Kebelakangan ini kita selalu terjumpa perkataan inverter pada produk elektrik terbaru seperti penghawa dingin (air-conditioner), peti sejuk dan microwave oven. Syarikat pengeluar mendakwa, dengan teknologi inverter, peralatan elektrik akan berfungsi dengan lebih cekap dan menjimatkan tenaga elektrik. Benarkah dakwaan mereka itu?
Secara teorinya, teknologi inverter boleh menjimatkan tenaga elektrik dan membuatkan peralatan elektrik berfungsi dengan lebih cekap. Sebagai contoh, mengikut kiraan matematik, penghawa dingin yang menggunakan teknologi inverter ini mampu menjimatkan elektrik sehingga 30% dan lebih cepat menyejukkan udara berbanding penghawa dingin konvesional.
Apakah itu inverter?
Jika kita merujuk kamus, inverter bermaksud penyongsang. Walaubagaimanapun, dalam kejurutereaan elektrik kuasa, inverter ditakrifkan sebagai peranti/alat yang mengubah arus terus kepada arus ulang alik berubah frekuensi. Inverter sering digunakan pada peralatan yang mempunyai motor dan pemampat (compressor). Dengan menggunakan teknologi ini, kelajuan motor atau pemampat boleh dikawal mengikut keperluan.
Bagaimana teknologi inverter berfungsi?
Untuk memahaminya, ambil penghawa dingin sebagai contoh:
Penghawa dingin konvensional
- Suhu bilik diset pada 22 darjah Celcius
- Pemampat dihidupkan sehingga mencapai suhu 21 darjah Celcius
- Pemampat dimatikan, suhu bilik naik perlahan2 sehingga 23 darjah Celcius
- Pemampat dihidupkan semula sehingga mencapai suhu 21 darjah Celcius
- Proses ini berterusan sehinggalah penghawa dingin dimatikan
Penghawa dingin berteknologi inverter
- Suhu bilik diset pada 22 darjah Celcius
- Inverter menjalankan pemampat pada kelajuan maksimum
- Apabila suhu bilik mencapai 22.1 darjah Celcius, inverter memperlahankan sedikit kelajuan pemampat
- Suhu bilik turun sehingga 21.9 darjah Celcius, inverter menaikkan sedikit kelajuan pemampat
- Pemampat akan sentiasa berjalan pada kelajuan berbeza ( tiada operasi on-off seperti penghawa dingin konvesional)
Terdapat 2 jenis inverter yang terdapat pada produk berteknologi ini:
- Inverter arus ulang-alik (AC inverter) - Digunakan pada motor/pemampat kendalian arus ulang alik (AC motor/pemampat)
- Inverter arus terus (DC inverter) - Digunakan pada motor/pemampat kendalian arus terus (DC motor/pemampat). Produk yang menggunakan DC inverter adalah lebih jimat tenaga berbanding AC inverter. Ini adalah kerana motor/pemampat kendalian arus terus tidak mempunyai 'tork menahan' (detent torque) dan kehilangan arus aruhan.
Kelebihan produk elektrik yang menggunakan teknologi inverter ialah:
- Lebih menjimatkan tenaga elektrik
- Berfungsi dengan lebih senyap
- Beroperasi dengan lebih cekap dan pantas
Walaubagaimanapun, produk berteknologi inverter ini agak mahal termasuk alat gantinya. Kerosakan elektronik pada produk ini biasanya sukar dikesan oleh juruteknik dan perlu dirujuk kepada syarikat pengeluar. Faktor2 ini perlu diambil kira sebelum membeli produk berteknologi inverter ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan