Tangki VIE (Vacuum Insulated Evaporator)

Mac 17, 2012


Sekiranya anda berpeluang berjalan di sekitar halaman hospital besar ataupun kilang semikonduktor, anda mungkin boleh ternampak sebuah tangki besar dan tinggi berwarna putih seperti ditunjukkan pada gambar foto di sebelah ini (Klik pada gambar untuk besarkan). Apakah sebenarnya tangki ini?

Tangki ini dinamakan tangki VIE (Vacuum Insulated Evaporator). Di hospital, tangki ini digunakan untuk menyimpan cecair oksigen manakala di kilang semikonduktor pula, tangki ini digunakan untuk menyimpan cecair nitrogen ataupun argon. Oksigen digunakan untuk merawat pesakit manakala nitrogen atau argon digunakan dalam penghasilan komponen elektronik.

Tangki VIE ini boleh diibaratkan seperti sebuah termos yang besar. Air panas atau sejuk yang disimpan dalam termos akan kekal panas atau sejuk sesehingga berhari-hari, begitu juga dengan suhu cecair yang disimpan dalam tangki VIE ini. Cecair oksigen, nitrogen atau argon perlu berada dalam suhu bawah -200oC untuk kekal dalam bentuk cecair. Oleh itu, tangki VIE akan menghalang haba dari luar smpai ke cecair tersebut dan dengan itu suhu cecair tersebut kekal pada suhu yang sepatutnya. 

Penggunaan tangki VIE untuk pembekalan gas ini adalah lebih menjimatkan kos berbanding pembekalan gas menggunakan tangki silinder . Sebagai contoh, 1 liter cecair oksigen mampu membekalkan 850 liter gas oksigen. Tangki VIE yang mengandungi 3000 liter cecair oksigen adalah bersamaan 380 buah tong silinder bersaiz G (tong silinder bersaiz G berukuran 1.3 meter tinggi, diameter 18cm)

Struktur tangki VIE ini terbahagi kepada 4 bahagian utama iaitu tangki luaran, tangki dalaman, sistem penyejat (evaporator) dan injap keselamatan. Tangki dalaman berfungsi sebagai alat penyimpanan cecair manakala sistem penyejat berfungsi untuk menukarkan cecair kepada gas. Injap keselamatan bertujuan untuk melepaskan gas ke persekitaran sekiranya tekanan gas dalam tangki dalaman menjadi terlalu tinggi. Tangki luar dicat berwarna putih bertujuan untuk memantulkan semua spektrum cahaya ke persekitaran, dengan itu tangki luar tidak akan menjadi terlalu panas. Ruang antara tangki dalaman dan tangki luaran adalah vakum yang bertindak sebagai penebat, menghalang haba dari tangki luaran sampai ke tangki dalaman. Rujuk gambar di bawah.



1 ulasan:

Sahyid Gone berkata...

Di kilang semikonductor, cecair hidrogen diguna utk menyejukan ic yg akan diuji konon nya dlm cuaca sejuk

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...