Teras Ferrite Pada Kabel

Februari 17, 2013

1 komen

Saya pasti ramai antara kita yang menyedari teras hitam yang terdapat pada kebanyakkan kabel audio visual ataupun pada kabel kuasa untuk gajet. Apakah sebenarnya teras hitam ini? Apakah peranannya pada sesebuah kabel?

Sebenarnya teras hitam ini adalah teras Ferritte. Teras Ferritte diperbuat daripada logam manganese-zinc ataupun logam nickel-zinc. Peranannya pada kabel adalah sebagai penapis isyarat hingar (noise). 

Secara ringkasnya, hingar adalah isyarat yang tidak dikehendaki yang membuatkan arus elektrik berada dalam keadaan turun naik secara rawak (tidak stabil). Arus elektrik yang dipengaruhi hingar boleh mengganggu fungsi sesebuah peralatan seperti bacaan sensor yang kurang tepat, bateri tidak dicas dengan sempurna, menjana haba tambahan pada komponen elektronik dan sebagainya. Hingar biasanya dihasilkan oleh gelombang elektromagnet seperti gelombang radio, gelombang telefon mudah alih, pancaran kilat, peralatan elektronik berfrekuensi tinggi dan sebagainya. Pada zaman ini, gelombang elektromagnet terdapat di mana-mana sahaja pada setiap masa, jadi gangguan hingar dalam kabel elektrik adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Oleh itu, teras Ferritte digunakan untuk menapis dan mengurangkan isyarat hingar.

Gambar di bawah menunjukkan contoh arus elektrik yang telah dipengaruhi oleh hingar, kemudian kesan hingar telah dikurangkan setelah ditapis oleh teras Ferritte.


Bagaimanakah teras Ferritte boleh mengurangkan kesan hingar pada isyarat elektrik? Agak sukar saya terangkan kerana konsepnya sama seperti litar elektronik yang terdapat komponen perintang, kapasitor dan gegelung yang memerlukan penjelasan yang panjang lebar. Malah penerangannya juga harus melibatkan persamaan matematik yang agak kompleks. 

Walaubagaimanapun secara analoginya, teras Ferritte boleh diibaratkan seperti tangki air, arus elektrik seperti bekalan air dari syarikat utiliti air dan gangguan hingar adalah seperti gangguan bekalan air. Sekiranya pili air dipasang sebelum tangki,  apabila berlaku gangguan bekalan air, maka air yang keluar dari pili juga akan terganggu. Tetapi sekiranya pili paip dipasang selepas tangki air, jika berlaku gangguan bekalan air dari syarikat utiliti air, air yang keluar dari pili air masih lagi berterusan selagi tangki air masih menyimpan air.

Menguji Fius Menggunakan Test Pen

7 komen

Anda ingin memeriksa sebuah fius untuk mengetahui samada ia berkeadaan baik atau tidak, tetapi pada masa yang sama anda tidak memiliki multimeter. Jangan putus asa, anda boleh memeriksa fius tersebut dengan menggunakan test pen.

Masukkan hujung test pen pada terminal live di soket plug. Hidupkan suis pada soket plug, kemudian sentuhkan hujung fius pada bontot test pen dan hujung fius yang lagi satu anda pegang dengan tangan anda sendiri (tanpa memakai sarung tangan). Sekiranya lampu pada test pen itu menyala, itu menunjukkan fius dalam berkeadaan baik. Jika lampu test pen tidak menyala, maka wayar dalam fius tersebut telah terputus.

Idea ini sangat berguna apabila kita mahu memeriksa fius yang badannya diperbuat daripada seramik, yang mana fius jenis ini kita tidak dapat keadaan dalam fius tersebut.

Apa Itu Higg Boson?

Julai 06, 2012

3 komen

Minggu ini dunia agak gempar dengan penemuan Higg Boson. Walaubagaimanapun, di Malaysia, berita ini tenggelam di sebalik drama televisyen Dejavu di KK, video skandal Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, pendedahan blog Uncle Seeker dan nukilan ayat-ayat cinta di facebook. Tidak ramai yang mempedulikan berita ini kerana ia bukanlah perkara yang mudah difahami dan kebanyakan orang awam tidak mengetahui apakah kesan penemuan ini pada kehidupan manusia.

Apa itu Higg Boson? Kenapa seluruh dunia tiba-tiba bercakap tentang perkara ini? Untuk memahami perkara ini, kita perlu menyoal diri sendiri "Kita (manusia) dan semua benda yang terdapat di dalam semesta ini diperbuat daripada apa?"

Pada zaman dahulu, manusia menganggap semua benda dijadikan daripada 4 unsur utama: angin, tanah, api dan air. Kemudian, apabila teknologi semakin maju, kita memahami bahawa semua benda diperbuat daripada atom atau zarah. Saiz atom ini tersangatlah kecil, iaitu lingkungan 10 x 10-12 meter.

Kemudian, ahli sains ingin mengetahui apakah yang terdapat di dalam atom. Jadi mereka telah memacukan dua atom pada kelajuan tinggi dan memaksa atom-atom ini bertembung antara satu sama lain. Hasil daripada pertembungan itu, mereka telah menemui 3 partikel yang dinamakan proton, neutron dan elektron. Sudah tentu saiz proton, neutron dan elektron lebih kecil daripada atom. 

Untuk melihat apa yang terdapat di dalam partikel pula, mereka buat perkara yang sama: memacukan partikel tersebut pada kelajuan tinggi dan memaksa partikel ini bertembung antara satu sama lain. Walabagaimanapun, memacukan partikel pada kelajuan tinggi memerlukan tenaga yang sangat besar. Oleh itu, Kesatuan Eropah membelanjakan USD10 billion untuk membina fasiliti di Eropah yang dinamakan Large Hadron Collider (LHC) dan ianya siap pada 2008. Fasiliti ini adalah pemecut partikel yang mampu memecutkan partikel sehingga menghampiri kelajuan cahaya dan memaksa partikel bertembung antara satu sama lain.

