Info #2: Sistem Melawan Kebakaran Karbon Dioksida

Januari 06, 2012


Kita selalu terlihat tong silinder merah (seperti gambar di sebelah kiri ini) di luar bangunan pencawang TNB, belakang restoran, tingkat bawah shopping kompleks dan sebagainya. Apakah sebenarnya tong merah ini?

Tong silinder ini adalah sebahagian daripada sistem melawan kebakaran (fire fighting system). Tong ini mengandungi gas karbon dioksida bertekanan tinggi. Gas karbon dioksida ini akan dilepaskan apabila sensor sistem mengesan api pada sesuatu tempat.

Sistem melawan kebakaran jenis ini biasanya dipasang pada bilik kejuruteraan (seperti bilik transformer, bilik generator elektrik), dapur kafeteria/restoran dan stor bahan kimia, iaitu tempat di mana air tidak sesuai digunakan untuk memadam api apabila kebakaran berlaku. 

Menggunakan air untuk memadam kebakaran di bilik elektrik boleh menyebabkan litar pintas yang boleh menyebabkan kerosakan menjadi lebih teruk. Menggunakan air untuk memadam kebakaran di dapur pula akan menyebabkan api lebih marak sekiranya kebakaran berpunca daripada minyak masak atau lemak haiwan. Menggunakan air untuk memadam kebakaran di stor bahan kimia boleh menyebabkan penghasilan gas mudah terbakar apabila air bercampur dengan bahan kimia tertentu. Oleh itu, karbon dioksida digunakan untuk memadam kebakaran pada tempat-tempat seperti ini. 

Sebelum ini, pada tahun 1970an hingga 1980an, gas halon digunakan untuk memadam kebakaran. Walaubagaimanapun, penggunaannya telah mula dikurangkan dan dihentikan apabila perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai Protokol Montreal ditandatangani pada tahun 1987. Ini kerana pembebasan gas halon ke persekitaran boleh menyebabkan hakisan lapisan ozon pada atmosfera bumi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...