Kilat: RCCB Trip dan Peralatan Elektrik Rosak

Mei 15, 2012

0 komen

Kilat adalah fenomena alam semulajadi yang biasa berlaku di negara kita. Malah Malaysia tergolong antara 3 negara yang mempunyai aktiviti kilat tertinggi di dunia. Boleh dikatakan sentiasa sahaja berlaku kemalangan jiwa akibat panahan kilat di Malaysia. Pembaca yang berminat tentang kemalangan yang disebabkan kilat boleh merujuk di blog ini: http://kilatmalaysia.blogspot.com

Artikel lalu telah menerangkan tentang kejadian kilat dan alat perangkat kilat. Artikel kali ini pula akan menerangkan bagaimana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik rumah anda. Pasti ramai yang menyedari apabila kilat memancar di kawasan rumah anda, RCCB di papan agihan elektrik di rumah anda pasti akan terpelantik (trip). Mengapakah RCCB boleh trip?

RCCB trip apabila kilat memancar, itu menunjukkan RCCB anda berfungsi. Apabila kilat memancar, ia akan memancarkan gelombang elektromagnet. Gelombang elektromagnet ini sama seperti gelombang radio, sinar x-ray atau gelombang microwave, ia tidak dapat dilihat tetapi boleh memberi kesan tertentu pada persekitaran. Gelombang elektromagnet yang dijana oleh kilat akan menyebabkan voltan bekalan elektrik naik mendadak (overvoltage) dalam masa yang singkat. Contohnya bekalan elektrik ke rumah anda adalah 240V, tetapi apabila kilat memancar, voltan elektrik di rumah anda akan naik mendadak secara tiba-tiba sehingga melebihi 1000V dalam sela masa beberapa mili saat (1 mili saat = 0.001 saat). Walaupun kejadian ini berlaku dalam masa yang sangat singkat, tetapi ia sudah cukup untuk merosakkan peralatan elektrik rumah anda.

Nasib baik sistem bekalan elektrik rumah kita dilengkapi dengan RCCB. Ia bukan sahaja melindungi anda dari renjatan elektrik, malah melindungi peralatan elektrik dari overvoltage. Apabila berlaku overvoltage disebabkan kilat, arus elektrik dalam rumah anda menjadi tidak stabil. Ketidakstabilan ini akan dikesan oleh RCCB dan seterusnya trip untuk memutuskan bekalan elektrik (Cara kerja RCCB boleh dibaca di artikel ini). Apabila bekalan elektrik diputuskan, kejadian overvoltage tidak 'sempat' berlaku dan peralatan elektrik di rumah anda akan selamat.

Walaubagaimanapun, ada sesetengah kes, ada juga peralatan elektrik yang rosak walaupun RCCB telah trip apabila kilat memancar. Kejadian ini boleh berlaku kerana RCCB lambat bertindak untuk memutuskan bekalan elektrik apabila berlaku overvoltage. Sekiranya perkara ini berlaku, ini menunjukkan RCCB tidak berfungsi dengan baik. Tidak perlulah tuding jari menyalahkan TNB bila perkara ini berlaku pada anda. Cepat-cepatlah cari wireman untuk gantikan RCCB anda dengan yang baru dan berkualiti. Panduan untuk anda apabila membeli RCCB: semakin mahal harga RCCB, makin berkualiti dan boleh dipercayai RCCB tersebut.

Soalan Lazim Mengenai Kerosakan Pada Kipas Angin

Mei 03, 2012

5 komen

Saya selalu mendapat email bertanyakan tentang masalah yang dihadapi pada kipas angin mereka. Soalan-soalan yang ditanya adalah berdasarkan artikel bertajuk 'Kipas Semakin Perlahan'. Berikut adalah himpunan soalan lazim yang sering ditanya berserta dengan jawapan.

Di mana saya boleh mendapatkan kapasitor kipas?
Kapasitor kipas boleh didapati di kedai elektrik yang ada membuat kerja pembaikan peralatan elektrik atau kedai yang menjual komponen elektronik.

Kipas siling rumah saya tiba-tiba sahaja berpusing terbalik, angin hembus ke atas. Kenapa boleh jadi macam itu?
Adakah kipas anda kipas siling biasa? Jika ya, itu menunjukkan kapasitor kipas mengalami kerosakan. Gantikan kapasitor itu dengan yang baru.
Sekiranya kipas kawalan jauh, mungkin anda telah mengaktifkan fungsi 'reverse rotation' pada kipas tersebut. Fungsi ini akan menyebabkan kipas berpusing terbalik dan fungsi ini berguna di negara yang mempunyai iklim sejuk. Sekiranya kipas anda tidak mempunyai fungsi seperti ini tetapi kipas berpusing terbalik, ini menunjukkan kapasitor kipas telah rosak.

