronic ballast pada sebuah lampu kalimantang di rumah saya. Tapi, apabila saya pegi ke kedai elektrik, penjual tersebut menyatakan terdapat electronic ballast yang murah dan yang mahal. Harga ballast murah adalah sekitar RM10, manakala ballast mahal sekitar RM30. Apakah beza antara kedua2 versi electronic ballast ini?

Jawapan
Penggunaan electronic ballast menggantikan magnetic ballast untuk lampu kalimantang amat digalakkan kerana ia boleh menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 40%. Malah penggunaan electronic ballast akan memanjangkan jangkahayat tiub lampu kalimantang.

Memang benar, terdapat dua versi electronic ballast yang terdapat di pasaran iaitu versi murah dan mahal. Perbezaan kedua2 versi ini berkait rapat dengan parameter faktor kuasa dan THD (Total Harmonic Distortation). 

Nilai faktor kuasa adalah dari 0 hingga 1. Faktor kuasa yang rendah (kurang 0.5) akan meningkatkan arus elektrik ke lampu kalimantang dan juga akan merendahkan voltan yang dibekalkan. Ini akan memendekkan jangkahayat pendawaian lampu kalimantang dan mungkin menganggu fungsi peralatan elektrik yang lain akibat kejatuhan voltan.

THD pula adalah ukuran voltan elektrik mengalami herotan . Nilai THD pada nilai 0 menunjukkan bekalan elektrik tidak mengalami herotan. Electronic ballast yang baik mempunyai nilai THD kurang dari 0.25. Nilai THD yang tinggi akan membuatkan bekalan elektrik dalam rumah anda mengalami herotan (distortation). Ini akan memberi kesan buruk pada peralatan elektrik yang menggunakan transformer dan motor seperti mesin pengimpal, mesin basuh, kipas elektrik dan juga sebagainya. Kesan buruk yang dimaksudkan adalah: gelung pada motor atau transformer akan menjadi lebih panas dan ini akan membuatkan motor atau transformer cepat rosak. Bekalan elektrik yang terherot juga boleh merosakkan peralatan elektronik yang mempunyai tidak sistem penapis herotan yang baik.


Electronic ballast versi mahal mempunyai faktor kuasa melebihi 0.95 dan dilengkapi dengan litar penapis voltan/arus harmonik. Dengan adanya litar penapis ini, ia tidak akan meninggikan nilai THD pada sistem pembekalan elektrik. Electronic ballast versi mahal menggunakan komponen elektronik berkualiti tinggi dan juga tidak memberi kesan buruk pada pendawaian lampu kalimantang dan juga peralatan elektrik yang lain.

Electronic ballast versi murah biasanya mempunyai faktor kuasa sekitar 0.6 dan ia juga akan menjana arus hormonik yang akan meninggikan nilai THD pada sistem pembekalan elektrik. Walaubagaimanapun, ia tetap menawarkan penjimatan tenaga elektrik pada lampu kalimantang. Sebenarnya, penggunaan lampu electronic ballast versi murah tidak memberi kesan buruk yang ketara kepada pendawaian lampu kalimantang dan peralatan yang lain sekiranya terdapat hanya terdapat 2 atau 3 unit electronic ballast di rumah anda. Tetapi sekiranya penggunaan electronic ballast versi murah ini digunakan secara meluas pada setiap premis, penggunaannya perlu diharamkan oleh kerajaan.

Sekiranya anda berminat untuk membeli electronic ballast secara online, klik pautan di bawah ini.

Versi mahal (Philips)

Alat Pengikat Cable Tie

Julai 16, 2011

0 komen

Sekiranya anda memerlukan cable tie diikat dengan ketat pada tahap maksimum, ini adalah alat yang perlu anda guna.