Menerusi fasiliti Large Hadron Collide, ahli fizik mendapati proton dan neutron terdiri daripada beberapa subpartikel yang dinamakan 'quark'. Walaubagaimanapun, mereka tidak menemui apa-apa di dalam 'quark'. Kosong. Tetapi menariknya, mereka mengesan kewujudan medan tenaga atau kuasa di dalam 'quark' itu.

Sebelum itu, saintis berteori terdapat 4 jenis kuasa yang mempengaruhi semua benda dalam alam semesta ini, iaitu kuasa graviti, kuasa elektromagnet, kuasa pereputan radioaktif dan satu kuasa asing. Kuasa asing inilah yang dikesan terdapat dalam 'quark' tersebut dan kuasa ini dinamakan Higg Boson. Kuasa Higg Boson yang membuatkan 'quark' mempunyai jisim. Daripada pengaruh kuasa ini, 'quark' kemudian membentuk menjadi partikel, partikel membentuk menjadi atom, atom membentuk menjadi molekul atau DNA, molekul atau DNA yang membentuk menjadi benda-benda yang terdapat di dalam semesta termasuklah manusia. Ada pihak menganggap kuasa Higg Boson ini adalah partikel tuhan (god particle)

Secara ringkasnya, kuasa Higg Boson inilah yang membuatkan semua benda mempunyai berat, bentuk dan sifat. Batu bersifat berat dan keras, ular bersifat panjang, garam bersifat masin, semua ini terjadi daripada kuasa Higg Boson. Tanpa kuasa Higg Boson, kita semua dan benda di alam semesta ini akan terlerai menjadi subpartikel yang bergerak pada kelajuan cahaya.

Saintis yang mencadangkan kewujudan kuasa Higg boson ini ialah Peter Higg. Sudah tentu nama kuasa Higg Boson ini diambil daripada namanya dan kini beliau berusia 83 tahun. Idea kuasa Higg boson ini telah dikemukan pada 1964, dan pada 2012 teori ini telah dapat dibuktikan. 

Jadi, apakah faedah ahli sains menemui kuasa Higg boson ini? Ini adalah permulaan yang baik untuk ahli sains memahami kejadian alam semester selepas peristiwa Big Bang. Ada pendapat liar menyatakan apabila ahli sains telah memahami sifat kuasa Higg Boson ini, manusia dikatakan mampu 'bertindak' seolah-olah seperti Tuhan , iaitu mampu mencipta pelbagai benda asas seperti gas, air, besi, emas, dan sebagainya hanya dengan memanipulasi subpartikel 'quark' dan kuasa Higg Boson. Wallahualam.

Menggunakan Peralatan Elektrik 120V di Malaysia

Jun 02, 2012

0 komen

Sekiranya anda mempunyai peralatan elektrik 120V, mungkin dibeli dari luar negara, anda tidak akan dapat menggunakan peralatan tersebut di Malaysia. Ini kerana selain bentuk plug yang tidak sepadan, voltan di Malaysia adalah 240V, sekiranya dipasang pada peralatan tersebut, peralatan tersebut pasti akan rosak.

Oleh itu anda perlu mendapatkan alat penukar voltan (voltage converter) 240V ke 120V. Sebelum anda membeli alat ini, anda perlu tahu kadar kuasa Watt yang digunakan oleh peralatan elektrik 120V tersebut. Nilai kadar kuasa tersebut boleh diperolehi pada label yang terdapat pada badan peralatan elektrik itu. 

Biasanya alat voltage converter yang dijual mempunyai keupayaan kuasa 50W, 65W, 100W, 150W, 200W, 300W, 500W, 750W, 1000W, 2000W dan 3000W. Semakin besar kuasanya, semakin besar saiz alat voltage converter ini. Sekiranya peralatan tersebut berkuasa 65W, anda perlu mendapatkan voltage converter 240V ke 120V berkuasa 100W. Sekiranya peralatan elektrik anda berkuasa 300W, anda perlu dapatkan alat voltage converter berkuasa 500W. Sekiranya peralatan elektrik anda berkuasa 760W, anda perlu dapatkan alat voltage converter berkuasa 1000W dan begitulah seterusnya. 

Alat voltage converter ini biasanya boleh didapati di kedai-kedai elektrik atau elektronik yang besar. Kepada sesiapa yang ada menjual alat voltage converter ini secara online di pasaran Malaysia, boleh iklankan pada ruang komen di bawah ini. Contoh alat voltage converter ditunjukkan pada gambar di bawah ini.


Kilat Di Dalam Rumah

Jun 01, 2012

0 komen

Ok. Kali ini masih lagi cerita tentang kilat. Arikel lalu telah diterangkan bagaimana panahan kilat terjadi dan juga bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Artikel kali ini adalah mengenai kejadian kilat di dalam rumah. Ya, kilat di dalam rumah. Walaupun ia jarang berlaku, tetapi kemungkinan untuk berlaku tetap ada. Bagaimana penahan kilat boleh terjadi dalam rumah pula?

Kilat bukan sahaja boleh berlaku di ruang langit, tetapi ia juga boleh terjadi di dalam rumah ataupun dalam peralatan elektrik. Agak jarang kilat memanah secara terus ke rumah kediaman kerana paras rumah biasanya lebih rendah daripada pokok, tiang elektrik, tangki air besar yang tinggi dan bangunan tinggi. Kilat biasanya akan ternyahcas (memancar) ke stuktur bangunan tinggi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...