Saya ada masalah dengan sebuah kipas siling yang menggunakan remote control. Pada kelajuan 1 atau 2, kipas berpusing sangat perlahan, tetapi pada kelajun 3, kipas berpusing dengan laju. Adakah kapasitor dalam kipas ini perlu diganti ?
Masalah sebegini menunjukkan terdapat kerosakan pada papan elektronik dalam kipas tersebut, bukannya pada kapasitor kipas. Dapatkan orang yang mahir membaiki papan elektronik untuk membaiki kipas anda.

Kawasan perumahan saya baru-baru ini mengalami over-voltage menyebabkan 2 biji kipas siling rumah saya tidak berfungsi. Adakah ia boleh dibaiki ?
Adakah kipas anda ini kipas siling biasa atau kipas siling remote control ? Sekiranya kipas siling biasa, cuba ganti regulator (alat pengawal kelajuan kipas) kepada yang baru.
Sekiranya anda menggunakan kipas siling remote control, papan elektronik dalam kipas tersebut telah rosak.  Dapatkan orang yang mahir membaiki papan elektronik untuk membaiki kipas anda.

Kipas meja saya berpusing perlahan walaupun  telah diset pada kelajuan maksimum. Kapasitor kipas telah diganti baru tetapi kipas tetap perlahan. Kenapa boleh jadi seperti itu ?
Dalam kipas terdapat 2 jenis gelung, gelung 'start' dan gelung 'run'. Kerosakan seperti ini menunjukkan gelung 'start' telah putus. Kipas anda perlu dihantar ke kedai 'motor rewinding'. Tetapi kos rewinding untuk kipas adalah tidak berbaloi kerana kosnya sama seperti membeli kipas baru. Lebih baik beli kipas baru.

Di manakah saya boleh mendapatkan khidmat membaiki kipas siling ?
Agak sukar kita mencari kedai yang membaiki kipas siling terutamanya kipas siling kawalan jauh. Ini kerana seseorang juruteknik perlu datang ke rumah anda, perlu panjat dan tanggalkan pemasangan kipas tersebut. Sekiranya perlu, kipas tersebut perlu ditanggalkan dan dibawa balik ke bengkel pembaikan. Kos untuk perkhidmatan sebegini adalah tidak berbaloi kerana kos pembaikan adalah hampir sama dengan pembelian kipas baru. Kadang-kadang kipas tidak dapat dibaiki (teruatamanya kipas siling kawalan jauh) kerana alat ganti pada papan elektronik tiada di pasaran.
Apa yang anda boleh buat, tanggalkan sendiri kipas siling anda yang rosak dan hantar ke kedai pembaikan alat elektrik atau elektronik. 
Sekiranya anda tahu kedai-kedai yang ada membuat pembaikan kipas di sekitar tempat tinggal anda, boleh beritahu di ruangan komen.

Fungsi Wayar Bumi Pada Lampu Kalimantang

1 komen

Soalan
Lampu kalimantang hanya memerlukan 2 wayar sahaja untuk menyala iaitu wayar hidup (live) dan wayar neutral. Tetapi saya selalu tertanya-tanya apakah fungsi wayar bumi (earth) yang berwarna hijau pada pendawaian lampu kalimantang. Saya selalu lihat wireman pasang wayar bumi pada mana-mana skru dalam lampu kalimantang ataupun hanya selitkan sahaja pada badan lampu. 



Jawapan
Pemasangan wayar bumi dalam lampu kalimantang adalah untuk keselamatan. 

Dalam pemasangan lampu kalimantang, ada kemungkinan wayar akan terputus atau penebat wayar tertanggal dan menyentuh badan lampu kalimantang. Badan lampu kalimantang biasanya diperbuat daripada besi. Jadi, apabila suis dihidupkan, badan lampu kalimantang akan menjadi 'live'. Apabila seseorang pegang badan lampu kalimantang pada ketika ini, dia akan terkena renjatan elektrik. 

Selain dari kemungkinan wayar terputus atau kerosakan penebat wayar, choke atau ballast dalam lampu kalimantang juga boleh menyebabkan badan lampu kalimantang menjadi 'live'. Ini boleh berlaku apabila penebat lilitan wayar dalam choke pecah, badan choke tersebut akan menjadi 'live'.Oleh kerana choke dipasang pada badan lampu kalimantang, ia juga akan menjadi 'live' dan orang yang memegang lampu kalimantang semasa suis dihidupkan akan terkene renjatan elektrik. 

Sekiranya wayar bumi dipasang, apabila badan lampu kalimantang menjadi 'live' kerana kerosakan penebat wayar atau kerosakan choke, arus elektrik akan mengalir melalui wayar bumi dan ini akan menyebabkan RCCB trip. Apabila RCCB trip, ini menunjukkan lampu kalimantang itu tidak selamat dan tindakan pembaikan perlu dilakukan. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...