Harga alat ini adalah sekitar RM70 hingga RM400. Cable tie gun yang murah hanya boleh mengetat dan memotong, tetapi cable tie gun yang mahal anda boleh setkan kekuatan ikatan (tork) yang diperlukan. Apabila cable tie mencapai tork yang disetkan, alat tersebut akan memotong cable tie secara automatik, 

Cable tie gun agak sukar didapati di kedai2 hardware, tetapi anda boleh mendapatkannya secara online. Klik pautan di bawah sekiranya anda berminat untuk membeli alat ini secara online.


Kipas Pusing Terbalik Selepas Dibaiki

Julai 13, 2011

2 komen

Soalan
Saya baru sahaja tukar kapasitor pada sebuah kipas dinding. Kemudian, apabila kipas dihidupkan, bilah kipas berpusing terbalik (angin keluar ikut belakang). Kenapa boleh jadi sedemikian, adakah saya terbalik pasang wayar live dan neutral, ataupun masalah lain?

Jawapan
Nampaknya anda sudah tersilap membuat penyambungan wayar pada kapasitor tersebut. 

Motor kipas dinding biasanya ada tiga wayar (rujuk gambar di atas) . Wayar COMMON biasanya berwarna hitam, manakala warna wayar RUN dan wayar START adalah tidak tentu, bergantung pada pengilang. Biasanya pada tapak bawah atau bahagian dalam kipas terdapat gambarajah litar yang boleh dirujuk untuk mengetahui warna wayar START dan RUN.

Mengikut pendawaian yang betul, kapasitor hendaklah dipasang pada terminal START. Tetapi anda telah memasang kapasitor pada terminal RUN, oleh sebab itu kipas berpusing terbalik. Betulkan semula sambungan wayar kapasitor tersebut. Kapasitor untuk kipas tidak mempunyai kekutuban (tiada terminal positif-negafit atau live-neutral).

Kedudukan wayar neutral dan live tidak mempengaruhi arah putaran kipas. Anda boleh sambung wayar COMMON pada live, wayar START dan RUNNING pada neutral, tiada masalah.

Cara Menghidupkan Unit Power Suppy Komputer

April 02, 2011

0 komen

Pada unit power supply komputer, terdapat satu connector 2 x 10 pin yang biasanya dipasang pada papan induk (motherboard) komputer. Pada connector tersebut, cari wayar berwarna hijau, kemudian sambungkan wayar tersebut pada mana2 wayar hitam. Rujuk gambar di sebelah sebagai contoh. Apabila kedua2 wayar tersebut dicantumkan, kipas penyejuk akan berputar dan unit power supply berfungsi. Unit  akan mati apabila kedua2 wayar tadi ditanggalkan.

Pengetahuan ini berguna dalam proses troubleshooting untuk komputer yang tidak boleh dihidupkan ataupun anda mahu menjadikan unit power supply kepada unit bekalan voltan arus terus berkuasa tinggi. Sila rujuk di sini untuk penerangan lebih lanjut.

Menggabungkan Kapasitor Secara Selari

Mac 28, 2011

0 komen

Sekiranya dua atau lebih unit kapasitor digabungkan secara selari, maka unit kapasitansnya boleh dijumlah begitu sahaja. Rujuk gambar di sebelah. Pengetahuan ini amat berguna sekiranya anda sering terlibat dalam kerja pembaikan peralatan elektrik atau elektronik

Situasi 1
Satu kipas siling didapati tidak berpusing walaupun suis telah dihidupkan. Setelah diperiksa, didapati kapasitor pada kipas tersebut telah rosak. Kapasitor tersebut bernilai 2uF, tetapi pada masa itu anda hanya mempunyai dua unit kapasitor 1uF. Penyelesainnya, sambungkan kedua2 kapasitor 1uF tersebut secara selari. Dengan itu anda telah 'mencipta' kapasitor bernilai 2 uF dan pasangkan ia pada kipas tersebut. 

Situasi 2
Satu monitor komputer LCD didapati tidak menyala. Setelah diperiksa, terdapat satu unit kapasitor 80 uF pada bahagian inverter telah rosak. Kapasitor 80uF biasanya sukar didapati di kedai. Oleh itu, anda boleh menggabungkan kapasitor bernilai 47uF, 22uF dan 10uF (kapasitor pada nilai ini biasa dijual di kedai elektronik) untuk mencipta kapasitor bernilai 79uF. Walaupun tidak mendapat nilai 80uF, tetapi ia masih boleh digunakan.

Menggunakan Power Adapter Boleh Laras

0 komen

Soalan
Saya mempunyai sebuah modem internet 12V 1.6A. Power adapter asal untuk modem ini telah rosak dan saya telah membeli power adapter boleh laras 12V 500mA yang biasa dijual di kedai2 elektrik. Apabila dipasang pada modem tersebut, modem didapati tidak berfungsi. Lampu penunjuk pada modem itu kelihatan malap walaupun adapter tersebut telah dilaras pada 12V . Apakah modem tersebut tidak menerima kuasa secukupnya dari adapter?

Jawapan
Nampaknya anda telah membeli power adapter yang salah. Label pada modem tersebut tertera 12V 1.6A, ini bermakna modem tersebut memerlukan arus setinggi 1.6A pada voltan 12V untuk berfungsi dengan baik. Adapter 12V 500mA hanya mampu membekalkan arus maksimum 0.5A pada 12V. Oleh itu, anda perlu membeli power adapter yang boleh membekalkan voltan 12V dengan kapasiti arus lebih besar dari 1.6A. Pergi ke kedai elektrik atau elektronik yang besar, dapatkan adapter 12V 2A (12V 2A bermaksud arus maksimum yang mampu dibekalkan adalah 2A pada 12V). Saiznya agak besar dan lebih mahal sedikit.

Nota: 500mA = 0.5A

Threadlocker - Mengunci Skru Dari Longgar Akibat Getaran

Mac 21, 2011

1 komen

Sekiranya anda sentiasa bekerja dengan enjin, sistem pembekalan gas/cecair atau sistem yang melibatkan motor/pam yang besar, masalah kejadian skru longgar dan tertanggal sering berlaku. Walaupun skru tersebut telah diikat seketat2nya, beberapa minggu selepas itu, skru tersebut didapati telah longgar.

Perkara ini boleh berlaku adalah kerana sistem2 yang disebutkan di atas sentiasa menghasilkan getaran berfrekuensi tinggi dan ia boleh melonggarkan skru2 yang telah diikat ketat.

Untuk mengatasi masalah ini, terdapat satu produk yang dinamakan 'Threadlocker'. Produk ini adalah seperti gam dan ia perlu dibubuh pada bebenang skru sebelum diikat pada lubang skru. Ia akan membantu bebenang skru melekat dan menghalang skru dari bergerak walaupun terdedah pada getaran frekuensi tinggi.

Produk ini boleh didapati di kedai2 hardware. Juga boleh didapati secara online di lelong.com.my

Bunyi Bergetar Pada Lampu Kalimantang

Mac 19, 2011

6 komen


Sekiranya lampu kalimantang di dalam bilik atau tandas rumah anda berbunyi bergetar apabila dihidupkan, jangan risau. Itu adalah perkara biasa dan tidak mendatangkan apa2 mudarat.

Bunyi itu berpunca daripada choke/ballast yang kurang berkualiti yang terdapat dalam lampu tersebut. Sekiranya anda berasa terganggu, anda boleh menggantikan choke tersebut dengan yang baru.

Pastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup, buka casing lampu tersebut dan anda akan mendapati satu komponen seperti gambarah di sebelah ini. Tanggalkan wayar dan skru yang dipasang pada choke tersebut dan gantikan ia dengan yang baru. Pastikan choke baru itu mempunyai cop Sirim.

Kesan Air Keras (Hard Water)

Disember 16, 2010

0 komen


Anda pasti pernah terlihat keadaan seperti gambarajah di atas: enapan kuning dalam paip air, kesan putih pada peralatan alumininum atau kepala paip, kesan kuning pada sinki seramik dan lapisan kuning/putih pada elemen pemanas dalam cerek elektrik. Semua ini adalah kesan air keras (hard water)

Air keras yang dimaksudkan bukanlah minuman beralkohol, tetapi ia merujuk kepada kandungan ion magnesium dan ion kalsium yang tinggi dalam air. Tahap 'kekerasan' air biasanya disukat dalam unit mg/L (miligram per liter - berat unsur kalsium dan magnesium dalam 1 liter air). Jadual di bawah menunjukkan kategori tahap kekerasan air

KATEGORI
BACAAN (mg/L)
Sangat ‘lembut’
< 17
‘Lembut’
17 - 60
‘Keras’
60 - 120
Agak ‘keras’
120 - 180
Sangat ‘keras’
> 180

Tahap 'kekerasan' air di Malaysia biasanya adalah dalam lingkungan 5 hingga 80 mg/L, bergantung kepada kandungan unsur magnesium dan kalsium dalam tanah di sesuatu tempat. Bacaan 'kekerasan' ini biasanya agak tinggi pada waktu hujan. Tahap 'kekerasan' air yang tinggi tidak memberikan kesan kepada kesihatan manusia, tetapi memberi kesan kepada peralatan tertentu dan sistem perpaipan air. Berikut adalah kesan yang dihadapi akibat tahap 'kekerasan' air yang tinggi:
  • Membentuk enapan kuning dalam paip besi bergalvani (paip GI) dan akan mengecilkan saluran paip tersebut dalam jangkamasa panjang. Enapan ini juga boleh menyebakan lapisan galvani pada paip besi tertanggal, menyebabkan besi berkarat dan seterusnya berlaku kebocoran. 
  • Membentuk enapan kuning pada shower, kepala paip, bidet hos dan menyebabkan sumbat
  • Membentuk lapisan kuning dan hitam pada permukaan dalam tangki air dan jika lama-kelamaan akan menjadi keras dan sukar dibersihkan
  • Membentuk lapisan kuning atau putih pada eleman pemanas dalam cerek elektrik. Ini akan menyebabkan air lambat panas dan meningkatkan penggunaan elektrik
  • Meninggalkan kesan putih pada peralatan aluminium dan kaca
  • Mengurangkan kecekapan sabun untuk membersih (buih kurang)
  • Mengurangkan rasa minuman dan makanan

Terdapat beberapa cara untuk menurunkan tahap 'kekerasan' air iaitu
  • Menggunakan sistem tapisan reverse osmosis (RO)
  • Menggunakan alat penyuling air (water distiller) - air dipanaskan, wap air yang tersejat, dikumpul dan disejukkan untuk memperolehi air suling
  • Menggunakan resin softener - resin ion natrium, kalium atau hidrogen digunakan untuk menyerap ion magnesium dan ion kalsium
  • Meneutralkan air (pH 7) menggunakan kaedah kimia
  • Menggabungkan ion magnesium, kalium dan ion lain menjadi satu sebation menggunakan kaedah kimia. Sebatian tersebut kemudian akan mendak ke bawah takungan air

Kaedah di atas memerlukan kos yang tinggi dan biasa digunakan dalam industri. Bagi pengguna di rumah, adalah tidak berbaloi untuk mendapatkan bekalan air pada tahap 'kekerasan' yang rendah memandangkan ia tidak menjejaskan kesihatan. Walaubagaimanapun, langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan akibat 'kekerasan' air adalah:
  • Kerap membersihkan sinki, paip air, cermin, jubin dan peralatan aluminum apabila sudah mula terdapat tanda kekotoran
  • Kerap membersihkan tangki air
  • Mengurangkan penggunaan paip GI dalam sistem perpaipan rumah, gunakan paip air jenis PVC, polypipe, paip tembaga atau paip stainless steel
  • Kerap bersihkan element pemanas di dalam cerek elektrik
  • Menggunakan pelembut kain (fabric softener) apabila membasuh baju
  • Membasuh baju menggunakan air hujan, baju akan dapat dibersihkan dengan penggunaan sabun yang minima.
*Klik sini untuk artikel lengkap mengenai kesan air keras.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...